soalan lazim| hubungi kami2| aduan2| petalaman3

Explore

pegaga Nama Scientifik : Cymbopogon nardus (L.) rendle.
Nama biasa : Citronella
Nama tempatan : Serai wangi
Famili : Graminae

Pendahuluan:

Serai wangi merupakan sejenis rumput yang berbau wangi dan mempunyai persamaan dengan serai makan. Serai wangi lebih kuat bau berbanding dengan serai makan.Serai wangi digunakan pada bahagian luar tubuh manakala serai makan boleh dimakan. Minyak yang dihasilkan dari serai wangi digunakan untuk membuat losyen (ubat disapu pada kulit), sabun dan juga untuk menghalau nyamok. Dikatakan bahawa serai wangi berasal dari India dan Sri Lanka dan baru diperkenalkan ke Malaysia.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Serai wangi tergolong dalam keluarga rumput yang berbau dan jangkahayatnya adalah panjang. Ia boleh tumbuh sehingga 1m hingga 1.5m. Daunnya berbentuk sesil iaitu tidak mempunyai tangkai daun, ringkas, hijau, lurus dan berlapis dan purata saiznya ialah 60cm x 2.5cm. Daunnya licin, urat daun selari dengan bahagian pangkal dan hujung daunnya tirus. Selaput daunnya adalah lurus dan bertindak sebagai batang. Rizomnya tegak dan kuat, menjalar, tahan lasak dan berwarna kekuningan apabila dipotong.

Tabiat Tumbuhan:

Serai wangi hidup secara liar di kebanyakkan negara seperti di Asia, Amerika dan Afrika. Di Malaysia kebiasaannya ditanam di bahagian belakang rumah. Serai wangi merupakan sejenis tumbuhan yang lasak dan boleh menyesuai dalam pelbagai jenis tanah dan iklim. Namun demikian ia tumbuh dengan baik pada keadaan tanah yang bersaliran baik dan subur. Serai wangi tidak boleh hidup dalam keadaan tanah yang mempunyai air bertakung dan di bawah teduhan. Ia boleh hidup dengan subur di kawasan lapang dan mempunyai cahaya yang cukup.

Bahagian Yang Digunakan:

Daun

Amalan Tradisi Perawatan:

Minyak yang dihasilkan dari serai wangi digunakan untuk merawat "rubefacient" iaitu warna merah di bahagian kulit luar muka, Akarnya digunakan untuk merawat diuretik (kerap berlaku kencing) dan sudorifik atau diaporetik (berperanan sebagai dadah untuk merangsang pengeluaran peluh). Serai wangi juga digunakan untuk bertindak menghalau nyamuk dan juga digunakan untuk membuat minyak wangi dan pembuatan sabun. Di Malaysia, minyak ekstraknya yang cepat meruap dan menggunakan sedikit dos boleh merawat sakit perut dan penghadaman. Air rebusan daun serai wangi yang dipanas bersama dengan daun gendarusa dicampur dengan lada hitam digunakan untuk memandikan kanak-kanak selepas bersalin.

 

 

 

pegaga Nama Scientifik : Cymbopogon citratus (DC.) Stapf.
Nama biasa : Lemongrass
Nama tempatan : Serai makan
Famili : Graminae

Pendahuluan:

Serai makan tergolong ke dalam rumput di kawasan tropika yang berbau dan ia hampir sama dengan serai wangi di Cina. Dikatakan bahawa pokok serai makan berasal dari India yang ditanam bagi tujuan penghasilan minyak sejak tahun 1888. Bau minyak serai makan seakan-akan bau limau atau sitrus yang digunakan sebagai bahan pewangi dalam pembuatan sabun, bahan pencuci dan bahan-bahan penghasilan lain. Serai makan merupakan pembekal utama bahan 'citral' yang digunakan sebagai bahan mentah dalam penghasilan pewangi, gula-gula dan minuman.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Serai makan merupakan sejenis rumput yang mempunyai jangkahayat yang panjang dan mengeluarkan bau. Tumbuh dengan rapat dan daunnya keluar dari rizom. Serai makan boleh tumbuh mencapai sehingga 1 m tinggi. Daunnya berbentuk sesil iaitu tidak mempunyai tangkai daun, ringkas, berwarna hijau, lurus, bersusun secara teratur dan daunnya boleh mencapai ukuran 40cm x 1cm. Daunnya licin, urat daun selari, tirus di bahagian hujung dan pangkal daun. Daunnya berpelepah, memanjang dan berfungsi sebagai batang. Pokok serai makan juga mengeluar bunga pada peringkat matang. Rizomnya kuat dan tegap, menjalar, tahan lasak dan berwarna kuning keputihan apabila dipotong.

Tabiat Tumbuhan:

Serai tumbuh secara liar di kebanyakkan negara di Asia, Amerika dan Afrika. Di Malaysia, serai makan biasanya ditanam di kawasan belakang rumah. Serai makan merupakan pokok yang tahan lasak dan boleh hidup dengan subur dalam pelbagai jenis tanah. Walau bagaimanapun sekiranya ditanam bagi tujuan penghasilan minyak, kawasan yang paling sesuai ialah di kawasan yang bersaliran baik dan subur.

Bahagian Yang Digunakan:

Daun, Batang, Akar

Amalan Tradisi Perawatan:

Minyak pokok serai makan adalah herba yang bernilai tinggi untuk rawatan senak perut, perut memulas, gastrik dan muntah. Ia bertindak sebagai minyak angin untuk rawatan sakit sendi yang kronik, terseliuh dan rawatan sakit-sakit yang ringan. Di Malaysia, serai makan digunakan untuk merawat diuretik iaitu melaawas kencing, tonik dan meransang pengeluaran peluh, merawat buah pinggang dengan meminum air serai makan sebagai tea. Batangnya digunakan untuk menghasilkan bau wangi kepada makanan. Tampalan daunnya yang dilumatkan boleh menghilang sakit gigi dan sakit sendi (reumatik). Ekstrak serai makan boleh menghalau nyamok. Air rebusan daun dan akar serai makan boleh mencuci buah pinggang dan sakit perut. Manakala ekstrak akarnya digunakan sebagai pewangi shampoo dan minyak wangi.

 

 

 

pegaga Nama Scientifik : Centella asiatica (L.) Urban.
Nama biasa : Asiatic Pennywort, Gotu Kola
Nama tempatan : Pegaga
Famili : Umbelliferae

Pendahuluan:

Tumbuhan ini telahpun diketahui kegunaannya sejak dahulu kala lagi terutama dalam perawatan Ayurvedik di India serta rawatan bagi masyarakat Cina dan Madagaskar. Tumbuhan ini disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai salah satu tumbuhan yang sangat penting untuk dipelihara dan ditanam. Di Malaysia walaupun ia digunakan sebagai herba penyembuh tetapi ia lebih popular dijadikan sebagai ulam makanan berbanding dengan herba ubatan.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Pegaga merupakan tumbuhan bersaiz kecil, jangkahayat yang pendek serta menjalar. Mempunyai tangkai daun yang panjang, berwarna hijau. Bentuk daunnya bulat dan licin serta berbentuk palmat. Terdapat 3 subspesies pegaga pada masa kini iaitu Pegaga salad, Pegaga kerinting dan Pegaga biasa atau Pegaga ubi. Pegaga yang mempunyai banyak kelebihan adalah Pegaga ubi.

Tabiat Tumbuhan:

Pegaga tumbuh secara liar di dalam semua keadaan tanah. Sebahagiannya memerlukan sedikit teduhan dan ada juga spesies yang memerlukan cahaya sepenuhnya. Setengah pegaga boleh tumbuh dalam keadaan tanah yang agak keras seperti atas batu. Dalam keadaan liar, ia boleh dijumpai di kawasan yang lembab seperti di sekeliling kolam, di sepanjang tasik, kolam dan juga boleh didapati di kawasan sawah padi.

Bahagian Yang Digunakan:

Keseluruhan pokok, Bahagian atas tanah, Akar

Amalan Tradisi Perawatan:

Pegaga telah digunakan untuk rawatan bronkitis (bengkak pada tiub udara di kerongkong), asma, rembesan gastric, disentri (cirit birit), masalah buah pinggang dan dropsi (penyakit disebabkan oleh pengumpulan air dalam badan). Herba ini mempunyai kesan yang cepat untuk menurunkan tekanan darah dan juga dijadikan sebagai ubat penawar awet muda . Di Malaysia pegaga dijadikan sebagai ulam makanan di kalangan masyarakat Melayu dan dijadikan sebagai air minuman penyejuk badan bagi masayarakat Cina serta dijadikan sebagai tonik di kalangan masyarakat India. Masyarakat Melayu menggunakan air rebusan daun pegaga untuk tujuan rawatan kusta dan reumatik (sakit sendi). Daun pegaga yang dipanas sehingga garing atau jus daun pegaga yang dicampurkan dengan makanan digunakan untuk mengurangkan cirit birit kanak-kanak. Setengah-setengah orang menggunakan daun pegaga sebagai bahan demah atau tuam untuk merawat sakit akibat luka atau daun pegaga yang dilumatkan dan ditampal pada badan untuk rawatan demam. Jus daripada akar pegaga yang diminum dapat mencuci ulser. Setengah-setengah orang mempercayai bahawa daun pegaga adalah baik bagi ibu selepas mengandungi bagi tujuan awet muda.

 

 

lengkuas Nama Scientifik : Alphinia galanga (L.) Willd.
Nama biasa : Lengkuas besar
Nama tempatan : Lengkuas
Famili : Zingiberaceae

Pendahuluan:

Tanaman ini ditanam secara meluas di kawasan Asia tropika. Tumbuhan ini juga digunakan sebagai rempah atau perasa serta juga sebagai ubat tradisi. Kepentingan perubatan tumbuhan ini telahpun dicacatkan dan didokumentasi di India sejak 600 SM. Justeru itu ramai yang mempercayai bahawa lengkuas berasal di India. Selain daripada itu, tumbuhan ini juga digunakan dalam perubatan Ayurvedik sedangkan di Malaysia digunakan sebagai ubatan sejak berabad yang lalu. Rizom lengkuas juga merupakan bahan minyak yang utama iaitu sineol.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Lengkuas merupakan sejenis tumbuhan perennial iaitu jangkahayat yang panjang, tumbuh secara menegak dan boleh mencapai ketinggian sehingga 2-3 m. Daunnya ringkas, licin dan berwarna hijau. Daunnya berbentuk memanjang dan runcing di hujung daun. Manakala tepi daunnya adalah rata. Rizomnya tumbuh secara menjalar, tebal , beraroma dan tegap.

Tabiat Tumbuhan:

Tumbuhan ini boleh ditanam dengan senang dan boleh tumbuh dengan menanam keratan rizomnya.

Bahagian Yang Digunakan:

Rizom

Amalan Tradisi Perawatan:

Rizom lengkuas digunakan untuk meransang aktiviti pencernaan dalam perut (stomachic). Balutan rizomnya yang ketuk dapat digunakan untuk merawat reumatik, demam, lemah tenaga batin, bronkitis (bengkak pada tiub udara di kerongkong), dyspepsia (ketidakhadaman makanan) dan diabetes (kencing manis). Jus daripada rizomnya yang dicampurkan dengan air kencing manusia dapat mengurangkan bisa gigitan ular tedung. Rizom lengkuas yang diketuk dan dicampur dengan sedikit bawang putih dan cuka dapat digunakan sebagai rawatan herpes (penyakit yang disebabkan oleh sejenis virus).

 

 

 

kunyit Nama Scientifik : Curcuma domestica Loir.
Nama biasa : Tumeric
Nama tempatan : Kunyit
Famili : Zingiberaceae

Pendahuluan:

'Tumeric' merupakan sejenis tumbuhan yang dijadikan bahan rempah yang memberikan warna kuning cerah khususnya masakan kari bagi orang Melayu dan India. 'Tumeric' juga digunakan sebagai bahan pewarna dan juga sebagai ubatan dan perasa sejak 600 SM. Maklumat tersebut telahpun dicatatkan dalam sejarah herba Assyria sekitar 2500 tahun yang lalu. Tumbuhan ini dianggapkan sebagai salah satu herba yang sangat bernilai kepada manusia. Dalam sejarah perubatan rakyat India, 'tumeric' dianggapkan sebagai bahan antibiotik semulajadi yang terbaik sementara pada masa yang sama ia juga digunakan untuk memudahkan proses penghadaman dan memperbaiki perjalanan usus. Tumbuhan ini berasal dari Asia Tenggara dan masa kini tumbuhan ini menjadi tanaman perdagangan di China, India, Indochina dan Indonesia.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

'Tumeric' merupakan sejenis herba yang mempunyai jangkahayat yang panjang dan boleh tumbuh sehingga mencapai 1m tinggi. Daunnya berjambak dengan susunan daun secara alternat, berwarna hijau muda. Daunnya licin, lanseolat dengan tepi daun yang licin. Rizomnya beraroma berwarna keperangan dan warna kekuningan di bahagian isi dalam. Pelepahnya berbentuk eliptik, lembut dan berwarna keputihan serta tumbuh secara tegak dan melengkung ke bawah.

Tabiat Tumbuhan:

Di Malaysia, kunyit biasanya ditanam di belakang rumah. Kunyit membiak secara aseksual iaitu melalui keratan rizom. Kunyit boleh hidup dengan subur di kawasan yang mempunyai sedikit teduhan dan tumbuh dengan subur di kawasan terbuka dan mendapat cahaya matahari yang banyak.

Bahagian Yang Digunakan:

Rizom

Amalan Tradisi Perawatan:

Tumbuhan ini digunakan untuk rawatan antiradang, antimalaria, pencegahan bakteria, pencegahan kulat, merangsang tubuh dan juga untuk rawatan terseliuh, cacing pita, kudis buta, 'neuralgia' (sakit saraf terutamanya di bahagian muka dan kepala) serta sakit sendi (reumatik). Ia juga digunakan untuk mencegah serangga. Kunyit kering biasanya digunakan sebagai perasa makanan dan untuk menyediakan bahan pewarna kuning. Di Malaysia, kunyit digunakan sebagai kosmetik semasa upacara tradisi. Ia juga sebagai bahan utama dalam masakan terutamanya masakan kari. Kunyit yang disediakan bersama dengan minyak digunakan untuk menghaluskan kulit yang kasar dan sekiranya dicampurkan dengan air perahan limau digunakan untuk rawatan bengkak dan terseliuh serta luka. Air rebusan kunyit digunakan untuk menyejukkan mata. Kunyit yang dipanaskan bersama dengan susu dan gula boleh merawat kesejukan badan. Manakala kunyit yang dicampur dengan minyak bijan dan madu dijadikan sebagai tonik. Rizom kunyit yang dilumatkan dan dijadikan sebagai demahan boleh merawat dan mempercepatkan perjalanan air susu dada wanita.

 

 

 

kayumanis Nama Scientifik : Cinnamomum verum
Nama biasa : Ceylon cinnamon
Nama tempatan : Kayu Manis
Famili : Lauraceae

Pendahuluan:

Kayu manis berasal dari Sri Lanka. Ia merupakan rempah ratus yang tertua dan terdapat di dalam Kitab Bible.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Pokok ini boleh membesar dan mencapai ketinggian sehingga 6 m dan kadang-kadang boleh mencapai ketinggian sehingga 12 m. Batangnya tegap dengan ukuran diameter antara 30-60 cm. Pokok yang matang mempunyai kulit yang tebal berwarna coklat kelabu. Pokok ini mempunyai dahan yang rendah dan banyak. Hujung daunnya tirus dengan bahagian pangkalnya adalah bulat dan kadang-kadang sedikit tirus.

Tabiat Tumbuhan:

Pokok ini biasanya ditanam di Malaysia. Pokok ini boleh dijumpai ditanam secara separuh liar di Sri Lanka di kawasan tanah pamah rendah yang lembab sehingga ketinggian 2,000 kaki. Kayu manis boleh dibiakkan secara bii benih atau keratan.

Bahagian Yang Digunakan:

Kulit dan daun

Amalan Tradisi Perawatan:

Tumbuhan ini mempunyai bahan antifungal dan antibakteria. Minyak dari tumbuhan ini mudah meruap dan ianya digunakan untuk mengawal jangkitan kuman dan mengawal tekanan darah rendah manakala bahagian kulitnya digunakan untuk rawatan dispepsia (ketidakhadaman makanan), kembung perut, disentri (cirit birit), bronkitis (bengkak pada tiub udara di kerongkong) dan gangren (pereputan tisu) pada paru-paru. Kulit pokok yang diketuk dan dimasak boleh digunakan pada bahagian luar badan dengan cara menuam bagi rawatan bisul yang bernanah. Minyaknya juga adalah mujarab untuk merawat penyakit reumatik yang teruk dan kronik. Kayu manis juga boleh merawat kekejangan urat perut , sakit gigi dan hilang daya gerak pada bahagian lidah serta boleh digunakan untuk rawatan kanser. Di China , kulit pokok dan ranting yang dikeringkan boleh dijadikan rawatan bagi merawat kanser, tekanan darah tinggi dan masalah sakit perut dengan mencampurkan dengan bahan ubatan lain.

 

 

 

Contact Us

Forestry Department of Peninsular Malaysia Headquarters,
Jalan Sultan Salahuddin,
50660 Kuala Lumpur
Phone. No: 603-26164488
Fax: 603-26925657
E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Visitor Counter

Today 73

Yesterday 12989

Week 13062

Month 359050

All 12189603