soalan lazim2| hubungi kami2| aduan2| petalaman3

Explore

pegaga Nama Scientifik : Cymbopogon nardus (L.) rendle.
Nama biasa : Citronella
Nama tempatan : Serai wangi
Famili : Graminae

Pendahuluan:

Serai wangi merupakan sejenis rumput yang berbau wangi dan mempunyai persamaan dengan serai makan. Serai wangi lebih kuat bau berbanding dengan serai makan.Serai wangi digunakan pada bahagian luar tubuh manakala serai makan boleh dimakan. Minyak yang dihasilkan dari serai wangi digunakan untuk membuat losyen (ubat disapu pada kulit), sabun dan juga untuk menghalau nyamok. Dikatakan bahawa serai wangi berasal dari India dan Sri Lanka dan baru diperkenalkan ke Malaysia.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Serai wangi tergolong dalam keluarga rumput yang berbau dan jangkahayatnya adalah panjang. Ia boleh tumbuh sehingga 1m hingga 1.5m. Daunnya berbentuk sesil iaitu tidak mempunyai tangkai daun, ringkas, hijau, lurus dan berlapis dan purata saiznya ialah 60cm x 2.5cm. Daunnya licin, urat daun selari dengan bahagian pangkal dan hujung daunnya tirus. Selaput daunnya adalah lurus dan bertindak sebagai batang. Rizomnya tegak dan kuat, menjalar, tahan lasak dan berwarna kekuningan apabila dipotong.

Tabiat Tumbuhan:

Serai wangi hidup secara liar di kebanyakkan negara seperti di Asia, Amerika dan Afrika. Di Malaysia kebiasaannya ditanam di bahagian belakang rumah. Serai wangi merupakan sejenis tumbuhan yang lasak dan boleh menyesuai dalam pelbagai jenis tanah dan iklim. Namun demikian ia tumbuh dengan baik pada keadaan tanah yang bersaliran baik dan subur. Serai wangi tidak boleh hidup dalam keadaan tanah yang mempunyai air bertakung dan di bawah teduhan. Ia boleh hidup dengan subur di kawasan lapang dan mempunyai cahaya yang cukup.

Bahagian Yang Digunakan:

Daun

Amalan Tradisi Perawatan:

Minyak yang dihasilkan dari serai wangi digunakan untuk merawat "rubefacient" iaitu warna merah di bahagian kulit luar muka, Akarnya digunakan untuk merawat diuretik (kerap berlaku kencing) dan sudorifik atau diaporetik (berperanan sebagai dadah untuk merangsang pengeluaran peluh). Serai wangi juga digunakan untuk bertindak menghalau nyamuk dan juga digunakan untuk membuat minyak wangi dan pembuatan sabun. Di Malaysia, minyak ekstraknya yang cepat meruap dan menggunakan sedikit dos boleh merawat sakit perut dan penghadaman. Air rebusan daun serai wangi yang dipanas bersama dengan daun gendarusa dicampur dengan lada hitam digunakan untuk memandikan kanak-kanak selepas bersalin.

 

 

 

tutupbumi Nama Scientifik : Elephantopus scaber L.
Nama biasa : Elephant's foot/Solomon's seal
Nama tempatan : Tutup bumi / Tapak Sulaiman
Famili : Compositae

Pendahuluan:

Disebabkan oleh daunnya yang terhampar dan menutupi ruang atas lapisan tanah, orang Melayu mempercayai bahawa tumbuhan ini merupakan bekas tapak Sulaiman yang berperanan mengurung Jin yang terdapat di dalam tanah. Di sebabkan namanya sebagai tapak Sulaiman, secara tradisinya tumbuhan ini sangat mujarab untuk merawat semua penyakit. Buat masa ini, tumbuhan ini tidak ditanam di Malaysia tetapi dikutip secara liar oleh dukun bagi kegunaan rawatan mereka.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Tumbuhan ini tumbuh melata dan jangkahayat yang panjang dan boleh tumbuh sehingga 50cm. Daunnya tumbuh dengan padat pada bahagian bawah batang dan susunan daunnya secara berjambak. Tepi daunnya bergerigi, dipenuhi dengan rerambut berwarna keputihan, bentuk daun pelbagai bentuk, bujur atau bulat di bahagian hujung daun dan mengecil pada bahagian pangkal daun. Tangkai daun pendek dan berbulu.

Tabiat Tumbuhan:

Tumbuhan ini boleh dijumpai secara liar di tepi jalan raya, padang yang berumput dan di pinggir hutan. Tumbuhan ini boleh dibiak melalui biji benih. Biji benih boleh dikutip dengan cara menutup bunganya menggunakan sehelai kertas. Biji benihnya sangat kecil dan ringan . Oleh itu semasa menyemai biji benihnya perlu digaul bersama dengan tanah dan ditabur ke atas batas semaian. Peratus percambahan adalah lebih kurang 70-80%.

Bahagian Yang Digunakan:

Keseluruhan pokok, akar

Amalan Tradisi Perawatan:

Tumbuhan ini digunakan sebagai diuretik iaitu mengurangkan demam dan mengurangkan kencing tak lawas (anuria) dan mengurangkan pengeluaran mukusa (blennorrhagia). Lain -lain penggunaan adalah sebagai bahan antibiotik, mengurangkan bengkak, anti radang dan untuk melicinkan kulit. Dipercayai sesuai untuk merawat leucorrhea ( rembesan mukusa yang tidak normal keluar dari vagina), anaemia (tidak cukup darah disebabkan oleh kepucatan) dan digunakan semasa bersalin. Di Malaysia, herba tutup bumi digunakan untuk melawas kencing, mengurangkan rasa sakit dan digunakan di bahagian luar dengan membalut pada tempat sakit. Air rebusan akar atau daun yang diminum boleh dijadikan tonik untuk menghapus cacing dalam badan, merawat batuk dan penyakit kelamin. Air rebusan akar yang masih segar dicampur dengan sirih digunakan untuk menghalang muntah sementara daunnya digunakan untuk merawat penyakit yang disebabkan oleh pengumpulan air dalam badan (dipanggil busung oleh masyarakat melayu).

 

 

 

tutupbumi Nama Scientifik : Acalypha hispida
Nama biasa : Red hot cat's tail
Nama tempatan : Ekor Kucing
Famili : Euphorbiaceae

Pendahuluan:

Tumbuhan ini berasal dari Oceania dan kemudiannya merebak sehingga ke Amerika Utara termasuk Amerika Syarikat, Mexico dan Belize.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Tumbuhan ini boleh tumbuh sehingga mencapai ketinggian 1.8m - 3.7m tinggi. Merupakan tumbuhan 'dioecious' di mana tumbuhan jantan dan betina boleh dibezakan dengan mudah. Pokok betina mempunyai 'pistillate' (bahagian bunga yang mempunyai ovari bunga). Bunganya mempunyai warna yang pelbagai iaitu dari warna ungu ke warna merah cerah dan bunganya tumbuh berjuntai.

Tabiat Tumbuhan:

Tumbuhan ini hidup melata dan mudah dijumpai. Ditanam menggunakan biji benih serta boleh ditanam menggunakan keratan dahan.

Bahagian Yang Digunakan:

Akar, Bunga dan Daun

Amalan Tradisi Perawatan:

Daunnya boleh digunakan secara demahan atau menuam bagi mengubati penyakit kusta. Air rebusan daun dan bunganya digunakan untuk merawat luka dan ulser dan juga sebagai pencuci perut serta merawat penyakit kelamin. Minuman bahagian kulit batangnya yang direbus boleh merawat kahak serta mengurangkan serangan asma. Daun rasanya agak kelat dan bahagian bunganya digunakan bagi merawat cirit birit.

 
Kucing Galak Nama Scientifik : Acalypha indica
Nama biasa : Indian copperleaf, India acalypha
Nama tempatan : Kucing Galak, Cika Mas
Famili : Euphorbiaceae

Pendahuluan:

Tumbuhan ini boleh didapati di kawasan negara Afrika yang beriklim tropika dan juga boleh ditemui di Afrika Selatan. Manakala di sebelah Afrika Timur dan Barat, tumbuhan ini digunakan sebagai herba ubatan. Di bahagian Afrika Barat, daun tumbuhan ini dimasak dan daunnya dijadikan sebagai ulaman. Daunnya juga merupakan makanan kegemaran lembu di Afrika. Tumbuhan ini juga disanjung tinggi sebagai herba ubatan tradisi masyarakat Tamil Siddha dan dipercayai boleh merawat awet muda.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Tumbuhan ini tidak kekal lama, tumbuh secara menegak dan boleh mencapai ketinggian sehingga 1 m tinggi. Panjang daun adalah antara 2.5cm - 7.5cm berbentuk 'ovate' dan 'rhomboid-ovate'. Bunganya banyak dan lembut, tumbuh secara menegak dan memanjang. Bunga jantan bersaiz kecil, berkelompak di bahagian tangkai manakala bunga betina tumbuh secara bertabur.

Tabiat Tumbuhan:

Pokok ini tumbuh meliar di kawasan terbuka khususnya di kawasan yang agak kering. Di Semenanjung Malaysia, tumbuhan ini boleh didapati di kawasan penempatan perumahan.

Bahagian Yang Digunakan:

Akar dan Daun

Amalan Tradisi Perawatan:

Air rebusan keseluruhan pokok digunakan sebagai ubat pencuci perut. Ia juga amat berkesan untuk merawat buasir. Akarnya digunakan untuk membuang cacing dalam perut kanak-kanak dengan meminum di waktu pagi semasa perut masih kosong. Daunnya yang dilumatkan dengan kunyit digunakan untuk merawat jerawat di muka.

 

 

 

 

cekur Nama Scientifik : Kaempferia galanga Linn
Nama biasa : Maraba,Finger root, Chinese ginger
Nama tempatan : Cekur
Famili : Zingiberaceae

Pendahuluan:

Pokok Cekur dikatakan berasal dari China dan India. Kini ditanam agak meluas di Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain. Rhizomnya beraroma dan adalah penting di Malaysia sebagai rempah untuk perisa nasi dan juga dalam bidang perubatan oleh masyarakat dahulu. Cekur agak popular di Thailand di mana ia kerap digunakan sebagai rempah perisa dalam masakan kari dan sup.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Ia merupakan sejenis herba yang sangat kecil dan mempunyai daun yang berkembang secara mendatar di bahagian atas permukaan tanah. Daunnya tersusun rapi dan padat. Mempunyai daun ringkas, berwarna hijau dan berbentuk eliptik. Daunnya berbau sedikit aroma .Bunganya tumbuh secara berasingan. Tidak mempunyai batang dan mempunyai saiz rizom yang kecil dan berbau sedikit aroma. Akarnya bergentian dan berisi. Bunga berwarna putih dan bersaiz antara 6-12 cm. Tumbuh dari bahagian tengah daun.

Tabiat Tumbuhan:

Pokok cekur boleh ditemui tumbuh liar di taman-taman lama. Ia juga biasanya ditanam di kampung-kampung. Cekur boleh dibiak melalui bahagian rizom atau memotong dari bahagian pokok ibu yang sudah matang.

Bahagian Yang Digunakan:

Keseluruhan Pokok

Amalan Tradisi Perawatan:

Rizom pokok cekur yang dicampur dengan minyak digunakan secara luaran untuk menyembuh luka dan disapu pada bahagian yang mengalami keradangan reumatik.Rizomnya yang dihiris dan diikat sebagai tuam dapat mempercepatkan bisul mengeluarkan nanah. Rizom yang dijadikan losyen digunakan untuk menghapuskan kelemumur dari kepala. Rizom yang dijadikan sebagai tepung dicampur dengan madu lebah digunakan untuk rawatan batuk dan sakit dada.

 
kenanga Nama Scientifik : Cananga odorata (Lam.) Hook. F. & Thoms
Nama biasa : Ylang ylang, perfume tree, cananga, cadmia
Nama tempatan : Kenanga
Famili : Annonaceae

Pendahuluan:

Pokok Kenanga berasal dari Indo-Malaysia dan diperkenalkan secara meluas oleh orang-orang dari Polynesia, Micronesia dan orang-orang Eropah yang sejak awal datang ke Kepulauan Pasifik. Di sesetengah tempat ia telah tumbuh secara semulajadi contohnya di Samoa.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Kenanga adalah sejenis pokok malar hijau yang cepat membesar dan boleh mencapai ketinggian sehingga 2-5 m setahun ketika pokok berusia muda. Purata ketinggian pokok kenanga adalah lebihkurang 12 m dan boleh mencapai ketinggian maksimum sehingga 25-30 m. Dalam pendekatan senitaman, ia boleh dipangkas pada ketinggian 2-3 m. Pokok kenanga mempunyai batang yang sedikit melengkung. Kulinya licin dan dan berwarna kelabu keputihan. Daunnya berwarna hijau gelap, dengan 20 cm panjang, susunan daun berselang , ringkas, berbentuk bujur dan sedikit berbulu serta mempunyai tulang daun yang jelas manakala hujung daun menjulur ke bawah. Bunga tergantung dari dahan yang memanjang dan mempunyai enam kelopak bunga berwarna kuning kehijauan. Bunganya boleh dijadikan minyak pati yang sangat harum. Musim berbunga berlaku sepanjang tahun tetapi berbunga dengan lebat pada musim panas dan lembab.

Tabiat Tumbuhan:

Pokok kenanga boleh tumbuh dalam pelbagai jenis tanah iaitu dari tanah berpasir dan tanah liat. Ia hidup subur di kawasan tanah gunung berapi atau tanah berpasir yang subur dan boleh hidup dalam kawasan air yang bertakung untuk tempoh yang singkat. Pokok kenanga hidup subur di kawasan tanah pamah lembap tropika, walaupun ia boleh ditanam di kawasan tanah tinggi berhampiran garisan khatulistiwa.

Bahagian Yang Digunakan:

Kulit dan daun

Amalan Tradisi Perawatan:

Kulit kayu digunakan oleh masyarakat Tonga dan Samoa untuk merawat penyakit perut dan kadang-kadang dijadikan sebagai ubat julap. Manakala di Jawa, bunga yang kering digunakan untuk menahan penyakit malaria dan bunga yang segar, ditumbuk dan digunakan secara menampal bagi merawat asma. Saringan bunganya dikatakan mempunyai nilai perubatan oleh pakar herba dan aromaterapis. Aromaterapis mendakwa bahawa minyaknya berguna untuk merawat kemurungan, masalah pernafasan, tekanan darah tinggi, kebimbangan dan juga digunakan sebagai aprodisiak, dll.

 

Hubungi Kami

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia
Jalan Sultan Salahuddin,
50660 Kuala Lumpur
No. Tel: 603-26164488
No. Faks: 603-26925657
Emel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Statistik Pelawat

Hari Ini 3786

Semalam 11292

Minggu Ini 25917

Bulan Ini 60768

Keseluruhan 12677620