Organisasi
Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) adalah salah satu jabatan di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan terdiri daripada Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, 12 Jabatan Perhutanan Negeri dan 36 Pejabat Hutan Daerah di seluruh Semenanjung Malaysia. Jabatan ini diketuai oleh Ketua Pengarah Perhutanan dan dibantu oleh dua (2) Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan. Pada akhir tahun 2022, bilangan tenaga kerja adalah seramai 4,581 orang.
Fungsi Jabatan
Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia bertanggungjawab kepada pengurusan, perancangan, perlindungan dan pembangunan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) selaras dengan Dasar Perhutanan Malaysia 2020, Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia 2020 dan Akta Perhutanan Negara (APN) 1984.
Fungsi Direktorat
Ahli direktorat terdiri daripada Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia dan dibantu oleh dua (2) orang Timbalan Ketua Pengarah. Direktorat bertanggungjawab dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar-dasar, strategi- strategi dan objektif-objektif Jabatan serta menyelaras kerja-kerja pentadbiran, pengurusan, pembangunan dan pemeliharaan sumber hutan selaras dengan keperluan negara.
Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia
Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia bertanggungjawab untuk menggubal dasar-dasar perhutanan, memberi nasihat dan khidmat teknikal kepada Jabatan Perhutanan Negeri dalam aspek perancangan, pengurusan dan pembangunan hutan, pengusahasilan hutan dan industri berasas kayu, kajian operasi hutan serta latihan dan pembangunan sumber manusia.
Terdapat dua (2) Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan di Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia iaitu Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Dasar dan Perancangan) dan Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Operasi dan Teknikal) masing-masing bertanggungjawab terhadap enam (6) bahagian di bawah dua sektor yang berlainan. Selain itu, terdapat dua (2) Unit dan satu (1) Bahagian lain yang bertanggungjawab secara langsung kepada Ketua Pengarah Perhutanan.
Sektor Dasar Dan Perancangan
Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Dasar dan Perancangan) bertanggungjawab ke atas perancangan dan ekonomi hutan, pengurusan sumber hutan, silvikultur dan pemeliharaan biologi hutan, pembangunan forest eco-park dan hutan taman negeri, hal ehwal perhutanan antarabangsa, pembangunan ladang hutan dan perlindungan hutan.
Sektor Operasi Dan Teknikal
Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Operasi dan Teknikal) bertanggungjawab dalam urusan-urusan pentadbiran dan kewangan, kejuruteraan hutan, teknikal dan industri kayu, penguatkuasaan hutan, latihan perhutanan dan pembangunan modal insan serta pembangunan sistem teknologi maklumat.
Jabatan Perhutanan Negeri
Jabatan Perhutanan Negeri bertanggungjawab dalam pengurusan dan pembangunan sumber hutan, pengusahasilan hutan, kutipan hasil hutan dan pembangunan industri berasas kayu di negeri. Jabatan Perhutanan Negeri dibahagikan kepada Bahagian Operasi Hutan dan Pembangunan Hutan serta disokong oleh Pejabat Hutan Daerah/Jajahan.
Bahagian Operasi Hutan
Bahagian Operasi Hutan bertanggungjawab terhadap pentadbiran, penguatkuasaan undang-undang hutan, kutipan hasil hutan di samping penyelaras hubungan dengan Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, lain-lain jabatan/agensi dan badan- badan berkanun.
Bahagian Pembangunan Hutan
Bahagian Pembangunan Hutan bertanggungjawab dalam merancang, melaksana dan memantau aktiviti-aktiviti pengurusan dan pembangunan hutan, termasuk pemeliharaan biodiversiti, pembangunan ekopelancongan dan pemulihan kawasan hutan serta penyediaan dan pelaksanaan Rancangan Pengurusan Hutan Negeri.
Pejabat Hutan Daerah/Jajahan
Pejabat Hutan Daerah/Jajahan bertanggungjawab terhadap pentadbiran, operasi pengawalan pengusahasilan hutan, kutipan hasil hutan dan penguatkuasaan undang-undang hutan. Pejabat ini juga bertanggungjawab untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti pengurusan dan pembangunan hutan termasuk pengurusan forest eco-park dan hutan taman negeri.
Bahagian Perancangan Dan Ekonomi Hutan
Bahagian ini bertanggungjawab untuk menyelaras, menyelia, menilai dan memantau pelaksanaan projek-projek pembangunan hutan di peringkat Persekutuan dan Negeri, pensijilan sistem kualiti dan pengurusan hutan dan Pelan Perancangan Tindakan Strategik JPSM, serta merancang dan menjalankan kajian ekonomi perhutanan di samping penerbitan laporan dan perangkaan.
Bahagian Pengurusan Hutan
Bahagian ini bertanggungjawab dalam hal ehwal pengurusan dan inventori hutan, memberi khidmat nasihat kepada Jabatan Perhutanan Negeri berkaitan dengan teknik dan sistem pengurusan serta penilaian sumber hutan asli.
Bahagian Silvikultur Dan Pemeliharaan Biologi Hutan
Bahagian ini bertanggungjawab untuk melaksana dan menyelaras aktiviti-aktiviti silvikultur hutan asli, pengurusan, pembangunan dan pemeliharaan kepelbagaian biologi hutan, dan memberi nasihat teknikal pembangunan hutan kepada Jabatan Perhutanan Negeri.
Bahagian Ladang Hutan Dan Perlindungan Hutan
Bahagian ini bertanggungjawab untuk melaksana dan menyelaras pembangunan dan pengurusan ladang hutan, pembangunan hutan tani, tapak semaian, bank gen
dan kawasan pengeluaran biji benih, pemuliharaan kawasan pesisiran pantai dan pencegahan serta pengawalan kebakaran hutan, penyakit dan agen perosak.
Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa
Bahagian ini bertanggungjawab dalam menangani isu-isu perhutanan serta memupuk jalinan dan kerjasama yang baik di peringkat serantau dan antarabangsa demi menjaga kepentingan dan martabat negara.
Bahagian Latihan Perhutanan
Bahagian ini bertanggungjawab untuk merancang, menyelaras dan melaksanakan kursus-kursus latihan dalam perkhidmatan dan kursus-kursus teknikal, serta kursus kursus Sijil Perhutanan Renjer dan Sijil Perhutanan Pengawas Hutan.
Bahagian Penguatkuasaan Hutan
Bahagian ini bertanggungjawab terhadap pelaksanaan dan pemantauan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan hutan serta memberi khidmat nasihat dan bantuan teknikal kepada Jabatan Perhutanan Negeri bagi perkara-perkara berkaitan dengan aduan, pengumpulan maklumat dan siasatan mengenai kes-kes kesalahan hutan.
Bahagian Kejuruteraan Hutan
Bahagian ini bertanggungjawab untuk memberi khidmat nasihat teknikal berkaitan dengan pembinaan dan penyelenggaraan jalan dan infrastruktur hutan kepada Jabatan Perhutanan Negeri dan pembinaan serta penyelenggaraan bangunan dan infrastruktur-infrastruktur lain Jabatan.
Bahagian Khidmat Pengurusan
Bahagian ini bertanggungjawab untuk memberi perkhidmatan sokongan pengurusan, menguruskan hal-hal berkaitan pentadbiran Jabatan, pengurusan sumber manusia, pengurusan kewangan, pengurusan aset Kerajaan dan pengurusan pusat sumber, penguatkuasaan peraturan dan langkah-langkah keselamatan dan perlindungan dokumen terperingkat Jabatan, dan pengendalian penilaian kompetensi.
Bahagian Pengurusan Maklumat
Bahagian ini bertanggungjawab untuk menyelaras pengurusan dan penggunaan ICT serta pembangunan aplikasi sistem maklumat perhutanan dan pemetaan dengan menggunakan teknologi GIS, RS dan GPS, dan memberi khidmat nasihat dan bantuan teknikal dalam bidang ICT dan maklumat geospatial kepada Jabatan Perhutanan Negeri.
Bahagian Teknikal & Industri Kayu
Bahagian ini bertanggungjawab untuk memberi khidmat nasihat teknikal dalam bidang kejuruteraan mekanikal, rekabentuk kilang, pemilihan jentera dan teknik memproses bagi industri berasas kayu serta teknik-teknik pengusahasilan hutan dan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Bahagian Perundangan Dan Pendakwaan
Bahagian ini bertanggungjawab untuk memberi perkhidmatan perundangan yang professional dan bermutu dan bertindak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dengan cekap, adil dan saksama. Selain itu, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan juga bertanggungjawab dalam menjalankan fungsi- fungsi Jabatan Peguam Negara di peringkat Kementerian atau Jabatan untuk memberikan nasihat dan pandangan dalam perkara-perkara perundangan berdasarkan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Bahagian Forest Eco-Park Dan Hutan Taman Negeri
Bahagian ini bertanggungjawab untuk menyelaras, memantau dan menilai pelaksanaan pembangunan forest ecopark dan hutan taman negeri, serta memberi khidmat nasihat teknikal berkaitan ekopelancongan hutan kepada Jabatan Perhutanan Negeri.
Unit Komunikasi Korporat Dan Perhubungan Awam
Unit ini bertanggungjawab terhadap pengembangan perhutanan dan penyebaran maklumat perhutanan, meningkatkan imej JPSM, pembangunan dan pengurusan galeri perhutanan.