soalan lazim2| hubungi kami2| aduan2| petalaman3

Pensijilan Pengurusan Hutan merupakan satu aktiviti yang penting di peringkat antarabangsa, khususnya dalam perdagangan produk kayu-kayan. Pelaksanaan Pensijilan Pengurusan Hutan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia adalah secara sukarela bagi menzahirkan komitmen murni terhadap kepentingan pengekalan sumber hutan negara, terutamanya bagi kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di bawah amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB).  

Pada masa ini terdapat dua (2) organisasi yang memperakukan pensijilan hutan di peringkat antarabangsa iaitu Programme for the Endorsement of Forest Certification(PEFC) dan Forest Stewardship Council (FSC). Di Semenanjung Malaysia, Pensijilan Pengurusan Hutan adalah berasaskan PEFC yang dilaksanakan menerusi Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) menggunakan standardMalaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification (Natural Forest) [MC&I (Hutan Asli)].  Penilaian yang dijalankan bagi tujuan Pensijilan Pengurusan Hutan pada dasarnya akan dilakukan oleh penilai bebas yang akan menjalankan penilaian ke atas setiap aktiviti pengurusan hutan di peringkat Unit Pengurusan Hutan [(Forest Management Unit (FMU)].  Penilaian bebas ini sudah tentu dapat mengelakkan keadaan berat sebelah atau biasness dan sekaligus akan menaikkan imej dan kewibawaan sesebuah institusi perhutanan.  Ianya juga merupakan satu cara untuk memaklumkan kepada rakyat Malaysia mengenai tindakan-tindakan yang diambil oleh Kerajaan melalui Jabatan Perhutanan bagi mencapai PHSB.  Ini adalah dalam konteks transparency dan accountability

Inisiatif pelaksanaan pensijilan pengurusan hutan di Semenanjung Malaysia bermula pada tahun 1994 berdasarkan ITTO Criteria and Indicators For Sustainable Forest Management yang diterbitkan pada tahun 1992.  Standard ini telah diuji pemakaiannya di negeri Pahang, Selangor dan Terengganu menerusi satu projek perintis kerjasama Malaysia – Netherlands.  Seterusnya pada tahun 2001 dokumen Malaysian Criteria, Indicators, Actitivies and Standards of Performance (MC&I) telah diterbitkan  untuk Pensijilan Pengurusan Hutan di Semenanjung Malaysia. Standard ini lebih dikenali sebagai MC&I (2001) yang mengandungi Kriteria, Indikator, Aktiviti dan Prestasi Standard seperti berikut:

MC&I (2001)

Di bawah  standard MC&I (2001) ini, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia telah memperolehi Sijil Pengurusan Hutan pada tahun 2002 menerusi lima (5) FMU iaitu FMU Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu. Ini diikuti oleh FMU Johor dan Kedah pada tahun 2003 dan FMU Kelantan pada 2004.

Selaras dengan amalan antarabangsa standard pensijilan telah dibuat kajian semula untuk memastikan penambahbaikan dibuat secara berterusan. Pelaksanaan kajian semula standard ini dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kajian Semula yang terdiri daripada kumpulan pemegang taruh masing-masing iaitu sosial (masyarakat Orang Asli dan kesatuan pekerja), kumpulan berkepentingan terhadap alam sekitar dan ekonomi, dan agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan dari tiga kawasan serantau di Malaysia, iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Standard MC&I (2001) ini kemudiannya telah dibuat penambahbaikan bagi memberi pertimbangan yang lebih munasabah dan menyeluruh kepada kehendak perlindungan alam sekitar, ekologi, sosial dan kepelbagaian biologi dan dikenali sebagai Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification [MC&I (2002)]. MC&I (2002) ini mula diterimapakai pada tahun 2005.  Secara ringkasnya MC&I (2002) mengandungi Prinsip, Kriteria, Indikator dan juga Verifier seperti berikut:

MC&I (2002)

Pada 13 Januari 2012 Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification (Natural Forest) [MC&I (Hutan Asli)] telah diterbitkan menggantikan MC&I (2002) yang telah dibuat penambahbaikan. MC&I (Hutan Asli) mula berkuatkuasa pada 1 Julai 2012.   Secara ringkasnya, Prinsip, Kriteria, Indikator dan juga Verifier di bawah standard MC&I (Hutan Asli) untuk Semenanjung Malaysia adalah seperti berikut:

MC&I (Hutan Asli)

Pada Tahun 2015, proses semakan semula telah dilaksanakan bermula 16 November 2015 bagi menambah baik MC&I (Hutan Asli) dan draf akhir standard yang baru telah dimuktamadkan dan diterima pakai oleh Mesyuarat Kelima SRC dan seterusnya diluluskan oleh Lembaga Pemegang Amanah MTCC pada 5 Mac 2020. Standard yang akan menggantikan MC&I (Hutan Asli) adalah Malaysian Criteria and Indicators for Sustainable Forest Management (MC&I SFM). Jangkaan penggunaan sepenuhnya standard ini adalah bermula 31 Ogos 2021. Standard ini menggantikan MC&I (Hutan Asli) dan MC&I Ladang Hutan.v2 sebagai standard yang akan digunakan untuk pensijilan pengurusan hutan bagi hutan asli dan ladang hutan di Malaysia. Secara ringkasnya, Prinsip, Kriteria, Indikator dan juga Verifier di bawah standard MC&I SFM adalah seperti berikut:

 

 Prinsip  Kriteria    Petunjuk
Hutan Asli  Ladang Hutan 
 9  49  99  105

 

Sehingga kini enam (6) FMU iaitu negeri Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu telah dianugerahkan Sijil Pengurusan Hutan sehingga tahun 2020 melibatkan kawasan HSK seluas 3.71 juta hektar.

Penambahbaikan dokumen standard Pensijilan Pengurusan Hutan di Semenanjung Malaysia

cert2

 Sijil Pengurusan Hutan MC&I (Hutan Asli)

sijilmcni2021

 

Hubungi Kami

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia
Jalan Sultan Salahuddin,
50660 Kuala Lumpur
No. Tel: 603-26164488
No. Faks: 603-26925657
Emel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Statistik Pelawat

Hari Ini 76

Semalam 1406

Minggu Ini 76

Bulan Ini 51682

Keseluruhan 1642545