soalan lazim2| hubungi kami2| aduan2| petalaman3

KATEGORI AM

1. Apakah perbezaan di antara Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Negeri?

Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia bertanggungjawab menggubal dasar perhutanan, memberi khidmat nasihat teknikal dan bantuan kepada Jabatan Perhutanan Negeri berkaitan perkara perancangan hutan, pengurusan dan pembangunan, pengusahasilan hutan dan industri berasaskan kayu, kajian operasi hutan serta latihan dan pembangunan sumber manusia.

Manakala, Jabatan Perhutanan Negeri bertanggungjawab ke atas pentadbiran dan pengawalan pengusahasilan hutan, kutipan hasil hutan dan pembangunan sumber hutan negeri. Jabatan ini juga merancang dan menyelaraskan pembangunan industri berasaskan kayu. Jabatan Perhutanan Negeri yang dibahagikan kepada Bahagian Operasi Hutan dan Bahagian Pembangunan Hutan disokong oleh Pejabat-pejabat Hutan Daerah.

2. Bagaimanakah saya menghubungi pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Negeri?

Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Negeri boleh dihubungi sepertimana berikut:

Bil Alamat Pejabat No. Tel/ Faks/Emel/Laman Web
1 Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia
Jalan Sultan Salahuddin,
50660 Kuala Lumpur.
Tel : 03-26164488
Faks : 03-26925657
Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Web : www.forestry.gov.my
2 Jabatan Perhutanan Negeri Johor
Tingkat 2, Bangunan Dato’ Mohamad Ibrahim Munsyi,
Kota Iskandar, 79660 Iskandar Putri, Johor.
Tel : 07-2667433
Faks : 07-2661288
Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Web : forestry.johor.gov.my
3 Jabatan Perhutanan Negeri Kedah
Aras 8, Bangunan Sultan Abdul Halim,
Jalan Sultan Badlishah,
05000 Alor Setar, Kedah.
Tel : 04-7659 849
Faks : 04-7310610
Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Web : www.kedforestry.gov.my
4 Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan
Blok 5, Tingkat 1,
Kompleks Kota Darulnaim,
15503 Kota Bharu, Kelantan.
Tel : 09-7482140/7481957
Faks : 09-7445 675
Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Web : jpnk.kelantan.gov.my
5 Pejabat Perhutanan Negeri Melaka
Lebuh Ayer Keroh,
75450 Ayer Keroh, Melaka.
Tel : 06-2316095
Faks : 06-2322867
Web : forestry.melaka.gov.my
6 Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan
Blok C, Tingkat 4,
Kompleks Setiausaha Kerajaan,
70503 Seremban, Negeri Sembilan.
Tel : 06-7659849
Faks : 06-7623711
Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Web : forestry.ns.gov.my
7 Jabatan Perhutanan Negeri Pahang
Tingkat 5, Kompleks Tun Razak,
Bandar Indera Mahkota,
25990 Kuantan, Pahang.
Tel : 09-5732911/912/913/914
Faks : 09-5733355/6152
Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Web : www.forestry.pahang.gov.my
8 Jabatan Perhutanan Negeri Perak
Persiaran Meru Utama,
Bandar Meru Raya,
30020 Ipoh, Perak.
Tel : 05-5288100/071/072/073
Faks : 05-5288101
Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Web : www.perakforestry.gov.my
9 Jabatan Perhutanan Negeri Perlis
KM 2, Jalan Kaki Bukit,
01000 Kangar, Perlis.
Tel : 04-9765966
Faks : 04-9767901
Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Web : www.perlisforestry.gov.my
10 Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang
Tingkat 20, KOMTAR,
10300 Pulau Pinang.
Tel : 04-6505250
Faks : 04-2636335
Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Web : www.jhn.penang.gov.my
11 Jabatan Perhutanan Negeri Selangor
Tingkat 3, Podium Utara,
Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,
40660 Shah Alam, Selangor.
Tel : 03-55447489/000
Faks : 03-55119961
Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Web : forestry.selangor.gov.my
12 Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu
Tingkat 8, Wisma Negeri,
20200 Kuala Terengganu, Terengganu.
Tel : 09-6222444/1587
Faks : 09-6236552
Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Web : www.trgforestry.terengganu. gov.my
13 Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan
Lot 240, Bukit Nanas,
Jalan Raja Chulan,
50250 Kuala Lumpur.
Tel : 03-20264741
Faks : 03-20706342

3. Apakah perbezaan di antara penggunaan Dasar, Akta, Enakmen, Ordinan dan Kaedah-kaedah di dalam perhutanan?

Dasar Perhutanan Malaysia merupakan suatu garis panduan yang digubal dengan mengambilkira aspek utama ketiga-tiga polisi perhutanan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Kenyataan, Rasional dan Objekif Dasar dalam Dasar Perhutanan Malaysia adalah bersifat umum dan menjadi rujukan serta panduan bagi ketiga-tiga wilayah masing-masing dalam pelaksanaan pengurusan hutan secara berkekalan. Sasaran, matlamat dan strategi wilayah masing-masing diperincikan dalam Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Dasar Hutan Sabah untuk Negeri Sabah dan Dasar Hutan Sarawak untuk Negeri Sarawak.

Akta Perhutanan Negara 1984 merupakan undang-undang yang digubal dan diluluskan oleh Parlimen Malaysia. Undang-undang ini diperuntukan bagi pentadbiran, pengurusan dan pemuliharaan hutan serta pembangunan perhutanan dalam Negeri di Malaysia dan bagi maksud yang berkaitan.

Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara pula merupakan undang-undang yang diluluskan di peringkat Dewan Undangan Negeri bagi semua negeri-negeri di Malaysia kecuali Sarawak untuk menerimapakai ataupun menggunakan Akta Perhutanan Negara 1984.

Ordinan Hutan pula merupakan undang-undang yang diluluskan di peringkat Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk menerimapakai ataupun menggunakan Akta Perhutanan Negara 1984.

Kaedah-kaedah Hutan pula merupakan dokumen yang menyatakan prosedur ataupun kaedah pelaksanaan Akta Perhutanan Negara di peringkat negeri. Dokumen ini akan menyatakan secara spesifik kaedah pelaksanaan, kadar fi, borang dan lain-lain perkara yang akan digunapakai dalam pemakaian Akta Perhutanan Negara.

4. Dimanakah saya boleh mendapatkan dokumen Dasar, Akta, Enakmen, Ordinan dan Kaedah-kaedah yang digunapakai di dalam perhutanan?

Dokumen Dasar, Akta, Enakmen, Ordinan dan Kaedah-kaedah yang digunapakai di dalam perhutanan boleh dimuat turun melalui pautan: https://www.forestry.gov.my/my/perpustakaan-jpsm-muat-turun ataupun dengan menghubungi Pegawai Undang-undang Negeri ataupun Pegawai di Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

5. Apakah peranan Pegawai Perhutanan di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan juga Jabatan Perhutanan Negeri?

Pegawai Perhutanan di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Negeri dikenali sebagai Pemelihara Hutan dan akan bertanggungjawab dalam merancang, mengurus dan mengawal aktiviti perhutanan supaya sejajar dengan peraturan dan dasar Kerajaan.

6. Dimanakah saya boleh mendapatkan katalog glosari perhutanan?

Katalog glosari perhutanan boleh diakses melalui pautan: https://www.forestry.gov.my/my/perkhidmatan/info-perhutanan/katalog-glosari-perhutanan.

7. Dimanakah saya boleh membuat pembelian buku terbitan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia?

Pembelian buku terbitan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia boleh dibuat melalui Seksyen Perpustakaan, Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. Senarai buku terbitan yang ditawarkan untuk jualan boleh dirujuk melalui pautan: https://www.forestry.gov.my/my/pusat-sumber/penerbitan/buku-terbitan.

8. Apakah prosedur bagi penggunaan fasiliti perpustakaan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia?

Prosedur bagi penggunaan fasiliti perpustakaan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia adalah dengan mengemukakan surat permohonan secara rasmi kepada Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia untuk bagi pertimbangan dan kelulusan. Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh hubungi Seksyen Perpustakaan, Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di talian 03-26164488.

9. Dimanakah saya boleh merujuk senarai buku penerbitan ataupun jurnal berkaitan perhutanan?

Senarai buku penerbitan ataupun jurnal berkaitan perhutanan boleh dirujuk melalui pautan: https://www.forestry.gov.my/my/pusat-sumber/perpustakaan-jpsm.

10. Bagaimanakah cara meminjam atau menderma buku rujukan di perpustakaan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia?

Permohonan untuk meminjam atau menderma buku rujukan di perpustakaan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia boleh dibuat dengan menghubungi Seksyen Perpustakaan, Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di talian 03-26164488.

11. Bagaimanakah cara menghantar jurnal ataupun manuskrip bagi tujuan penerbitan dalam buku The Malaysian Forester?

Penghantaran jurnal ataupun manuskrip bagi tujuan penerbitan dalam buku The Malaysian Forester boleh dibuat dengan mengemukakan softcopy jurnal pihak penyunting (editor) melalui emel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. untuk pertimbangan dan kelulusan. Format penyediaan manuskrip ataupun jurnal boleh dirujuk melalui pautan http://malaysianforester.my/forestry.

12. Bagaimanakah cara membuat permohonan bagi mengikuti Kursus Sijil Perhutanan Renjer Hutan dan Kursus Sijil Perhutanan Pengawas Hutan yang dianjurkan oleh Institut Latihan Perhutanan (FORTRAIN), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia?

Penawaran bagi mengikuti Kursus Sijil Perhutanan Renjer Hutan dan Kursus Sijil Perhutanan Pengawas Hutan akan dibuat melalui siaran tawaran iklan pengambilan melalui laman web Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia: www.forestry.gov.my dan juga media sosial rasmi pihak Jabatan @jpsmofficial. Oleh itu, permohonan boleh dikemukakan mengikut tempoh dan syarat sepertimana disiarkan di dalam tawaran iklan tersebut.

13. Bagaimanakah cara membuat permohonan bagi mengikuti Program Pensijilan Pengurusan Hutan (MC&I)?

Permohonan bagi mengikuti Program Pensijilan Pengurusan Hutan (MC&I) boleh dirujuk terus kepada Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (Malaysian Timber Certification Council, MTCC) di talian 03 - 2161 2298 ataupun dengan merujuk pautan https://mtcc.com.my untuk maklumat lanjut.

14. Bagaimanakah cara membuat permohonan bagi mengadakan lawatan ke galeria dan pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia?

Permohonan bagi mengadakan lawatan ke galeria dan pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia boleh dihantar melalui surat rasmi kepada Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia bagi pertimbangan dan kelulusan.

15. Bagaimanakah cara membuat permohonan penajaan dan mengadakan program tanggungjawab sosial (CSR) di kawasan Hutan Simpanan Kekal?

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia amat mengalu-alukan penglibatan orang awam di dalam program-program memelihara dan memulihara khazanah hutan. Walau bagaimanapun, kebenaran hanya diberikan kepada kumpulan, syarikat, badan bukan kerajaan (NGO), Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan agensi awam yang lain. Sekiranya berminat untuk menaja atau melibatkan diri dalam program-program tersebut, sila hantar surat permohonan secara rasmi kepada Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia ataupun kepada Pengarah Perhutanan Negeri berkaitan untuk pertimbangan dan kelulusan.

16. Bagaimanakah cara membuat permohonan bagi menjalankan penggambaran filem, dokumentari, videografi dan fotografi di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal?

Permohonan bagi menjalankan penggambaran filem, dokumentari, videografi dan fotografi di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal boleh dibuat dengan mengemukakan surat permohonan rasmi kepada Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia ataupun kepada Pengarah Perhutanan Negeri berkaitan untuk pertimbangan dan kelulusan.

17. Bagaimanakah cara membuat permohonan untuk membawa dan menggunakan dron di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal?

Permohonan untuk membawa dan menggunakan dron di dalam Hutan Simpanan Kekal perlu mendapat kebenaran daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan juga Pengarah Perhutanan Negeri berkaitan. Pengambilan foto dan video menggunakan dron juga adalah tertakluk kepada peraturan dan kaedah-kaedah hutan sedia ada.

18. Bagaimanakah cara membuat permohonan untuk menjalankan kajian/ penyelidikan di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal?

Permohonan untuk menjalankan kajian/ penyelidikan di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal perlu melengkapkan “Borang Permohonan Untuk Menjalankan Kajian/Penyelidikan Dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK)” dan dikemukakan satu (1) bulan awal dari tarikh pelaksanaan kajian/ penyelidikan kepada Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia untuk pertimbangan dan kelulusan. Borang berkaitan boleh dimuat turun melalui pautan: https://www.forestry.gov.my/my/pusat-sumber/muat-turun.

19. Bagaimanakah cara membuat permohonan untuk mengadakan sesi temu bual bersama Pegawai Perhutanan bagi tujuan siaran media/ penyelidikan/ pendidikan)?

Permohonan untuk mengadakan sesi temu bual boleh dibuat dengan mengemukakan surat permohonan rasmi kepada Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia ataupun kepada Pengarah Perhutanan Negeri berkaitan untuk pertimbangan dan kelulusan dan dikemukakan dua (2) minggu awal dari tarikh sesi temu bual.

20. Bagaimanakah cara membuat permohonan bagi menjalankan Latihan Industri di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia?

Permohonan untuk menjalankan Latihan Industri boleh dibuat dengan mengemukakan surat permohonan rasmi kepada Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia ataupun kepada Pengarah Perhutanan Negeri berkaitan untuk pertimbangan dan kelulusan melalui Institut Pengajian Tinggi – IPT masing-masing serta biodata/ resume pemohon.

21. Bagaimanakah cara membuat permohonan pekerjaan secara lantikan tetap/ kontrak/ sambilan di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia?

Permohonan untuk pekerjaan secara lantikan tetap di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia perlu melalui prosedur permohonan pekerjaan dan lantikan sah melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Manakala, pengambilan pegawai secara lantikan kontrak/ sambilan pula akan disiarkan dalam laman web rasmi Jabatan: www.forestry.gov.my dan media sosial rasmi @jpsmofficial.

22. Bagaimanakah cara membuat jemputan penceramah daripada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia?

Jemputan penceramah daripada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia boleh dibuat dengan mengemukakan surat permohonan rasmi kepada Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia ataupun kepada Pengarah Perhutanan Negeri berkaitan untuk pertimbangan dan kelulusan.

23. Bagaiamanakah cara mengemukakan cadangan penambahbaikan mutu perkhidmatan di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia?

Sebarang cadangan penambahbaikan mutu perkhidmatan di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia boleh dikemukakan melalui emel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

KATEGORI PENGURUSAN HUTAN

1. Apakah definisi hutan?

Hutan merujuk kepada kawasan yang ditumbuhi pokok secara meliar dan bercampur-campur yang menjadi habitat semula jadi flora dan fauna. Hutan juga merupakan sebahagian tanah yang lebih besar dari setengah hektar (5,000 meter persegi) dan mempunyai pokok dengan ketinggian melebihi lima (5) meter serta mempunyai litupan kanopi pokok melebihi 10 peratus atau dengan pokok yang dapat memenuhi kriteria ini.

2. Apakah kategori-kategori hutan?

Hutan dikategorikan kepada tiga (3) jenis iaitu Hutan Simpanan Kekal di bawah pentadbiran Jabatan Perhutanan, Hutan Tanah Kerajaan di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan dan Hutan Tanah Berimilik di bawah pentadbiran individu/ perseorangan.

3. Apakah kategori-kategori lapisan hutan?

Lapisan hutan dikategorikan kepada beberapa lapisan seperti berikut:

a. Kanopi atas
  - Terdiri daripada pokok-pokok besar dengan ketinggian di antara 30m - 50m dan mempunyai batang yang lurus, tegak serta berakar banir. Lapisan ini merupakan habitat burung dan kumpulan monyet dan kera.

b. Kanopi utama
 - Terdiri daripada pokok-pokok sederhana besar dengan ketinggian di antara 20m - 30m. Pokok-pokok ini tumbuh rapat dan rendah serta mempunyai kanopi yang tebal dan boleh menghalang cahaya matahari menembusi lapisan bawah.

c. Lapisan bawah kanopi
 - Terdiri daripada pokok-pokok dengan ketinggian 6m - 20m. Lapisan ini merupakan habitat hidupan liar seperti ular, harimau bintang dan harimau kumbang.

d. Lantai hutan
 - Terdiri daripada tumbuhan dengan ketinggian kurang daripada 5m seperti tumbuhan herba dan renek. Permukaan tanah biasanya tidak menerima sinaran cahaya matahari secara terus serta dipenuhi kulat, cendawan, lumut, fungi dan paku pakis.

4. Apakah kategori-kategori saiz pokok?

Saiz pokok dikategorikan mengikut diameter seperti berikut:

 a. Spesies pokok bersaiz kecil (<54 cm dbh);
 b. Spesies pokok bersaiz sederhana (54 – 86 cm dbh);
 c. Spesies pokok bersaiz besar (86 – 150 cm dbh); dan
 d. Spesies pokok bersaiz sangat besar (≥ 150 cm dbh).

5. Apakah definisi Hutan Simpanan Kekal?

Hutan Simpanan Kekal didefinisikan sebagai kawasan tanah berhutan dan tidak berhutan yang diwartakan untuk tujuan perhutanan di bawah Seksyen 7, Akta Perhutanan Negara 1984. Pada kebiasaannya, kawasan ini hanya disebut sebagai Hutan Simpan. Hutan Simpanan Kekal juga merujuk kepada mana-mana tanah yang dijadikan atau disifatkan telah dijadikan suatu hutan simpanan kekal di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 bagi Semenanjung.

6. Apakah senarai pengelasan Hutan Simpanan Kekal berdasarkan peruntukan Akta Perhutanan Negara 1984?

Senarai pengelasan Hutan Simpanan Kekal berdasarkan peruntukan Akta Perhutanan Negara 1984 sepertimana berikut:

 a. Hutan Pengeluaran Kayu di bawah Perolehan Berkekalan
 b. Hutan Perlindungan Tanah
 c. Hutan Tebus-guna Tanah
 d. Hutan Kawalan Banjir
 e. Hutan Tadahan Air
 f. Hutan Perlindungan Hidupan Liar
 g. Hutan Simpanan Hutan Dara
 h. Hutan Lipur
 i. Hutan Pelajaran
 j. Hutan Penyelidikan; dan
 k. Hutan Bagi Maksud Persekutuan.

7. Apakah senarai pengelasan Hutan Simpanan Kekal berdasarkan Ciri Altitud dan Iklim?

Senarai pengelasan Hutan Simpanan Kekal berdasarkan Ciri Altitud dan Iklim sepertimana berikut:

 a. Hutan Dipterokarpa Pamah;
 b. Hutan Dipterokarpa Bukit;
 c. Hutan Dipterokarpa Atas;
 d. Hutan Oak-Gunung; dan
 e. Hutan Ericaceous-Gunung.

8. Apakah definisi dan tujuan Zon Penampan (Buffer Zone) dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK)?

Zon penampan mengikut definisi dalam Dasar Rancangan Fizikal Negara (RFN) Ke-2 adalah sebagai bentuk kawasan hijau yang memisahkan dua aktiviti guna tanah yang tidak melengkapi, contohnya kawasan perumahan dan perindustrian. Secara amnya, zon ini menjadi satu kawasan larangan dan hendaklah bebas daripada sebarang gangguan dan aktiviti manusia yang boleh merosakkan kawasan tersebut.

Berdasarkan Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Bilangan 5 Tahun 2014: Penetapan Kelebaran Zon Pemampan Mengikut Fungsi Hutan Simpanan Kekal adalah seperti berikut:

Bil Fungsi HSK Kawasan Bersebelahan HSK Kelebaran Minumum (meter) Kedudukan Zon Penampan
i Kawasan Perlindungan Pengusahasilan 20 Dalam/ Luar HSK
Perumahan 20 Dalam/ Luar HSK
Kuari/Perlombongan 500 Dalam/ Luar HSK
Perindustrian 20 Dalam/ Luar HSK
Infrastruktur 20 Dalam/ Luar HSK
Pertanian 20 Dalam/ Luar HSK
Sempadan Negeri/Negara 20 Dalam/ Luar HSK
ii Kawasan Pengeluaran Perumahan 20 Dalam/ Luar HSK
Infrastruktur 20 Dalam/ Luar HSK
Empangan/ Tadahan Air 100 Dalam/ Luar HSK
Pertanian 20 Dalam/ Luar HSK
Taman Negeri/Taman Negara/Rizab Hidupan Liar 50 Dalam/ Luar HSK
Sempadan Negeri 20 Dalam/ Luar HSK
Sempadan Negara 40 Dalam/ Luar HSK

Rujukan lanjut atau muat turun pekeliling ini melalui pautan: https://www.forestry.gov.my/images/PEKELILING/2014/PKPPSMBil_52014.pdf

9. Apakah kaedah pengusahasilan/ pembalakan yang dijalankan di dalam Hutan Simpanan Kekal di Semenanjung Malaysia?

Kaedah yang digunakan dalam pengusahasilan/ pembalakan Hutan Simpanan Kekal adalah menggunapakai Sistem Pengurusan Memilih ataupun Selective Management System (SMS). Kaedah SMS secara umumnya adalah penebangan pokok secara terpilih iaitu melibatkan penebangan pokok-pokok besar atau sesuai sahaja dan kemudiannya menjalani rawatan silvikultur bagi memulihkan kawasan yang telah diusahasil.

10. Berapakah jumlah keluasan kawasan berhutan dan keluasan Hutan Simpanan Kekal terkini di Semenanjung Malaysia?

Jumlah kawasan berhutan dan Hutan Simpanan Kekal di Semenanjung Malaysia bagi tahun 2020 adalah sejumlah 5,694,784 hektar dan 4,806,334 hektar masing-masing. Maklumat terperinci boleh diperolehi melalui pautan: https://www.forestry.gov.my/my/pusat-sumber/2016-06-07-03-12-29 ataupun dapatkan buku Perangkaan Perhutanan Semenanjung Malaysia yang terkini dengan harga RM20.00 senaskah. Bagi tujuan pembelian boleh dirujuk melalui Seksyen Perpustakaan, Bahagian Khidmat Pengurusan di talian 03-26164488.

11. Bolehkah sesuatu kawasan Hutan Simpanan Kekal dibalak?

Hutan Simpanan Kekal dikelaskan kepada dua (2) kategori iaitu Hutan Pengeluaran dan Hutan Perlindungan. Bagi tujuan aktiviti pembalakan hanya dibenarkan di dalam Hutan Simpanan Kekal yang dikategorikan sebagai Hutan Pengeluaran dengan kebenaran dan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.

12. Bagaimanakah sempadan sesuatu Hutan Simpanan Kekal dapat dikenalpasti dilapangan?

Hutan Simpanan Kekal dikelaskan kepada dua (2) kategori iaitu Hutan Pengeluaran dan Hutan Perlindungan. Bagi tujuan aktiviti pembalakan hanya dibenarkan di dalam Hutan Simpanan Kekal yang dikategorikan sebagai Hutan Pengeluaran dengan kebenaran dan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.

13. Bagaimanakah cara mengenalpasti ciri-ciri dan usia sesuatu spesies pokok?

Cara mengenalpasti ciri-ciri dan usia sesuatu spesies pokok adalah dengan membuat pemerhatian pada ciri khusus dan unik spesies pokok tersebut seperti silara, batang, daun, dahan, ranting, kulit, isi kulit, isi kayu dan diameter pokok. Bagi mendapatkan pengesahan mengenai spesies pokok, rujukan boleh dibuat kepada Bahagian Latihan Perhutanan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di talian 03-6276 6007 dan juga Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia di talian 03-6279 7000.

14. Bagaimanakah cara membuat permohonan untuk melabelkan spesies pokok?

Permohonan boleh dibuat melalui Bahagian Latihan Perhutanan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh hubungi talian 03-6276 6007.

15. Apakah yang dimaksudkan dengan konsesi, lesen dan permit?

Konsesi adalah hal atau keizinan yang diberikan kepada syarikat untuk menggunakan sesuatu kawasan bagi pengusahasilan hutan untuk suatu tempoh yang dipersetujui.

Lesen adalah sijil atau dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri yang memberi kebenaran kepada seseorang atau syarikat untuk memindahkan hasil hutan dan terbahagi kepada Lesen Mengambil Hasil Hutan (Borang 1); Lesen Kecil (Borang 3); dan Lesen Pemindah (Borang 5).

Permit adalah surat atau dokumen rasmi untuk melaksanakan sesuatu di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal dan terbahagi kepada Permit Penggunaan (Borang 4); Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal (Borang 6); dan Permit Jalan (Borang 7).

16. Apakah definisi bagi hasil hutan?

Menurut Seksyen 2 Akta Perhutanan Negara 1984 "hasil hutan" ditafsirkan mengikut status tanah dan jenis hasil sepertimana jadual berikut:

Status Tanah Jenis Hasil
Hutan Simpanan Kekal Guano, gambut, batu batan, pasir laut, pasir sungai, kerang laut, pasir kerang dan tanah permukaan.
Hutan Simpanan Kekal dan Tanah Kerajaan Pokok dan semua bahagian atau hasil pokok yang tidak disebut selepas daripada ini.
Tumbuh-tumbuhan termasuk pepanjat, tumbuhan menjalar & rumput dan semua bahagian atau hasil tumbuh-tumbuhan sedemikian.

Sutera, kokun, madu, lilin dan sarang burung boleh dimakan.
Hutan Simpanan Kekal, Tanah Kerajaan, Tanah Lombong, Tanah Rizab dan Tanah Berimilik Kayu, kayu api, fuelwood, getah & daun taban, minyak kayu, kulit kayu, ekstrak kayu, damar dan atap.

17. Apakah syarat asas bagi permohonan lesen untuk pengeluaran hasil daripada Hutan Simpanan Kekal dan Tanah Kerajaan?

Pengambilan hasil hutan daripada kawasan Hutan Simpanan Kekal dan Tanah Kerajaan adalah melalui Lesen Mengambil Hasil Hutan sebagaimana Borang 1 dalam Akta Perhutanan Negara 1984. Syarat asas bagi permohonan ini adalah pemohon samada individu ataupun perbadanan perlu berdaftar sebagai kontraktor pembalakan dengan Jabatan Perhutanan Negeri di bawah Kaedah 28 atau Kaedah 29, Kaedah-kaedah Hutan atau peraturan-peraturan yang berkuatkuasa di negeri-negeri. Pendaftaran ini adalah bagi membolehkan Jabatan memilih dan memastikan hanya individu atau perbadanan yang layak sahaja menjalankan aktiviti pengusahasilan hutan. Maklumat lanjut berkaitan perkara ini boleh didapati melalui pautan: https://www.forestry.gov.my/my/perkhidmatan/perlesenan-lesen-hasil.

18. Bagaimanakah cara membuat permohonan Permit Penggunaan Hutan Simpanan Kekal?

Permohonan untuk Permit Penggunaan Hutan Simpanan Kekal adalah sebagaimana Borang 4 dalam Akta Perhutanan Negara 1984. Permohonan boleh dibuat secara terus melalui Jabatan Perhutanan Negeri yang berkaitan.

19. Apakah aktiviti-aktiviti yang dibenarkan untuk permohonan Permit Penggunaan?

Aktiviti-aktiviti yang dibenarkan untuk permohonan Permit Penggunaan adalah aktiviti penyelidikan, pelajaran atau latihan, rekreasi, penggunaan sumber air, penanaman sayur-sayuran dan tanaman foder, penubuhan loji penukaran dan penubuhan infrastruktur pembalakan.

20. Bagaimanakah cara membuat permohonan untuk membawa keluar hasil hutan daripada kawasan tanah milik, tanah di bawah lesen pendudukan sementara, tanah lombong ataupun tanah rizab?

Permohonan untuk membawa keluar hasil hutan daripada kawasan tanah milik, tanah di bawah lesen pendudukan sementara, tanah lombong ataupun tanah rizab adalah melalui Lesen Pemindah sebagaimana Borang 5 dalam Akta Perhutanan Negara 1984. Permohonan boleh dibuat secara terus melalui Jabatan Perhutanan Negeri yang berkaitan.

21. Apakah yang dimaksudkan dengan pensijilan kayu-kayan dan kepentingannya?

Pensijilan kayu-kayan adalah satu proses penilaian bebas untuk mengesahkan asal-usul bahan mentah kayu dan statusnya. Ia kini telah menjadi alat pasaran penting untuk menggalakkan pengurusan hutan yang baik supaya mengambil kira aspek-aspek ekonomi, social dan alam sekitar hutan berkaitan. Pensijilan kayu-kayan adalah penting kerana ia menggalakkan dan memastikan pelaksanaan amalan pengurusan hutan baik supaya ia boleh terus kekal sihat untuk menghasilkan kayu dan lain-lain perkhidmatan secara berkekalan.

22. Bagaimanakah cara membuat permohonan memasuki Hutan Simpanan Kekal?

Permohonan untuk memasuki Hutan Simpanan Kekal adalah melalui pemberian Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal sebagaimana Borang 6 dalam Akta Perhutanan Negara 1984. Permohonan boleh dibuat secara terus melalui Jabatan Perhutanan Negeri yang berkaitan.

23. Apakah prosedur bagi mendapatkan permohonan lesen import atau eksport bagi kayu gaharu, rotan dan kayu balak?

Permohonan untuk lesen import atau eksport produk hasil hutan perlu dirujuk ke Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) melalui pautan http://www.mtib.gov.my/.

24. Apakah syarat asas bagi permohonan lesen Industri Berasas Kayu (IBK)?

Permohonan Lesen Industri Kayu (IBK) boleh dibuat dengan mengemukakan dua (2) Salinan Borang Proforma Industri Berasas Kayu yang boleh diperolehi di Pejabat Hutan Daerah ataupun di Pejabat Perhutanan Negeri yang berkaitan untuk pertimbangan dan kelulusan. Maklumat lanjut berkaitan perkara ini boleh didapati melalui pautan: https://www.forestry.gov.my/my/perkhidmatan/perlesenan-industri-kayu.

25. Dimanakah saya boleh mendapatkan rujukan harga kayu balak semasa?

Maklumat berkaitan harga kayu balak semasa boleh didapati dengan melayari laman web rasmi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia melalui pautan: https://www.forestry.gov.my/my/harga-kayu-balak ataupun laman boleh dirujuk kepada pihak Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) di pautan: https://www.mtib.gov.my/perkhidmatan/promosi/harga-kayu.

26. Bagaimanakah cara membuat permohonan untuk mendapatkan salinan data geospatial ataupun data perhutanan?

Permohonan untuk mendapatkan salinan data geospatial perlu dikemukakan secara rasmi kepada Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia. Syarat-syarat permohonan boleh dirujuk melalui Pekeliling KPPSM Bil. 1 Tahun 2014: Polisi Perkongsian dan Penyebaran Maklumat Geospatial JPSM dan maklumat lanjut berkaitan perkara ini boleh didapati melalui pautan: https://www.forestry.gov.my/my/permohonan-mendapatkan-data-jpsm.

27. Dimanakah saya boleh mendapatkan maklumat perangkaan perhutanan?

Maklumat perangkaan perhutanan boleh diakses melalui pautan: https://www.forestry.gov.my/my/pusat-sumber/2016-06-07-03-12-29 ataupun memuat turun laporan tahunan melalui pautan: https://www.forestry.gov.my/my/pusat-sumber/2016-06-07-03-12-29 ataupun dapatkan buku Perangkaan Perhutanan Semenanjung Malaysia yang terkini dengan harga RM20.00 senaskah. Bagi tujuan pembelian boleh dirujuk melalui Seksyen Perpustakaan, Bahagian Khidmat Pengurusan di talian 03-26164488.

28. Bagaimanakah saya ingin membuat laporan mengenai pokok berbahaya?

Laporan pokok berbahaya yang terletak di dalam Hutan Simpanan Kekal boleh dilaporkan secara terus kepada Jabatan Perhutanan Negeri berkaitan. Manakala, pokok berbahaya yang terletak di luar Hutan Simpanan Kekal seperti pokok tepi jalan, pokok bandar dan lain-lain boleh dilaporkan terus kepada Pejabat Berkuasa Tempatan yang berkaitan.

KATEGORI LADANG HUTAN

1. Dimanakah saya boleh memperolehi maklumat mengenai tumbuhan ubatan?

Maklumat berkaitan tumbuhan ubatan atau herba hutan boleh boleh diakses melalui pautan: https://www.forestry.gov.my/my/perkhidmatan/info-perhutanan/tumbuhan-ubatan.

2. Apakah definisi bagi pokok ibu dan pokok perlindungan?

Pokok ibu adalah pokok yang dipilih daripada pokok-pokok matang yang mempunyai sifat-sifat fizikal yang baik dan ditanda untuk dikekalkan bagi tujuan pengeluaran biji benih. Manakala pokok perlindungan adalah pokok yang berukuran diameter yang sama atau melebihi had batas tebangan, yang ditanda untuk dikekalkan bagi tujuan perlindungan semasa kerja pengusahasilan untuk kepentingan silvilkultur, kepentingan hidupan liar, sumber pemakanan dan pemeliharaan spesies terancam.

3. Berapakah jumlah spesies pokok perlindungan dan dimanakah saya boleh mendapatkan senarai spesies tersebut?

Pokok perlindungan adalah pokok-pokok buah-buahan yang menjadi sumber makanan kepada fauna khususnya burung dan tidak boleh ditebang. Terdapat 32 spesies pokok yang dikategorikan sebagai pokok perlindungan sepertimana berikut dan maklumat lanjut boleh diakses dengan malayari laman web MyBis di pautan: www.mybis.gov.my.

Bil Nama Saintifik Nama Tempatan
1 Aglaia sp. Bekak
2 Archidendron bubalirum Kerdas
3 Archidendron jiringa Jering
4 Ardisia sp. Mata pelanduk
5 Artocarpus heterophyllus Nangka
6 Artocarpus integer Cempedak
7 Artocarpus rigidus Temponek
8 Baccaurea maingayi Tampoi
9 Baccaurea sumatrana Tampoi
10 Barringtonia sp. Putat
11 Bouea macrophyla Kundang Hutan
12 Castanopsis spp. Berangan
13 Dialium sp. Keranji
14 Durio zibethinus Durian (Durian Kampung)
15 Dysoxylum sp. Mersindok
16 Eugenia sp. Kelat jambu laut
17 Ficus spp. Ara
18 Garcinia artoviridis Asam Gelugor
19 Irvingia malayana Pauh
20 Knema sp. Basong
21 Koompassia excelsa Tualang
22 Lithocarpus cyclophorus Mempening gajah
23 Mangifera indica Mangga
24 Mangifera longipetiolata Machang
25 Myristica sp. Basong
26 Nephelium lappaceum Rambutan Hutan
27 Parkia sp. Petai
28 Podocarpus sp. Podo
29 Sandoricum koetiape Sentul
30 Santiria laevigata Kedondong gergaji daun lichin
31 Sterculia foetida Kelumpang jari
32 Sterculia parvifolia Kelumpang

4. Dimanakah saya boleh mendapatkan maklumat berkaitan buluh dan rotan?

Maklumat berkaitan buluh dan rotan boleh boleh diakses melalui pautan: https://www.forestry.gov.my/my/perkhidmatan/info-perhutanan/buluh-rotan.

5. Bagaimanakah cara mendapatkan sumber bekalan anak benih pokok hutan daripada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia atau Jabatan Perhutanan Negeri?

Sumber bekalan anak benih pokok hutan perlu dirujuk terus ke Jabatan Perhutanan Negeri berkaitan ataupun pusat nurseri pokok yang berdaftar.

6. Bagaimanakah cara mendapatkan atau membeli kayu hutan?

Pembelian kayu hutan boleh dibuat di kilang papan yang mempunyai lesen dan berdaftar dengan Jabatan Perhutanan Negeri berkaitan.

7. Dimanakah saya boleh mendapatkan senarai spesies ladang?

Terdapat lapan (8) spesies pokok yang disyorkan untuk tanaman ladang hutan. Senarai dan maklumat spesies ladang yang disyorkan untuk tanaman ladang hutan boleh diakses melalui pautan: https://www.forestry.gov.my/my/perkhidmatan/info-perhutanan/spesies-ladang.

Bil Nama Saintifik Nama Tempatan
1 Acacia mangium Akasia
2 Azadirachta excelsa Sentang
3 Hevea brasiliensis Getah
4 Khaya ivorensis Khaya
5 Neolamarckia cadamba Kelempayan/ Laran
6 Octomeles sumatrana Binuang
7 Paraserianthes falcataria Batai
8 Tectona grandis Jati

8. Bagaimanakah teknik penanaman pokok balak?

Terdapat pelbagai teknik penanaman dan penjagaan pokok balak mengikut kesesuaian spesies pokok, medium penanaman dan lain-lain. Maklumat lanjut boleh dirujuk melalui Bahagian Ladang Hutan & Perlindungan Hutan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di talian 03 – 2616 4488.

9. Bagaimanakah cara membuat permohonan bagi penubuhan ladang hutan?

Terdapat pelbagai teknik penanaman dan penjagaan pokok balak mengikut kesesuaian spesies pokok, medium penanaman dan lain-lain. Maklumat lanjut boleh dirujuk melalui Bahagian Ladang Hutan & Perlindungan Hutan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di talian 03 – 2616 4488.

10. Bagaimanakah cara membuat permohonan bagi penanaman pokok getah di atas tanah rizab hutan?

Permohonan bagi penanaman pokok getah di atas tanah rizab hutan perlu dirujuk ke Jabatan Perhutanan Negeri berkaitan untuk pertimbangan dan tertakluk kepada peraturan Zon Pembangunan Ladang Hutan dan kelulusan pihak Kerajaan Negeri.

11. Bagaimana cara memohon geran bantuan penanaman pokok?

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia tidak menawarkan geran bantuan penanaman pokok. Oleh itu, permohonan ini boleh dirujuk terus kepada agensi berkaitan.

12. Bolehkah saya mendapatkan stok anak pokok untuk ditanam kawasan sekolah? Apakah prosedur permohonan tersebut?

Boleh. Permohonan untuk mendapatkan stok anak pokok daripada Jabatan Perhutanan boleh dibuat dengan mengemukakan permohonan secara rasmi kepada Jabatan Perhutanan Negeri berkaitan.

KATEGORI PENGUATKUASAAN HUTAN

1. Apakah jenis-jenis perbuatan yang dikategorikan sebagai kesalahan hutan?

Jenis-jenis perbuatan yang dikategorikan sebagai kesalahan hutan adalah meliputi perkara-perkara seperti berikut:

a. Mengambil kayu balak tanpa lesen;
b. Memiliki hasil hutan secara haram;
c. Merosakkan pokok dengan api;
d. Membersih atau membajak mana-mana tanah untuk tanaman;
e. Memasuki Hutan Simpanan Kekal tanpa kebenaran;
f. Memburu, menembak binatang, memasang jerat dan perangkap;
g. Mengambil pokok-pokok herba untuk perubatan tanpa lessen;
h. Mengambil hasil-hasil hutan seperti rotan, buah-buahan dan lain-lain tanpa Lesen;
i. Menuba, membuang bahan toksik atau bom ikan di dalam sungai atau tasik
j. Mengambil gaharu tanpa lessen.
k. Menggelang atau menoreh pokok.
l. Menduduki atau menjalankan apa-apa aktiviti tanpa permit; dan
m. Mengubah tanda sempadan dan merosakkan tanda-tanda pada pokok

2. Apakah hukuman atau penalti jika disabit melakukan kesalahan hutan?

Hukuman berat jika sabit kesalahan akan dikenakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 dan akan melibatkan hukuman penjara serta denda/kompaun bergantung kepada jenis kesalahan hutan yang dilakukan. Maklumat lanjut berkaitan hukuman kesalahan hutan boleh dirujuk melalui pautan https://www.forestry.gov.my/my/perkhidmatan/info-perhutanan/kesalahan-hutan.

3. Bolehkah memasuki Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan siapakah yang dibenarkan untuk memasuki HSK?

Tidak boleh kecuali dengan kebenaran secara bertulis (permit) oleh Pengarah hanya bagi tujuan dan aktiviti yang dibenarkan. Pengarah atau pegawai hutan yang diberi kuasa oleh Pengarah akan mengeluarkan permit memasuki HSK kepada:

a. Pemegang lesen, pekhidmat atau ejennya yang telah diberi kelulusan lesen untuk menjalankan kerja usahasil atau pembangunan hutan di dalam HSK;
b. Seseorang pegawai hutan atau seseorang yang telah diberikan kuasa oleh mana-mana undang-undang bertulis lain, tetapi hanya bagi maksud menjalankan fungsi yang dilantik atau diberi kuasa;
c. Seseorang yang memegang permit memasuki hutan simpanan kekal untuk tujuan pendidikan, penyelidikan atau tujuan rekreasi yang dibenarkan dalam tempoh yang ditetapkan di dalam permit.

4. Apa itu pembalakan haram?

Pembalakan haram merujuk kepada perilaku kesalahan hutan yang dilakukan dalam dua (2) kategori iaitu bersindiket atau tidak bersindiket dengan:

a. Mengambil apa-apa hasil hutan dari HSK atau Tanah Kerajaan tanpa lesen [Seksyen 15(1)];
b. Memindahkan hasil hutan dari mana-mana tanah beri milik, di bawah lesen pendudukan sementara, tanah lombong atau tanah rizab [Seksyen 40(1)]; dan
c. Menebang, memotong, menggelang, menanda, memangkas atau menoreh mana-mana pokok; atau merosakkan dengan api, atau selainnya, atau memindahkan mana-mana pokok atau kayu [Seksyen 81(1)(b)].

5. Apakah jenis kesalahan hutan yang biasa dilakukan oleh individu atau pihak yang berkepentingan dengan dalam sektor perhutanan di Semenanjung Malaysia?

Jenis kesalahan yang biasa dilakukan oleh individu atau pihak yang berkepentingan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja adalah:

a. Memasuki HSK tanpa kebenaran daripada Jabatan Perhutanan Negeri (JPN);
b. Membawa atau memiliki hasil hutan tanpa dokumen sah daripada JPN termasuk hasil hutan dari tanah milik; c. Menjalankan aktiviti riadah atau rekreasi di hutan tertutup;
d. Menebang pokok diluar kawasan lesen serta pokok yang tiada tag (kawasan hutan pengeluaran); dan
e. Mendirikan dan pengoperasian premis kilang berasas kayu tanpa kebenaran.

6. Apakah langkah-langkah pencegahan yang dilaksanakan bagi mengekang kesalahan hutan di Semenanjung Malaysia?

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia sentiasa komited dalam menangani kesalahan hutan serta salah laku melibatkan hasil hutan di Semenanjung Malaysia. Antara langkah proaktif yang diambil termasuk:

a. Pemantauan dan rondaan yang lebih kerap di kawasan hotspot dan HSK yang berisiko berlakunya pelbagai kesalahan hutan;
b. Mengambil tindakan segera bagi aduan awam mengenai kesalahan hutan yang diterima;
c. Pemantauan kawasan HSK melalui sistem FRMS dan egp serta pengesanan kawasan HSK yang terbuka untuk dibuat tindakan semakan lapangan dengan segera; dan
d. Kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain yang berkaitan bagi mengadakan operasi bersepadu dengan lebih kerap. .

7. Apakah trend kesalahan hutan yang di kesan di Semenanjung Malaysia?

Kebanyakan kes kesalahan yang dikesan adalah dilakukan secara bersindiket dan dilakukan oleh individu yang mempunyai pengalaman serta pengetahuan mengenai hasil hutan yang luas.

8. Apakah tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil kepada individu atau pihak berkepentingan yang melakukan kesalahan hutan?

Bagi individu atau pihak yang berkepentingan yang didapati telah melakukan kesalahan dengan pembuktian yang kukuh akan diambil tindakan perundangan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dan Enakmen Industri Berasas Kayu 1986 (pindaan 2009) mengikut seksyen kesalahan yang terlibat.

9. Apakah tindakan orang awam atau masyarakat setempat apabila mengesan atau melihat sebarang kes kesalahan hutan berlaku di persekitaran sekeliling?

Orang awam atau masyarakat setempat boleh melaporkan sebarang kesalahan hutan yang berlaku kepada:

a. Jabatan Perhutanan Negeri yang berkenaan; atau
b. Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia melalui Bahagian Penguatkuasaan Hutan melalui talian hotline 1-800-88-5776 atau emel ke Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

10. Bagaimanakah cara membuat aduan berkaitan aktiviti kesalahan hutan?

Semua aduan boleh disalurkan melalui kaedah-kaedah seperti berikut:

a. Menghubungi Talian Hotline Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di talian 1-800-88-5576;
b. Menghubungi no. telefon pejabat di talian 03-2616 4488/ 03-2692 5657 yang beroperasi semasa waktu bekerja sahaja (Isnin - Jumaat mulai 8.00 pagi - 5.00 petang);
c. Menghantar e-mel melalui pautan: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.; atau
d. Mengisi borang aduan secara atas talian melalui pautan: https://www.forestry.gov.my/my/hubungi-kami/aduan-maklumbalas.

11. Apakah maklumat yang diperlukan ketika membuat aduan berkaitan aktiviti kesalahan hutan?

Pihak Jabatan memerlukan maklumat nama pengadu, nombor telefon,emel, tarikh peristiwa, maklumat kesalahan hutan, lokasi dan bukti bergambar kesalahan hutan.

12. Berapa lama tindakan akan diambil berkaitan aduan yang diterima oleh pihak Jabatan?

Pihak Jabaatan akan menjalankan siasatan dan seterusnya mengambil tindakan dalam tempoh tiga (3) hari dari tarikh aduan diterima. Namun kebanyakan aduan akan diambil tindakan segera setelah maklumat aduan diterima.

13. Bagaimanakah cara membuat aduan berkaitan haiwan liar seperti monyet, gajah dan lain-lain?

Semua aduan berkaitan haiwan liar adalah di luar bidang kuasa Jabatan Perhutanan untuk diambil tindakan dan ianya terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN). Oleh itu, aduan hendaklah disalurkan kepada pihak berkenaan di talian Hotline PERHILITAN 1-800-88-5151.

14. Bagaimanakah cara membuat aduan berkaitan kacau ganggu haiwan seperti anjing liar, lembu, kambing dan lain-lain?

Semua aduan berkaitan kacau ganggu haiwan adalah di luar bidang kuasa Jabatan Perhutanan untuk diambil tindakan dan ianya terletak di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Oleh itu, aduan hendaklah disalurkan kepada pihak berkenaan.

KATEGORI EKO-PELANCONGAN

1. Apakah definisi Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri dan tujuannya?

Taman Eko Rimba adalah kawasan dalam Hutan Simpanan Kekal yang diwartakan sebagai hutan lipur bagi tujuan menjalankan aktiviti-aktiviti rekreasi, penyelidikan dan Pendidikan serta bagi memelihara flora dan fauna. Manakala, Hutan Taman Negeri adalah satu kawasan Hutan Simpanan Kekal yang ditubuhkan bertujuan untuk perlindungan, pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi hutan serta menjalankan aktiviti-aktiviti seperti Pendidikan, rekreasi dan eko-pelancongan hutan.

2. Apakah perbezaan di antara hutan lipur dan hutan rekreasi?

Hutan lipur ialah sesuatu kawasan yang terletak di dalam Hutan Simpanan Kekal yang diwartakan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 Seksyen 10(1)(i) dan dibangunkan bagi tujuan aktiviti rekreasi seperti beristirehat, bersukan, menjalankan penyelidikan dan pendidikan serta bagi tujuan pemeliharaan flora dan fauna sediada. Manakala hutan rekreasi ialah mana-mana kawasan yang dibangunkan untuk tujuan aktiviti rekreasi tetapi terletak di luar kawasan Hutan Simpanan Kekal.

3. Dimanakah maklumat berkaitan Taman Eko Rimba (Hutan Lipur) dan Hutan Taman Negeri boleh diperolehi?

Maklumat mengenai Taman Eko Rimba (Hutan Lipur) dan Hutan Taman Negeri boleh diperolehi melalui pautan: https://www.forestry.gov.my/my/perkhidmatan/info-perhutanan/hutan-lipur-hutan-taman-negeri.

4. Bagaimanakah cara membuat permohonan memasuki hutan bagi tujuan pendakian, perkhemahan, perkelahan, penganjuran aktiviti pacuan empat roda (4x4), penganjuran majlis dan lain-lain?

Permohonan memasuki hutan bagi tujuan pendakian, perkhemahan, perkelahan, penganjuran aktiviti pacuan empat roda (4x4), penganjuran majlis dan lain-lain boleh dibuat dengan merujuk laman web ataupun dengan menghubungi no. telefon pejabat Jabatan Perhutanan Negeri berkaitan.

5. Apakah maklumat yang diperlukan bagi tujuan permohonan Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal untuk tujuan aktiviti pendakian?

Secara asasnya maklumat yang diperlukan untuk permohonan Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal untuk tujuan aktiviti pendakian adalah senarai nama dan no. kad pengenalan/ passport peserta, tarikh serta lokasi pendakian. Bagi maklumat lanjut boleh hubungi no. telefon pejabat Jabatan Perhutanan Negeri berkaitan.

6. Berapakah bayaran Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal untuk tujuan aktiviti pendakian yang dikenakan untuk setiap individu?

Bayaran Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal untuk tujuan aktiviti pendakian yang dikenakan untuk setiap individu adalah berbeza mengikut negeri. Walau bagaimanapun, kadar bayaran yang dikenakan adalah dalam kadar RM5 – RM10 seorang. Bagi maklumat lanjut boleh hubungi no. telefon pejabat Jabatan Perhutanan Negeri berkaitan.

7. Bagaimanakah cara membuat permohonan untuk menjadi Malim Gunung Perhutanan (MGP)?

Permohonan untuk menjadi Malim Gunung Perhutanan (MGP) boleh dibuat dengan mengemukakan permohonan surat rasmi beserta biodata/ resume pemohon ke Jabatan Perhutanan Negeri berkaitan. Pemilihan MGP akan diteliti dan ditapis berdasarkan kriteria yang ditetapkan sebelum dijemput hadir ke sesi latihan yang diwajibkan. Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan melalui e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

8. Bagaimanakah cara mendapatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pengurusan taman rimba swasta?

Permohonan untuk mendapatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pengurusan taman rimba swasta boleh dibuat dengan mengemukakan permohonan surat rasmi kepada Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia.

 


PERHATIAN: Jika anda mempunyai sebarang soalan yang tiada di dalam Soalan Lazim ini, boleh menghubungi nombor berikut hotline di 1-800-88-5776 atau emailkan kepada feedback[at]forestry[dot]gov[dot]my

Hubungi Kami

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia
Jalan Sultan Salahuddin,
50660 Kuala Lumpur
No. Tel: 603-26164488
No. Faks: 603-26925657
Emel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Statistik Pelawat

Hari Ini 4436

Semalam 8264

Minggu Ini 12700

Bulan Ini 182227

Keseluruhan 7703153