Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia bertanggungjawab kepada pengurusan, perancangan, perlindungan dan pembangunan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) selaras dengan Dasar Perhutanan Malaysia 2020, Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia 2020 dan Akta Perhutanan Negara (APN) 1984.
Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan
Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia bertanggungjawab untuk menggubal dasar-dasar perhutanan, memberi nasihat dan khidmat teknikal kepada Jabatan Perhutanan Negeri dalam aspek perancangan, pengurusan dan pembangunan hutan, pengusahasilan hutan dan industri berasas kayu, kajian operasi hutan serta latihan dan pembangunan sumber manusia.
Terdapat dua (2) Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan di Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia iaitu Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Dasar dan Perancangan) dan Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Operasi dan Teknikal) masing-masing bertanggungjawab terhadap enam (6) bahagian di bawah dua sektor yang berlainan. Selain itu, terdapat dua (2) Unit dan satu (1) Bahagian lain yang bertanggungjawab secara langsung kepada Ketua Pengarah Perhutanan.
Sektor Dasar Dan Perancangan
Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Dasar dan Perancangan) bertanggungjawab ke atas perancangan dan ekonomi hutan, pengurusan sumber hutan, silvikultur dan pemeliharaan biologi hutan, pembangunan forest eco-park dan hutan taman negeri, hal ehwal perhutanan antarabangsa, pembangunan ladang hutan dan perlindungan hutan.
Sektor Operasi Dan Teknikal
Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Operasi dan Teknikal) bertanggungjawab dalam urusan-urusan pentadbiran dan kewangan, kejuruteraan hutan, teknikal dan industri kayu, penguatkuasaan hutan, latihan perhutanan dan pembangunan modal insan serta pembangunan sistem teknologi maklumat.
Jabatan Perhutanan Negeri
Jabatan Perhutanan Negeri bertanggungjawab dalam pengurusan dan pembangunan sumber hutan, pengusahasilan hutan, kutipan hasil hutan dan pembangunan industri berasas kayu di negeri. Jabatan Perhutanan Negeri dibahagikan kepada Bahagian Operasi Hutan dan Pembangunan Hutan serta disokong oleh Pejabat Hutan Daerah/Jajahan.
Bahagian Operasi Hutan
Bahagian Operasi Hutan bertanggungjawab terhadap pentadbiran, penguatkuasaan undang-undang hutan, kutipan hasil hutan di samping penyelaras hubungan dengan Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, lain-lain jabatan/agensi dan badan- badan berkanun.
Bahagian Pembangunan Hutan
Bahagian Pembangunan Hutan bertanggungjawab dalam merancang, melaksana dan memantau aktiviti-aktiviti pengurusan dan pembangunan hutan, termasuk pemeliharaan biodiversiti, pembangunan ekopelancongan dan pemulihan kawasan hutan serta penyediaan dan pelaksanaan Rancangan Pengurusan Hutan Negeri.
Pejabat Hutan Daerah/Jajahan
Pejabat Hutan Daerah/Jajahan bertanggungjawab terhadap pentadbiran, operasi pengawalan pengusahasilan hutan, kutipan hasil hutan dan penguatkuasaan undang-undang hutan. Pejabat ini juga bertanggungjawab untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti pengurusan dan pembangunan hutan termasuk pengurusan forest eco-park dan hutan taman negeri.