![]() |
Nama Scientifik : Blumea Balsamifera |
Nama biasa : Sembong, Capa, Telinga kerbau | |
Nama tempatan : Sembong | |
Famili : Acanthaceae |
Pendahuluan:
Salah satu pokok herba yang diluluskan di Jabatan Kesihatan Negara Filipina. Berbau kapur barus. Akar pokok ini diambil sebelum berbunga, katanya selepas berbunga rasanya tawar. Pokok Sambong digunakan sebagai salah satu rawatan herba untuk rawatan selesema dan diuretik. Di Negara Filipina, pokok ini dikenali sebagai sambong. Pokok ini juga digunakan di NegaraThai dan ubat-ubatan rakyat Cina.
Ciri - Ciri Tumbuhan:
Merupakan tumbuhan kecil yang boleh membesar sehingga 4 m tinggi. Tumbuhan ini mempunyai bau kapur barus yang sangat kuat di sekitarnya. Mempuyai kulit berwarna coklat kelabu, manakala kayunya lembut dan berwarna putih. Mempunyai ukuran diameter di antara 2-8 cm. Daun berbentuk ringkas dan berselang. Pangkal daun runcing. Tepi daunnya bergerigi. Bahagian bawah daunnya berbulu manakala bahagian atas daun agak kesat.
Tabiat Tumbuhan:
Spesies ini ditemui dalam zon-zon tropika dan Subtropika di Asia, terutama di Benua Kecil India dan Asia Tenggara. Spesies ini biasanya didapati tumbuh di kawasan terbuka dan juga terdapat di padang rumput.
Bahagian Yang Digunakan:
Daun, akar dan bunga
Amalan Tradisi Perawatan:
Orang Melayu mengamalkan penggunaan ubat ini untuk membuat badan panas dan berpeluh. Di Kelantan digunakan untuk melancarkan haid. Direbus dengan daun senduduk dan kulit manggis untuk melembutkan kaki. Debu daun kering disembur masuk ke dalam hidung kuda untuk ubati selsema. (Ridley-Journal. Straights Med.Asocc. 5. 1897 page126). Di Sarawak digunakan sebagai ubat selepas bersalin dan juga sebagai salah satu ramuan untuk disapu ke dahi dan perut. Di Indoensia air rebusannya digunakan untuk ubati sakit taun, darah beku dan ubat bengkak. Manakala daunnya dibuat teh untuk mengubati batuk dan sakit tekak.
![]() |
Family : Dipterocarpaceae |
Subfamily : - | |
Genus : Neobalanocarpus | |
Species : Neobalanocarpus heimii |
Deskripsi:
Pokok Chengal merupakan sejenis pokok kayu keras yang popular. Kawasan taburan semula jadi pokok ini terhad kepada Semenanjung Malaysia, Singapura dan selatan Thailand.
Pokok chengal ini boleh dijumpai di hutan tanah dipterokap campuran tanah pamah tropika, terutamanya di tanah yang beralun, kawasan paya dan kadang kala di kawasan kering di hutan paya.
Kayu chengal adalah kayu keras yang tahan lama dan mempunyai ketumpatan antara 915 hingga 980 kilogram per meter padu yang kebiasaannya digunakan dalam kerja pembinaan berat terutama pembinaan bot, tiang dan jambatan tanpa perlu diawet kerana ia tahan dari serangan anai-anai.
Di Malaysia, pokok chengal tumbuh di kawasan hutan tanah pamah yang mempunyai ketinggian kurang dari 1,000 meter, terutamanya di kawasan yang mempunyai saliran air yang baik. Kebiasaannya pokok cengal hidup dengan baik di kawasan yang menerima hujan lebih dari 2,000 milimeter setahun dan tiada musim kemarau yang panjang.
Pokok chengal terbesar dan tertua di Malaysia telah ditemui di Hutan Simpan Pasir Raja, Terengganu. Pokok chengal tersebut setinggi 65 meter dengan ukur lilitnya 16.75 meter. Usia pokok tertua ini dianggarkan 1,300 tahun iaitu berdasarkan kaedah pengiraan pokok di kawasan tropika mengikut pertumbuhan gegelang (growth ring) pada kadar 0.4 cm setahun. Semasa Ekspidisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Mandi Angin, Terengganu pada tahun 2004, para peserta ekspedisi yang terdiri daripada penyelidik telah menjalankan penyelidikan terhadap pokok tersebut. Chengal ini juga telah menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records sebagai pokok terbesar di Semenanjung Malaysia dan didokumenkan dalam keluaran edisi ketiga pada tahun 2001.
![]() |
Family : Arecaceae |
Subfamily : - | |
Genus : Licuala | |
Species : Licuala stongensis |
Deskripsi:
Licuala stongensis merupakan salah satu daripada spesies palma berbentuk kipas yang sangat berpotensi sebagai tumbuhan hiasan. Merupakan spesies baru bagi Semenanjung Malaysia yang dijumpai semula semasa Ekspedisi Saintifik di Gunung Stong, Kelantan. Merupakan spesies yang endemik bagi Gunung Stong dimana nama spesies ini juga turut diberikan bersempena lokasi penemuan spesies ini. Gunung Stong dikenali sebagai lokasi yang mengandungi pelbagai spesies yang sukar dijumpai di lokasi lain. Kesinambungan daripada itu, dan juga berdasarkan penemuan lain sewaktu ekspedisi ini Kerajaan Negeri Kelantan telah mengumumkan komitmen untuk melindungi kawasan tersebut dengan mewartakan Hutan Simpan Gunung Stong Tengah sebagai Taman Negeri. Keluasan bagi Taman Negeri Gunung Stong adalah kira-kira 21,950 hektar.
![]() |
Family : Molossidae |
Genus : Otomops | |
Species : Otomops spp. |
Deskripsi:
Tiga (3) genus daripada famili Molossidae telah direkodkan bagi Semenanjung Malaysia iaitu Mops/Tadarida, Chaerephon dan Cheiromeles. Hasil penemuan spesies Otomops spp. yang telah dicatakan semasa Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Pergunungan Cameron Highlands yang berlangsung pada 20 hingga 25 Mei 2007 telah menambahkan satu lagi rekod pertambahan genus sekaligus spesies bagi negara kita. Genus Otomops yang sebelum ini pernah direkodkan juga dikenali sebagai Kelawar Telinga Besar Tanpa Ekor atau nama saintifik Otomops martiensseni (direkodkan di Tengah dan Selatan Afrika, pada tahun 1897). Manakala, Otomops madagascariensis (dari Madagascar; dihuraikan pada tahun 1953), Otomops wroughtoni (dari India dan baru-baru pada tahun 2001 direkodkan pertama kali di Cambodia pada 1913), Otomops papuensis (dari Papua New Guinea dihuraikan pada 1948), Otomops secundus (dari Papua New Guinea; pada tahun 1952), Otomops johnstonei (dari Kepulauan Alor, Nusa Tenggara, Indonesia; yang dihuraikan pada 1992) dan Otomops formosus (dari Jawa; yang dihuraikan pada tahun 1939). Kesemua tujuh spesies dari genus Otomops telah tersenarai dalam 2006: IUCN Red List of Threatened Species disebabkan kesemua spesies dalam genus yang terdapat di negara khususnya asia sangat sukar untuk ditemui dan direkodkan penemuannya.
![]() |
Family : Rhacophoridae |
Subfamily : - | |
Genus : Theloderma | |
Species : Theloderma licin |
Deskripsi:
Theloderma licin merupakan sejenis spesies katak yang penemuannya baru direkodkan bagi Semenanjung Malaysia dan Selatan Thailand. Ianya telah direkodkan semasa Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Ulu Muda, Kedah. Katak ini mempunyai bentuk badan yang tirus, bahagian kepala yang lebih panjang berbanding kelebaran badannya, dan kulitnya kurang berkutil berbanding spesies lain dalam genus yang sama. Spesies katak ini dijumpai di kawasan tumbuhan paku pakis (15 cm lebar) yang tumbuh pada tebing curam akibat kesan pembinaan jalan hutan untuk aktiviti pengusahasilan.
![]() |
Family : Zingiberaceae |
Subfamily : - | |
Genus : Etlingera | |
Species : Etlingera terengganuensis |
Deskripsi:
Etlingera terengganuensis merupakan sejenis spesies baru halia yang direkodkan di Semenanjung Malaysia. Spesies ini telah dijadikan sebagai logo sewaktu Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Mandi Angin, Terengganu , yang mana ianya melambangkan spesies yang unik dan jarang ditemui serta amat berpotensi untuk dijadikan tumbuhan hiasan. Penemuan pertama direkodkan di Negeri Terengganu, tetapi kini populasi spesies ini juga boleh didapati di Negeri Kelantan dan Selatan Negara Thailand. Spesies kantan ini mempunyai banyak persamaan dengan E.maingayi dan E.venusta, maka pengecaman antara tiap satunya amat sukar dilakukan tanpa kehadiran bunga.