soalan lazim2| hubungi kami2| aduan2| petalaman3

Biodiversiti

gnetum Family : Gnetaceae
Subfamily : -
Genus : Gnetum
Species : Gnetum microcarpum Blume

Deskripsi: 

Gnetum gnemon merupakan satu-satunya spesies pokok yang dikenali dari genus dalam kumpulan gymnosperm iaitu Gnetum disamping lima jenis tumbuhan pepanjat yang lain. Walau bagaimanapun, sewaktu Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Rimba Kenong, satu spesies pepanjat berbuah besar telah dijumpai dan dinamakan Gnetum microcarpum Blume. kerana diyakini merupakan satu penemuan baru bagi Semenanjung Malaysia.

Spesies ini direkodkan sebagai yang keenam bagi tumbuhan pepanjat daripada genus Gnetum. Tumbuhan pepanjat ini mudah dijumpai di kawasan hutan hujan tropika kerana ianya membentuk satu rangkaian penting kepada komponen-komponen hutan. Kebanyakkan spesies tumbuhan pepanjat membekalkan nutrien makanan dan memberi sokongan ekologi kepada haiwan, terutamanya haiwan primat, burung dan serangga. Di samping itu, terdapat juga tumbuhan pepanjat yang menjadi perumah kepada tumbuhan parasit seperti Rafflesia dan Rhizanthes.

dicerorhinus sumatrensis Family : Rhinocerotidae
Subfamily : -
Genus : Dicerorhinus
Species : Dicerorhinus sumatrensis

Deskripsi: 

Dicerorhinus sumatrensis merupakan spesies badak yang sangat jarang dijumpai di kawasan Semenanjung Malaysia. Ianya juga lebih dikenali sebagai badak Sumatra yang kebiasaannya mendiami kawasan hutan hujan tropika di Semenanjung Malaysia, Kepulauan Sumatra, Indonesia dan Kepulauan Borneo (samada di kawasan tanah pamah dan tinggi).

Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan di Gunung Stong Kelantan pada tahun 2002 telah mencatatkan satu penemuan dimana spesies ini telah dapat dikesan berada di kawasan tersebut. Haiwan ini unik kerana merupakan spesies badak yang terkecil di dunia. Ia hanya mempunyai ketinggian 1.0 – 1.5 meter dengan berat badan 600-950 kilogram. Pemakanan haiwan ini adalah dua kali sehari dalam kuantiti 50 kilogram secara keseluruhannya pada waktu siang dimana ia pergerakannya lebih aktif pada waktu malam.

annona Family : Annonaceae
Genus : Annona
Species : Annona glabra

Deskripsi: 

Satu penemuan penting telah dicatatkan semasa Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan yang diadakan di Hutan Paya Laut Matang, iaitu penemuan spesies Annona glabra yang tumbuh di kawasan tersebut.

Spesies ini adalah dari genus yang sama dengan Durian Belanda (A. muricata) dan Nona kapri (A. squamosal). A.muricata dan A.squamosa berasal dari Amerika Tengah, manakala A. glabra pula berasal dari bahagian timur Afrika. Terdapat pelbagai persoalan mengapa spesies ini boleh tumbuh di kawasan Paya Laut Matang, Perak.

Species ini tidak akan ditanam oleh penduduk setempat kerana buahnya yang tidak boleh dimakan. Biji benih tumbuhan ini mungkin telah dihanyutkan dan disebarkan dari Timur Afrika melalui Lautan India.

Ini merupakan satu contoh penyebaran biji benih jarak jauh di sepanjang kawasan Asia Pasifik, seperti kelapa dan nipah. Tumbuhan ini turut dijumpai tumbuh di kawasan Mersing, Johor.

Macaca Family : Cercopithecidae
Subfamily : Cercopithecinae
Genus : Macaca
Species : Macaca arctoides

Deskripsi: 

Beruk kentoi merupakan spesies beruk yang dikatakan hanya dapat dijumpai di Thailand tetapi kini telah ditemui di Malaysia semasa Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Negeri Perlis (Wang Kelian), Perlis pada tahun 2001.

Secara amnya, Beruk Kentoi ini didapati di hutan-hutan daun lebar malar hijau tropika dan subtropika. Di dalam hutan-hutan malar hijau tropika, beruk ini tinggal di kawasan yang tinggi sehingga 1500 meter, manakala di hutan-hutan malar hijau subtropika, beruk ini tinggal di antara 1800 dan 2500 meter, bergantung kepada keadaan hujan di kawasan tersebut.

Beruk kentoi ini menghabiskan masa dari awal pagi hingga tengahari untuk mencari makanan dan mereka bergantung kepada kawasan hutan hujan untuk makanan serta tempat perlindungan. Beruk ini bersifat frugivor-omnivor dan sebahagian besar diet beruk ini terdiri daripada buah-buahan.

Pada waktu tengah hari, kumpulan beruk akan berhenti untuk berehat di tempat teduh dan menghabiskan masa untuk kegiatan sosial seperti membersihkan bulu, manakala anak-anak beruk bermain. Pada waktu petang, pencarian makanan bermula sekali lagi ketika berjalan balik ke tempat tidur yang biasanya merupakan pokok besar atau cenuram. Beruk Kentoi biasa berjalan antara dua dan tiga kilometer, tetapi spesies beruk ini tidak perlu berjalan sebegitu jauh pada musim hujan kerana terdapat banyak makanan.

Sesuatu yang istimewa mengenai Beruk Kentoi ini adalah mereka akan mengalami keguguran rambut sehingga menjadi botak di tengah kepala apabila semakin meningkat dewasa. Proses ini sama seperti proses keguguran rambut kepada golongan lelaki bagi manusia, akan tetapi keguguran rambut yang dialami oleh beruk ini terjadi kepada spesies jantan dan betina.

Rana Family : Ranidae
Subfamily : Raninae
Genus :Rana
Species : Rana monjerai

Deskripsi: 

Rana monjerai ini merupakan spesies baru katak yang telah ditemui di Malaysia. Katak ini telah ditemui oleh sekumpulan penyelidik daripada Universiti Sains Malaysia (USM) semasa mereka menyertai Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Jerai, Kedah yang telah dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Kedah pada tahun 2005.

Rana monjerai ini merupakan katak yang bersaiz sederhana di mana katak betinanya boleh mencapai sehingga 75 mm dan katak jantan pula dianggarkan antara 38 mm dan 43 mm panjang bermula dari lubang hidung ke anus. Spesies ini dipercayai hanya dijumpai di Gunung Jerai sahaja dan dapat ditemui bertenggek di batu dan pasir di sepanjang anak sungai di kawasan pergunungan tersebut. Spesies katak ini biasanya dijumpai di kawasan sungai yang mempunyai air yang bersih, tidak tercemar dan tidak terganggu. Katak ini boleh dijadikan penunjuk biologi kepada penilaian tahap kebersihan/kesihatan sistem sungai atau kepada alam sekitar keseluruhannya.

Malaysia telah diiktirafkan sebagai salah sebuah negara ‘mega-kepelbagaian’ di dunia. Sejajar dengan pengiktirafan ini, kerajaan Malaysia telah memberi persetujuan dan komitmen untuk mempertingkatkan keberkesanan pengurusan, pemeliharaan dan pembangunan sumber kepelbagaian biologi hutan negara secara berkekalan. Dalam konteks ini, penekanan berterusan diberikan ke atas aspek-aspek pemeliharaan, pemuliharaan, penggunaan secara lestari dan perkongsian secara saksama dan adil terhadap sumber tersebut.

Dalam usaha untuk mengumpul maklumat-maklumat kepelbagaian biologi daripada kawasan-kawasan semulajadi Negara kita, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah menganjurkan siri-siri Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan di kawasan-kawasan berhutan terutamanya kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK). Penganjuran ekspedisi ini melibatkan pelbagai disiplin yang merentas sempadan (cross sectoral) seperti aspek fizikal ekosistem hutan, kepelbagaian biologi flora dan fauna, ekopelancongan, ekologi, rekreasi, geologi, arkeologi dan sosio-ekonomi. Ekspedisi Saintifik yang dianjurkan telah disertai oleh para saintis dan penyelidik daripada pelbagai Jabatan dan Agensi Kerajaan, Institusi Penyelidikan, Institusi Pengajian Tinggi Awam, Badan-Badan Bukan Kerajaan serta juga individu yang mempunyai minat khusus terhadap bidang pengurusan hutan serta kepelbagaian biologi hutan.

Di samping pegawai dan kakitangan JPSM, institusi yang sering terlibat secara aktif dalam setiap ekspedisi adalah seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Jabatan landskap dan Taman, Perbadanan Putrajaya, Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM), World Wide Fund for Nature (WWF), Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Folia Malaysiana, Malaysian Nature Society (MNS), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Standards and Industrial Research Institute of Malaysia (SIRIM), dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Sehingga kini, sebanyak  44 siri Ekspedisi Saintifik telah dianjurkan di Semenanjung Malaysia yang meliputi pelbagai ekosistem hutan daripada hutan paya laut (bakau), hutan paya gambut, hutan tanah pamah hinggalah ke hutan pergunungan. Melalui siri ekspedisi yang dilaksanakan, pelbagai penemuan yang signifikan termasuk spesies baru, endemik, dan unik bagi flora dan fauna telah berjaya direkodkan. Sebahagian daripada hasil penemuan signifikan daripada siri ekspedisi saintifik ini telah dibukukan dalam siri prosiding kepelbagaian biologi hutan yang diterbitkan oleh JPSM. Sehingga kini, sebanyak 28 siri prosiding telah dikeluarkan iaitu:

  • Siri 1 Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Endau Rompin: Pengurusan, Persekitaran Fizikal dan Biologi
  • Siri 2 Kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Nuang, Selangor: Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi
  • Siri 3 Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Ulu Muda, Kedah: Pengurusan, Persekitaran Fizikal dan Biologi
  • 4 Forest Biodiversity Series: Sustainable Management of Matang Mangroves: 100 Years and Beyond
  • Siri 5 Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Negeri Gunung Stong, Kelantan: Pengurusan, Persekitaran Fizikal, Biologi dan Sosio-ekonomi
  • Siri 6 Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Gunung Jerai, Kedah: Pengurusan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi
  • Siri 7 Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Gunung Mandi Angin, Terengganu: Pengurusan, Persekitaran Fizikal, Kepelbagaian Biologi dan Pelancongan Ekologi
  • Siri 8 Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Rimba Kenong, Pahang: Pengurusan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi
  • Siri 9 Kepelbagaian Biologi Hutan Bukit Belata, Selangor: Pengurusan, Persekitaran Fizikal, Kepelbagaian Biologi dan Sosio-ekonomi
  • Siri 10 Kepelbagaian Biologi Hutan Rimba Bandar Bukit Bauk, Terengganu: Pengurusan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi
  • Siri 11 Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Panti, Johor: Pengurusan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi
  • Siri 12 Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Bintang Hijau, Perak: Pengurusan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi
  • Siri 13 Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Gunung Angsi, Negeri Sembilan: Pengurusan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi
  • Siri 14 Kepelbagaian Biologi Hutan Pergunungan Cameron Highlands: Pengurusan Hutan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi
  • Siri 15 Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Negeri DiRaja Belum: Pengurusan Hutan, Persekitaran Fizikal, Kepelbagaian Biologi dan Sosio-ekonomi.
  • Siri 16 Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Melaka: Pengurusan Hutan, Persekitaran Fizikal, Kepelbagaian Biologi dan Sosio-ekonomi.
  • Siri 17 Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Negeri Bukit Panchor dan Pulau Jerejak: Pengurusan Hutan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi.
  • Siri 18 Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Gunung Berlumut: Pengurusan Hutan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi.
  • Siri 19 Kepelbagaian Biologi Hutan Pulau Pangkor, Perak: Pengurusan Hutan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi.
  • Siri 20 Kepelbagaian Biologi Hutan Banjaran Bintang – Gunung Inas, Kedah: Pengurusan Hutan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi.
  • Siri 21 Kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Besar Hantu, Negeri Sembilan: Pengurusan Hutan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi.
  • Siri 22 Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Gunung Tebu, Terengganu: Pengurusan Hutan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi.
  • Siri 23 Kepelbagaian Biologi Hutan Paya Laut Merbok, Kedah: Pengurusan Hutan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Flora.
  • Siri 24 Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Eko-Rimba Kuala Lumpur: Pengurusan Hutan, Persektiaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi.
  • Siri 25 Kepelbagaian Biologi Hutan Ulu Sat: Nadi Pemeliharaan Alam Semulajadi Kelantan
  • Siri 26 Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Bukit Bujang, Cameron Highlands, Pahang: Pengurusan Hutan, Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi
  • Siri 27 Kepelbagaian Biologi Hutan Lembah Jemaloi, Hutan Simpan Kenaboi, Negeri Sembilan: Pengurusan Hutan, Sosioekonomi dan Kepelbagaian Biologi
  • Siri 28 Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Sungai Menyala, Port Dickson, Negeri Sembilan: Persekitaran Fizikal dan Kepelbagaian Biologi

Hubungi Kami

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia
Jalan Sultan Salahuddin,
50660 Kuala Lumpur
No. Tel: 603-26164488
No. Faks: 603-26925657
Emel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Statistik Pelawat

Hari Ini 10612

Semalam 13553

Minggu Ini 99044

Bulan Ini 52570

Keseluruhan 11418142