soalan lazim| hubungi kami2| aduan2| petalaman3

Herba

lengkuas Nama saintifik : Alphinia galanga (L.) Willd.
Nama biasa : Lengkuas besar
Nama tempatan : Lengkuas
Famili : Zingiberaceae

Pendahuluan: 

Tanaman ini ditanam secara meluas di kawasan Asia tropika. Tumbuhan ini juga digunakan sebagai rempah atau perasa serta juga sebagai ubat tradisi. Kepentingan perubatan tumbuhan ini telahpun dicacatkan dan didokumentasi di India sejak 600 SM. Justeru itu ramai yang mempercayai bahawa lengkuas berasal di India. Selain daripada itu, tumbuhan ini juga digunakan dalam perubatan Ayurvedik sedangkan di Malaysia digunakan sebagai ubatan sejak berabad yang lalu. Rizom lengkuas juga merupakan bahan minyak yang utama iaitu sineol.

Ciri - Ciri Tumbuhan

Lengkuas merupakan sejenis tumbuhan perennial iaitu jangkahayat yang panjang, tumbuh secara menegak dan boleh mencapai ketinggian sehingga 2-3 m. Daunnya ringkas, licin dan berwarna hijau. Daunnya berbentuk memanjang dan runcing di hujung daun. Manakala tepi daunnya adalah rata. Rizomnya tumbuh secara menjalar, tebal , beraroma dan tegap.

Tabiat Tumbuhan

Tumbuhan ini boleh ditanam dengan senang dan boleh tumbuh dengan menanam keratan rizomnya.

Bahagian Yang Digunakan

  • Rizom

Amalan Tradisi Perawatan

Rizom lengkuas digunakan untuk meransang aktiviti pencernaan dalam perut (stomachic). Balutan rizomnya yang ketuk dapat digunakan untuk merawat reumatik, demam, lemah tenaga batin, bronkitis (bengkak pada tiub udara di kerongkong), dyspepsia (ketidakhadaman makanan) dan diabetes (kencing manis). Jus daripada rizomnya yang dicampurkan dengan air kencing manusia dapat mengurangkan bisa gigitan ular tedung. Rizom lengkuas yang diketuk dan dicampur dengan sedikit bawang putih dan cuka dapat digunakan sebagai rawatan herpes (penyakit yang disebabkan oleh sejenis virus).

kunyit Nama saintifik : Curcuma domestica Loir.
Nama biasa : Tumeric
Nama tempatan : Kunyit
Famili : Zingiberaceae

Pendahuluan: 

'Tumeric' merupakan sejenis tumbuhan yang dijadikan bahan rempah yang memberikan warna kuning cerah khususnya masakan kari bagi orang Melayu dan India. 'Tumeric' juga digunakan sebagai bahan pewarna dan juga sebagai ubatan dan perasa sejak 600 SM. Maklumat tersebut telahpun dicatatkan dalam sejarah herba Assyria sekitar 2500 tahun yang lalu. Tumbuhan ini dianggapkan sebagai salah satu herba yang sangat bernilai kepada manusia. Dalam sejarah perubatan rakyat India, 'tumeric' dianggapkan sebagai bahan antibiotik semulajadi yang terbaik sementara pada masa yang sama ia juga digunakan untuk memudahkan proses penghadaman dan memperbaiki perjalanan usus. Tumbuhan ini berasal dari Asia Tenggara dan masa kini tumbuhan ini menjadi tanaman perdagangan di China, India, Indochina dan Indonesia.

Ciri - Ciri Tumbuhan

'Tumeric' merupakan sejenis herba yang mempunyai jangkahayat yang panjang dan boleh tumbuh sehingga mencapai 1m tinggi. Daunnya berjambak dengan susunan daun secara alternat, berwarna hijau muda. Daunnya licin, lanseolat dengan tepi daun yang licin. Rizomnya beraroma berwarna keperangan dan warna kekuningan di bahagian isi dalam. Pelepahnya berbentuk eliptik, lembut dan berwarna keputihan serta tumbuh secara tegak dan melengkung ke bawah.

Tabiat Tumbuhan

Di Malaysia, kunyit biasanya ditanam di belakang rumah. Kunyit membiak secara aseksual iaitu melalui keratan rizom. Kunyit boleh hidup dengan subur di kawasan yang mempunyai sedikit teduhan dan tumbuh dengan subur di kawasan terbuka dan mendapat cahaya matahari yang banyak.

Bahagian Yang Digunakan

  • Rizom

Amalan Tradisi Perawatan

Tumbuhan ini digunakan untuk rawatan antiradang, antimalaria, pencegahan bakteria, pencegahan kulat, merangsang tubuh dan juga untuk rawatan terseliuh, cacing pita, kudis buta, 'neuralgia' (sakit saraf terutamanya di bahagian muka dan kepala) serta sakit sendi (reumatik). Ia juga digunakan untuk mencegah serangga. Kunyit kering biasanya digunakan sebagai perasa makanan dan untuk menyediakan bahan pewarna kuning. Di Malaysia, kunyit digunakan sebagai kosmetik semasa upacara tradisi. Ia juga sebagai bahan utama dalam masakan terutamanya masakan kari. Kunyit yang disediakan bersama dengan minyak digunakan untuk menghaluskan kulit yang kasar dan sekiranya dicampurkan dengan air perahan limau digunakan untuk rawatan bengkak dan terseliuh serta luka. Air rebusan kunyit digunakan untuk menyejukkan mata. Kunyit yang dipanaskan bersama dengan susu dan gula boleh merawat kesejukan badan. Manakala kunyit yang dicampur dengan minyak bijan dan madu dijadikan sebagai tonik. Rizom kunyit yang dilumatkan dan dijadikan sebagai demahan boleh merawat dan mempercepatkan perjalanan air susu dada wanita.

aloevera Nama saintifik : Aloe vera (L.) Burm.f
Nama biasa : Aloe vera
Nama tempatan : Lidah Buaya
Famili : Liliaceane

Pendahuluan: 

Disebabkan oleh kandungan penyembuhan yang terdapat dalam tumbuhan ini, Aloe vera juga dikenali sebagai 'bunga teratai padang pasir', 'tumbuhan yang sentiasa hidup', 'tumbuhan rawatan awal' dan juga dikenali sebagai 'tumbuhan ajaib'. Tumbuahn ini juga salah satu tumbuhan yang utama dalam sejarah penggunaan dadah kasar atau dadah mentah dan masih digunakan secara meluas dalam ubatan modern masa kini.

Ciri - Ciri Tumbuhan

Aloe vera adalah merupakan tumbuhan yang mempunyai banyak kandungan air dan juga tumbuhan yang boleh hidup lama dan boleh mencapai ketinggian sehingga 45-50 cm . Daunnya berwarna hijau muda dengan susunan roset dan berisi pejal . Daunnya berbentuk lansolat, glabrus dan mempunyai tepi daun yang berduri, pangkal daunnya bersusun dalam bentuk sarung dengan tepi daunnya berduri. Urat daun tidak kelihatan dan daunnya berbentuk memanjang dan berfungsi sebagai batang. Tangkai bunganya boleh mencapai ketinggian sehingga 1 m panjang dengan penghujung tangkainya membentuk bunga yang berwarna merah kekuningan secara berjambak.

Tabiat Tumbuhan

Tumbuhan ini berasal dari Tropika Afrika dan kawasan Mediteranean di mana ia dijumpai tumbuh secara liar di kawasan yang kering, mempunyai banyak cahaya dan di kawasan berpasir. di Malaysia, tumbuhan ini biasanya ditanam di kawasan halaman rumah.

Bahagian Yang Digunakan

  • Daun

Amalan Tradisi Perawatan

Aloe vera digunakan secara tradisi dalam perawatan penyakit sembelit, endema, ekszema, pertusis, terkena bahan panas/ api, kesakitan atau kepedihan, kebengkakan, luka, dyspepsia (ketidakhadaman makanan), batuk, asma, penyakit saraf, leukemia (sejenis penyakit yang disebabkan oleh berlebihnya sel putih dalam darah), kanser paru-paru, buasir dan sakit perut. Ianya juga digunakan sebagai antibiotik, antiseptik (bahan pembasmi kuman), ejen katartis (melegakan emosi) dan purgatif (ubat pencuci perut yang kuat)

hempedubumi Nama saintifik : Andrographis paniculata
Nama biasa : Raja Pahit
Nama tempatan : Hempedu Bumi
Famili : Acanthaceae

Pendahuluan: 

Herba ini merupakan sejenis tumbuhan yang mempunyai jangkahayat yang pendek iaitu lebih kurang satu tahun. Ia berasal dari Asia Tenggara, China dan India. Disebabkan oleh keupayaan pembiakan yang tinggi ia dikatakan sebagai tumbuhan musuh di beberapa tempat. Tumbuhan ini digunakan sejak berabad yang lalu sebagai perawatan khususnya di China, India dan Jawa. Walau bagaimanapun sejak akhir-akhir ini tumbuhan ini mempunyai keupayaan sebagai tumbuhan herba dan telah memasuki pasaran farmasi. Kini tumbuhan ini menjadi herba perawatan yang boleh mengubati sakit-sakit yang ringan dan telahpun terbukti ke atas banyak gejala penyakit yang berkaitan dengan masalah kesan daripada antibodi yang telah dikeluarkan untuk melawan bahan yang sedia ada dalam badan (autoimmune)

Ciri - Ciri Tumbuhan

Merupakan sejenis tumbuhan yang tumbuh tegak dengan jangka hayat yang pendek iaitu lebih kurang satu tahun dan boleh mencapai ketinggian sehingga 60-70 cm. Mempunyai batang yang berbentuk segi empat dan mempunyai dahan yang yang banyak. Daunnya berwarna hijau, susunan daun ringkas, licin. Susunan daunnya adalah secara 'decussate' iaitu daun yang berpasangan secara bertentangan.

Tabiat Tumbuhan

Hempedu bumi umumnya dijumpai secara liar di kawasan tanah terbuka dan kawasan yang ditumbuhi rumput. Di Malaysia hempedu bumi biasanya ditanam di kawasan belakang rumah atau di dalam pasu untuk tujuan herba perubatan. Tumbuhan ini merupakan tumbuhan yang lasak dan boleh hidup dengan baik dalam berbagai jenis tanah.

Bahagian Yang Digunakan

  • Daun dan keseluruhan bahagian pokok.

Amalan Tradisi Perawatan

Tumbuhan ini merupakan tumbuhan yang boleh memberikan analgesik iaitu dapat mengurangkan rasa kesakitan, boleh dijadikan sebagai julap (ubat pencuci perut), ubat pengeluar kahak, penghadaman dan juga digunakan sebagai rawatan penyakit kencing manis, demam, jangkitan cacing, bronkitis yang kronik ( bengkak pada tiub udara di kerongkong), kusta,senak atau kembung perut, sakit perut, disentri (cirit birit) dan penyakit kulit (terbakar, luka dan ulser). Tumbuhan ini juga boleh merawat gigitan ular dan juga kitaran haid yang tidak teratur.

Akar Saga Nama saintifik : Abrus precatorius
Nama biasa : Rosary Pea, Jequerity, Crab's Eye, Precatory Bean, Gunja,Ratti
Nama tempatan : Akar saga
Famili : Leguminosae

Pendahuluan: 

Merupakan tumbuhan yang boleh tumbuh dengan agak lama dan kebiasaannya melilit pada pokok serta tergolong dalam tumbuhan renek. Tumbuhan dari keluarga kekacang, susunan daunnya secara berpelepah dan mempunyai hujung anak daun. Ia juga dikenali sebagai Gunja dalam bahasa sanskrit atau dalam lain-lain bahasa India. Dikenali sebagai Ratti dalam bahasa Hindi. Tumbuhan ini mudah dikenali disebabkan oleh rupa bentuk bijinya dan biasanya digunakan sebagai manik. Bijinya sangat beracun disebabkan oleh kehadiran "abrin". Tumbuhan ini banyak ditemui di Indonesia dan mudah tersebar khususnya di kawasan yang terdapat pokok ini dan kadang-kadang dianggap sebagai rumpai . Kulit bijinya berpintal apabila terbuka dan bijinya terdedah. Bijinya agak leper dan pendek berukuran 1.5 - 2.0 cm panjang dan mempunyai warna yang menarik.

Ciri - Ciri Tumbuhan

Merupakan pepanjat berkayu dengan bentuk dahan yang nipis. Bunganya berbentuk seperti kacang pea, warna putih hingga kemerahan dan bersaiz kecil.

Tabiat Tumbuhan

Merupakan tumbuhan memanjat dan boleh hidup dalam tempoh yang lama.

Bahagian Yang Digunakan

  • Biji , daun dan akar

Amalan Tradisi Perawatan

Bijinya yang diproses digunakan dalam rawatan aprodisiak, anti kuman, diuretik, ubat kahak, pencuci perut, penyejuk badan dan berkeupayaan untuk menenangkan fikiran. Bahagian akar digunakan untuk merawat gonorea (penyakit kelamin), penyakit kuning. Minyak ekstrak dari biji benih digunakan dalam rawatan rambut. Bijinya juga digunakan untuk mencegah kahamilan, rawatan kencing manis dan radang buah pinggang yang kronik (neftiris) .

kapashantu Nama saintifik : Abroma augusta Linn.
Nama biasa : Devill's cotton
Nama tempatan : Kapas Hantu
Famili : Sterculiaceae

Pendahuluan: 

Kapas hantu merupakan sejenis tumbuhan malar hijau. Ia berasal dari Asia hingga ke Australia. Pokok ini banyak terdapat di beberapa tempat di India. Ia boleh didapati di Pakistan dan juga beberapa Negara di Asia.

Ciri - Ciri Tumbuhan

Tumbuhan ini boleh mencapai ketinggian sehingga 2.5m dan kurang merebak. Lebar daunnya boleh mencapai 20cm dan mempunyai 3-5 cuping dengan bentuk daun palmat serta mempunyai urat daun yang jelas. Daun dan batangnya mempunyai bulu yang pendek dan keras yang menyebabkan kurang selesa apabila terpegang. Bahagian kulitnya mempunyai gentian seperti gentian jut. Bunganya bersaiz lebih kurang 5 cm diameter dan kelopak bunganya berbentuk lanseolat serta mempunyai 5 kelopak bunga dan berwarna ungu hingga merah kehitaman. Kelopak bunganya berlekuk dan memanjang di bahagian bawah dan berbentuk seperti sudu yang besar. Biji benihnya banyak dan musim berbunga biasanya dalam bulan Julai hingga Ogos setiap tahun.

Tabiat Tumbuhan

Merupakan sejenis tumbuhan separuh berkayu dan mempunyai bulu yang kasar dan tidak selesa apabila terpegang. Boleh didapati di kawasan belukar dan boleh dijumpai di kebanyakkan kawasan di Semenanjung Malaysia.

Bahagian Yang Digunakan

  • Akar dan daun

Amalan Tradisi Perawatan

Dalam perawatan Ayurveda, jus daun segar adalah digunakan untuk rawatan penyakit perempuan seperti penyakit di bahagian saluran kencing dan haid. Ia boleh memperbetulkan pusingan haid serta digunakan sebagai tonik untuk perawatan bahagian kencing. Manakala bahagian akar yang segar dan kering digunakan untuk merawat sesak nafas dan juga merawat neuralgia (sakit saraf terutama di bahagian kepala dan muka), merawat kencing yang tidak lawas, bronkitis (bengkak pada tiub udara di bahagian kerongkong). Bahagian daun digunakan bagi perawatan kencing manis, reumatik dan sinus. Di Bali, Indonesia bahagian akarnya digunakan sebagai rawatan kudis buta dengan menampal bahagian tersebut dengan akar yang dilumatkan.

Contact Us

Forestry Department of Peninsular Malaysia Headquarters,
Jalan Sultan Salahuddin,
50660 Kuala Lumpur
Phone. No: 603-26164488
Fax: 603-26925657
E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Visitor Counter

Today 13732

Yesterday 15236

Week 44889

Month 382574

All 11363987