![]() |
Nama saintifik : Cinnamomum verum |
Nama biasa : Ceylon cinnamon | |
Nama tempatan : Kayu Manis | |
Famili : Lauraceae |
Pendahuluan:
Kayu manis berasal dari Sri Lanka. Ia merupakan rempah ratus yang tertua dan terdapat di dalam Kitab Bible.
Ciri - Ciri Tumbuhan
Pokok ini boleh membesar dan mencapai ketinggian sehingga 6 m dan kadang-kadang boleh mencapai ketinggian sehingga 12 m. Batangnya tegap dengan ukuran diameter antara 30-60 cm. Pokok yang matang mempunyai kulit yang tebal berwarna coklat kelabu. Pokok ini mempunyai dahan yang rendah dan banyak. Hujung daunnya tirus dengan bahagian pangkalnya adalah bulat dan kadang-kadang sedikit tirus.
Tabiat Tumbuhan
Pokok ini biasanya ditanam di Malaysia. Pokok ini boleh dijumpai ditanam secara separuh liar di Sri Lanka di kawasan tanah pamah rendah yang lembab sehingga ketinggian 2,000 kaki. Kayu manis boleh dibiakkan secara bii benih atau keratan.
Bahagian Yang Digunakan
Amalan Tradisi Perawatan
Tumbuhan ini mempunyai bahan antifungal dan antibakteria. Minyak dari tumbuhan ini mudah meruap dan ianya digunakan untuk mengawal jangkitan kuman dan mengawal tekanan darah rendah manakala bahagian kulitnya digunakan untuk rawatan dispepsia (ketidakhadaman makanan), kembung perut, disentri (cirit birit), bronkitis (bengkak pada tiub udara di kerongkong) dan gangren (pereputan tisu) pada paru-paru. Kulit pokok yang diketuk dan dimasak boleh digunakan pada bahagian luar badan dengan cara menuam bagi rawatan bisul yang bernanah. Minyaknya juga adalah mujarab untuk merawat penyakit reumatik yang teruk dan kronik. Kayu manis juga boleh merawat kekejangan urat perut , sakit gigi dan hilang daya gerak pada bahagian lidah serta boleh digunakan untuk rawatan kanser. Di China , kulit pokok dan ranting yang dikeringkan boleh dijadikan rawatan bagi merawat kanser, tekanan darah tinggi dan masalah sakit perut dengan mencampurkan dengan bahan ubatan lain.
![]() |
Nama saintifik : Corymborkis veratrifolia (Reinw.) Blume |
Nama biasa : White Cinnamon Orchid | |
Nama tempatan : Bertam sulur | |
Famili : Orchidaceae |
Pendahuluan:
Sejenis orkid yang mempunyai nilai perubatan yang kurang dikenali. Namun begitu masyarakat melayu menggunakannya sebagai rawatan untuk melancarkan perjalanan darah dalam badan.
Ciri - Ciri Tumbuhan
Sejenis herba terestrial (tumbuhan yang tumbuh di atas tanah) yang tumbuh secara berumpun. Bunganya berwarna putih dan boleh bertahan hanya beberapa hari sahaja. Dipercayai didebungakan oleh rama-rama. Mempunyai batang yang tumbuh secara menegak. Helaian daun berukuran kira-kira 22-27 x 4.5-10 cm dan panjang tangkai daunnya kira-kira 0.5 cm . Mempunyai urat daun utama yang selari kira-kira 7-9 urat. Permukaan bawah daun berbulu agak jarang dan nampak seperti berkarat. Ukuran bunga kira-kira 5-10 cm panjang dan boleh mencapai sehingga 60 kuntum bunga. Ukuran sepal adalah lebih kurang 20-30 x 2-3 mm. Manakala ukuran kelopak bunganya adalah lebihkurang 25-30 x 3-4 mm.
Tabiat Tumbuhan
Boleh didapati di kawasan hutan pamah hingga ke kawasan berketinggian sehingga 300m apl. Ia tumbuh di kawasan tanah yang berporos (serapan air yang bagus) dan pada kelembapan tanah yang tinggi.
Bahagian Yang Digunakan
Amalan Tradisi Perawatan
Daun segar yang dikunyah boleh menyebabkan muntah untuk mengubati demam di kalangan kanak-kanak dan cirit-birit.
![]() |
Nama saintifik : Cananga odorata (Lam.) Hook. F. & Thoms |
Nama biasa : Ylang ylang, perfume tree, cananga, cadmia | |
Nama tempatan : Kenanga | |
Famili : Annonaceae |
Pendahuluan:
Pokok Kenanga berasal dari Indo-Malaysia dan diperkenalkan secara meluas oleh orang-orang dari Polynesia, Micronesia dan orang-orang Eropah yang sejak awal datang ke Kepulauan Pasifik. Di sesetengah tempat ia telah tumbuh secara semulajadi contohnya di Samoa.
Ciri - Ciri Tumbuhan
Kenanga adalah sejenis pokok malar hijau yang cepat membesar dan boleh mencapai ketinggian sehingga 2-5 m setahun ketika pokok berusia muda. Purata ketinggian pokok kenanga adalah lebihkurang 12 m dan boleh mencapai ketinggian maksimum sehingga 25-30 m. Dalam pendekatan senitaman, ia boleh dipangkas pada ketinggian 2-3 m. Pokok kenanga mempunyai batang yang sedikit melengkung. Kulinya licin dan dan berwarna kelabu keputihan. Daunnya berwarna hijau gelap, dengan 20 cm panjang, susunan daun berselang , ringkas, berbentuk bujur dan sedikit berbulu serta mempunyai tulang daun yang jelas manakala hujung daun menjulur ke bawah. Bunga tergantung dari dahan yang memanjang dan mempunyai enam kelopak bunga berwarna kuning kehijauan. Bunganya boleh dijadikan minyak pati yang sangat harum. Musim berbunga berlaku sepanjang tahun tetapi berbunga dengan lebat pada musim panas dan lembab.
Tabiat Tumbuhan
Pokok kenanga boleh tumbuh dalam pelbagai jenis tanah iaitu dari tanah berpasir dan tanah liat. Ia hidup subur di kawasan tanah gunung berapi atau tanah berpasir yang subur dan boleh hidup dalam kawasan air yang bertakung untuk tempoh yang singkat. Pokok kenanga hidup subur di kawasan tanah pamah lembap tropika, walaupun ia boleh ditanam di kawasan tanah tinggi berhampiran garisan khatulistiwa.
Bahagian Yang Digunakan
Amalan Tradisi Perawatan
Kulit kayu digunakan oleh masyarakat Tonga dan Samoa untuk merawat penyakit perut dan kadang-kadang dijadikan sebagai ubat julap. Manakala di Jawa, bunga yang kering digunakan untuk menahan penyakit malaria dan bunga yang segar, ditumbuk dan digunakan secara menampal bagi merawat asma. Saringan bunganya dikatakan mempunyai nilai perubatan oleh pakar herba dan aromaterapis. Aromaterapis mendakwa bahawa minyaknya berguna untuk merawat kemurungan, masalah pernafasan, tekanan darah tinggi, kebimbangan dan juga digunakan sebagai aprodisiak, dll.
![]() |
Nama saintifik : Kaempferia galanga Linn |
Nama biasa : Maraba,Finger root, Chinese ginger | |
Nama tempatan : Cekur | |
Famili : Zingiberaceae |
Pendahuluan:
Pokok Cekur dikatakan berasal dari China dan India. Kini ditanam agak meluas di Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain. Rhizomnya beraroma dan adalah penting di Malaysia sebagai rempah untuk perisa nasi dan juga dalam bidang perubatan oleh masyarakat dahulu. Cekur agak popular di Thailand di mana ia kerap digunakan sebagai rempah perisa dalam masakan kari dan sup.
Ciri - Ciri Tumbuhan
Ia merupakan sejenis herba yang sangat kecil dan mempunyai daun yang berkembang secara mendatar di bahagian atas permukaan tanah. Daunnya tersusun rapi dan padat. Mempunyai daun ringkas, berwarna hijau dan berbentuk eliptik. Daunnya berbau sedikit aroma .Bunganya tumbuh secara berasingan. Tidak mempunyai batang dan mempunyai saiz rizom yang kecil dan berbau sedikit aroma. Akarnya bergentian dan berisi. Bunga berwarna putih dan bersaiz antara 6-12 cm. Tumbuh dari bahagian tengah daun.
Tabiat Tumbuhan
Pokok cekur boleh ditemui tumbuh liar di taman-taman lama. Ia juga biasanya ditanam di kampung-kampung. Cekur boleh dibiak melalui bahagian rizom atau memotong dari bahagian pokok ibu yang sudah matang.
Bahagian Yang Digunakan
Amalan Tradisi Perawatan
Rizom pokok cekur yang dicampur dengan minyak digunakan secara luaran untuk menyembuh luka dan disapu pada bahagian yang mengalami keradangan reumatik.Rizomnya yang dihiris dan diikat sebagai tuam dapat mempercepatkan bisul mengeluarkan nanah. Rizom yang dijadikan losyen digunakan untuk menghapuskan kelemumur dari kepala. Rizom yang dijadikan sebagai tepung dicampur dengan madu lebah digunakan untuk rawatan batuk dan sakit dada.
![]() |
Nama saintifik : Acalypha indica |
Nama biasa : Indian copperleaf, India acalypha | |
Nama tempatan : Kucing Galak, Cika Mas | |
Famili : Euphorbiaceae |
Pendahuluan:
Tumbuhan ini boleh didapati di kawasan negara Afrika yang beriklim tropika dan juga boleh ditemui di Afrika Selatan. Manakala di sebelah Afrika Timur dan Barat, tumbuhan ini digunakan sebagai herba ubatan. Di bahagian Afrika Barat, daun tumbuhan ini dimasak dan daunnya dijadikan sebagai ulaman. Daunnya juga merupakan makanan kegemaran lembu di Afrika. Tumbuhan ini juga disanjung tinggi sebagai herba ubatan tradisi masyarakat Tamil Siddha dan dipercayai boleh merawat awet muda.
Ciri - Ciri Tumbuhan
Tumbuhan ini tidak kekal lama, tumbuh secara menegak dan boleh mencapai ketinggian sehingga 1 m tinggi. Panjang daun adalah antara 2.5cm - 7.5cm berbentuk 'ovate' dan 'rhomboid-ovate'. Bunganya banyak dan lembut, tumbuh secara menegak dan memanjang. Bunga jantan bersaiz kecil, berkelompak di bahagian tangkai manakala bunga betina tumbuh secara bertabur.
Tabiat Tumbuhan
Pokok ini tumbuh meliar di kawasan terbuka khususnya di kawasan yang agak kering. Di Semenanjung Malaysia, tumbuhan ini boleh didapati di kawasan penempatan perumahan.
Bahagian Yang Digunakan
Amalan Tradisi Perawatan
Air rebusan keseluruhan pokok digunakan sebagai ubat pencuci perut. Ia juga amat berkesan untuk merawat buasir. Akarnya digunakan untuk membuang cacing dalam perut kanak-kanak dengan meminum di waktu pagi semasa perut masih kosong. Daunnya yang dilumatkan dengan kunyit digunakan untuk merawat jerawat di muka.
![]() |
Nama saintifik : Acalypha hispida |
Nama biasa : Red hot cat's tail | |
Nama tempatan : Ekor Kucing | |
Famili : Euphorbiaceae |
Pendahuluan:
Tumbuhan ini berasal dari Oceania dan kemudiannya merebak sehingga ke Amerika Utara termasuk Amerika Syarikat, Mexico dan Belize.
Ciri - Ciri Tumbuhan
Tumbuhan ini boleh tumbuh sehingga mencapai ketinggian 1.8m - 3.7m tinggi. Merupakan tumbuhan 'dioecious' di mana tumbuhan jantan dan betina boleh dibezakan dengan mudah. Pokok betina mempunyai 'pistillate' (bahagian bunga yang mempunyai ovari bunga). Bunganya mempunyai warna yang pelbagai iaitu dari warna ungu ke warna merah cerah dan bunganya tumbuh berjuntai.
Tabiat Tumbuhan
Tumbuhan ini hidup melata dan mudah dijumpai. Ditanam menggunakan biji benih serta boleh ditanam menggunakan keratan dahan.
Bahagian Yang Digunakan
Amalan Tradisi Perawatan
Daunnya boleh digunakan secara demahan atau menuam bagi mengubati penyakit kusta. Air rebusan daun dan bunganya digunakan untuk merawat luka dan ulser dan juga sebagai pencuci perut serta merawat penyakit kelamin. Minuman bahagian kulit batangnya yang direbus boleh merawat kahak serta mengurangkan serangan asma. Daun rasanya agak kelat dan bahagian bunganya digunakan bagi merawat cirit birit.