Organisasi

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) adalah salah satu jabatan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Malaysia dan terdiri daripada Ibu Pejabat Perhutanan Semenanjung Malaysia, 11 Jabatan Perhutanan Negeri dan 33 Pejabat Hutan Daerah di seluruh Semenanjung Malaysia. Jabatan ini diketuai oleh Ketua Pengarah Perhutanan dan dibantu oleh dua Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan. Pada akhir tahun 2014, bilangan tenaga kerja adalah seramai 5,121 orang.

Fungsi Jabatan

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia bertanggungjawab kepada pengurusan, perancangan, perlindungan dan pembangunan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) selaras dengan Dasar Perhutanan Negara (DPN) 1992 dan Akta Perhutanan Negara (APN) 1984.

Fungsi Direktorat

Ahli direktorat terdiri daripada Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia dan dibantu oleh dua orang Timbalan Ketua Pengarah. Direktorat bertanggungjawab dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar-dasar, strategi-strategi dan objektif-objektif Jabatan serta menyelaras kerja-kerja  pentadbiran, pengurusan, pembangunan dan pemeliharaan sumber hutan selaras dengan keperluan negara.

Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan

Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia bertanggungjawab untuk menggubal dasar-dasar perhutanan, memberi nasihat dan khidmat teknikal kepada Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri dalam aspek perancangan, pengurusan dan pembangunan hutan, pengusahasilan hutan dan industri berasas kayu, kajian operasi hutan serta latihan dan pembangunan sumber manusia.

Di Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia terdapat dua (2) Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan iaitu Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Dasar dan Perancangan) dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi dan Teknikal) masing-masing bertanggungjawab terhadap enam (6) bahagian. Sementara itu, terdapat dua (2) Unit dan satu (1) Bahagian lain yang bertanggungjawab secara langsung kepada Ketua Pengarah Perhutanan.

Sektor Dasar Dan Perancangan

Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Dasar dan Perancangan) bertanggungjawab dalam bidang perancangan dan ekonomi hutan, pengurusan sumber  hutan, silvikultur dan pemeliharaan biologi hutan, pembangunan forest eco-park dan hutan taman negeri, hal ehwal perhutanan antarabangsa serta ladang dan perlindungan hutan.

Sektor Operasi Dan Teknikal

Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Operasi dan Teknikal) bertanggungjawab dalam urusan-urusan pentadbiran dan kewangan, kejuruteraan hutan, teknikal dan industri kayu, penguatkuasaan hutan, latihan perhutanan dan pembangunan modal insan serta pembangunan sistem teknologi maklumat.

Jabatan Perhutanan Negeri

Jabatan Perhutanan Negeri bertanggungjawab dalam pentadbiran dan pengawalan pengusahasilan hutan, kutipan hasil hutan dan pembangunan sumber hutan negeri. Jabatan ini juga merancang dan menyelaraskan pembangunan industri berasas kayu. Jabatan Perhutanan Negeri dibahagikan kepada Bahagian Operasi Hutan dan Pembangunan Hutan serta disokong oleh Pejabat Hutan Daerah/Jajahan.

Bahagian Operasi Hutan

Bertanggungjawab terhadap pentadbiran, penguatkuasaan undang-undang hutan, kutipan hasil hutan serta menyelaras dan berhubung dengan Ibu Pejabat Perhutanan, lain-lain jabatan negeri, badan dan agensi berkanun.

Bahagian Pembangunan Hutan

Bertanggungjawab dalam merancang, melaksana dan memantau aktiviti-aktiviti pengurusan dan pembangunan hutan, termasuk pemeliharaan biodiversiti, pembangunan ekopelancongan dan pemulihan kawasan hutan serta penyediaan dan pelaksanaan Rancangan Pengurusan Hutan Negeri.

Pejabat Hutan Daerah/Jajahan

Bertanggungjawab terhadap pentadbiran, pengawalan pengusahasilan hutan, kutipan hasil hutan dan penguatkuasaan undang-undang hutan. Pejabat ini juga bertanggungjawab untuk melaksanakan aktivitiaktiviti pengurusan dan pembangunan hutan termasuk pengurusan forest eco-park dan hutan taman negeri.

Bahagian Perancangan Dan Ekonomi Hutan

Bahagian ini bertanggungjawab untuk menyelaras, menyelia, menilai dan memantau pelaksanaan projekprojek pembangunan hutan di peringkat Persekutuan dan Negeri, pensijilan sistem kualiti dan pengurusan hutan dan Pelan Tindakan Perancangan Strategik JPSM 2008-2020; serta merancang dan menjalankan kajian ekonomi perhutanan di samping penerbitan laporan dan perangkaan.

Bahagian Pengurusan Hutan

Bahagian ini bertanggungjawab dalam hal ehwal pengurusan dan inventori hutan; memberi khidmat nasihat kepada Jabatan Perhutanan Negeri berkaitan dengan teknik dan sistem pengurusan serta penilaian sumber hutan asli.

Bahagian Silvikultur Dan Pemeliharaan Biologi Hutan

Bahagian ini bertanggungjawab untuk melaksana dan menyelaraskan aktiviti-aktiviti silvikultur hutan asli; pengurusan, pembangunan dan pemeliharaan kepelbagaian biologi hutan; dan memberi nasihat teknikal pembangunan hutan kepada Jabatan Perhutanan Negeri.

Bahagian Ladang Hutan Dan Perlindungan Hutan

Bahagian ini bertanggungjawab untuk melaksana dan menyelaraskan pembangunan dan pengurusan ladang hutan; pembangunan hutan tani, tapak semaian, gen bank dan kawasan pengeluaran biji benih; pemuliharaan kawasan pesisiran pantai; dan pencegahan serta pengawalan kebakaran hutan, penyakit dan agen perosak.

Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa

Bahagian ini bertanggungjawab dalam menangani isu- isu perhutanan serta memupuk jalinan dan kerjasama yang baik di peringkat serantau dan antarabangsa demi menjaga kepentingan dan martabat negara.

Bahagian Latihan Perhutanan

Bahagian ini bertanggungjawab untuk merancang, menyelaras dan melaksanakan kursus-kursus latihan dalam perkhidmatan dan kursus-kursus teknikal; serta kursus-kursus Sijil Perhutanan Renjer Hutan dan Sijil Perhutanan Pengawas Hutan.

Bahagian Penguatkuasaan Hutan

Bahagian ini bertanggungjawab terhadap pelaksanaan dan pemantauan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan hutan serta memberi khidmat nasihat dan bantuan teknikal kepada Jabatan Perhutanan Negeri bagi perkara-perkara berkaitan dengan aduan, pengumpulan maklumat dan siasatan mengenai kes-kes kesalahan hutan.

Bahagian Kejuruteraan Hutan

Bahagian ini bertanggungjawab untuk memberi khidmat nasihat teknikal berkaitan dengan pembinaan dan penyelenggaraan jalan dan infrastruktur hutan kepada Jabatan Perhutanan Negeri dan pembinaan serta penyelenggaraan bangunan dan lain-lain infrastruktur Jabatan.

Bahagian Khidmat Pengurusan

Bahagian ini bertanggungjawab untuk memberi perkhidmatan sokongan pengurusan, menguruskan hal-hal berkaitan pentadbiran Jabatan; pengurusan sumber manusia; pengurusan kewangan; pengurusan aset Kerajaan dan pengurusan pusat sumber; penguatkuasaan peraturan dan langkah-langkah keselamatan dan perlindungan dokumen terperingkat Jabatan; dan pengendalian penilaian kompetensi.

Bahagian Pengurusan Maklumat

Bahagian ini bertanggungjawab untuk menyelaras pengurusan dan penggunaan ICT serta pembangunan aplikasi sistem maklumat perhutanan dan pemetaan dengan menggunakan teknologi GIS, RS dan GPS; dan memberi khidmat nasihat dan bantuan teknikal dalam bidang ICT dan maklumat geospatial kepada Jabatan Perhutanan Negeri.

Bahagian Teknikal & Industri Kayu

Bahagian ini bertanggungjawab untuk memberi khidmat nasihat teknikal dalam bidang kejuruteraan mekanikal, rekabentuk kilang, pemilihan jentera dan teknik memproses bagi industri berasas kayu serta teknik-teknik pengusahasilan hutan; dan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Bahagian Perundangan Dan Pendakwaan

Bahagian ini bertanggungjawab terhadap urusan perundangan di peringkat Persekutuan yang melibatkan kepentingan JPSM serta memberi khidmat nasihat dari aspek perundangan dan pendakwaan kepada Jabatan Perhutanan Negeri.

Bahagian Forest Eco-Park Dan Hutan Taman Negeri

Bahagian ini bertanggungjawab untuk menyelaras, memantau dan menilai pelaksanaan pembangunan forest eco-park dan hutan taman negeri, serta memberi khidmat nasihat teknikal berkaitan ekopelancongan hutan kepada Jabatan Perhutanan Negeri.

Unit Komunikasi Korporat Dan Perhubungan Awam

Unit ini bertanggungjawab terhadap pengembangan hutan dan penyebaran maklumat perhutanan; meningkatkan imej JPSM; pembangunan dan pengurusan galeri perhutanan; serta pentadbiran, pengurusan, pembangunan dan perlindungan HSK di Wilayah Persekutuan.

Unit Integriti Perhutanan

Unit ini bertanggungjawab dalam menyepadukan semua pengurusan hal yang berkaitan dengan integriti di JPSM supaya pengurusan integriti dapat dilaksanakan secara lebih fokus dan terancang dengan melaksanakan enam (6) fungsi teras iaitu tadbir urus, pengukuhan integriti, pengesanan dan pengesahan, pengurusan aduan integriti, pematuhan dan tatatertib. 

Hubungi Kami

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia
Jalan Sultan Salahuddin,
50660 Kuala Lumpur
No. Tel: 603-26164488
No. Faks: 603-26925657
Emel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Statistik Pelawat

Hari Ini 207

Semalam 384

Minggu Ini 1002

Bulan Ini 9592

Keseluruhan 49669

Undian

Pendapat anda mengenai Laman Web baru JPSM

.