soalan lazim2| hubungi kami2| aduan2| petalaman3

PENSIJILAN PENGURUSAN HUTAN DI SEMENANJUNG MALAYSIA

Pensijilan pengurusan hutan adalah merupakan salah satu mekanisme pengukuran pengurusan hutan bagi membantu mengurangkan proses penyahhutanan, melindungi kawasan tadahan dan kualiti air, memulihara alam sekitar dan mengekalkan kelangsungan sumber daya hutan serta meningkatkan ekonomi bagi penduduk setempat yang bergantung pada hasil hutan selaras dengan Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Kriteria dan Petunjuk Malaysia (MC&I) untuk Pengurusan Hutan Mampan (PHM) atau singkatannya MC&I SFM adalah standard kebangsaan pensijilan pengurusan hutan yang menetapkan keperluan-keperluan untuk pensijilan sistem pengurusan hutan mampan bagi unit pengurusan hutan (FMU) yang ditentukan, sama ada hutan asli atau ladang hutan. Standard ini menggantikan MC&I (Hutan Asli) dan MC&I Ladang Hutan.v2 sebagai standard yang akan digunakan untuk pensijilan pengurusan hutan bagi hutan asli dan ladang hutan di Malaysia.

Penggabungan dan penyelarasan kedua-dua standard pensijilan pengurusan hutan ini adalah untuk membolehkan penggunaan masa dan sumber daya yang lebih efisien. Secara amnya perubahan yang berlaku adalah seperti menghadkan penukaran ladang hutan kepada guna tanah lain, penukaran hutan asli kepada ladang hutan tidak memberi kesan negatif kepada kawasan yang mempunyai stok karbon yang tinggi, keperluan prosedur untuk meminimumkan kerosakan akibat tumpahan minyak dan keperluan untuk meminimumkan penggunaan baja untuk pengurusan hutan semula jadi dan ladang hutan serta pertambahan dalam aspek pemuliharaan, faedah ekonomi dan sosial.

Standard ini telah direka untuk menyokong dan mengukuhkan rangka kerja pengawalseliaan di dalam kawasan operasi pengurus hutan, di mana pematuhan undang-undang adalah keperluan minimum. Ia adalah set keperluan-keperluan yang menyokong pencapaian pengurusan hutan mampan yang mana berkemungkinan melangkaui had perundangan minimum untuk memenuhi keperluan pensijilan daripada aspek sosial, alam sekitar dan ekonomi.

Standard ini disusun sejajar dengan sembilan (9) Prinsip seperti berikut:

    • Prinsip 1: Pematuhan kepada Undang-Undang
    • Prinsip 2: Hak Pegangan dan Penggunaan serta Tanggungjawab
    • Prinsip 3: Hak-Hak Orang Asal
    • Prinsip 4: Hubungan Masyarakat dan Hak-Hak Pekerja
    • Prinsip 5: Faedah-Faedah daripada Hutan
    • Prinsip 6: Impak Alam Sekitar
    • Prinsip 7: Rancangan Pengurusan
    • Prinsip 8: Pemantauan dan Penilaian
    • Prinsip 9: Penyelenggaraan Kawasan yang Mempunyai Nilai Pemuliharaan yang Tinggi

Keperluan-keperluan dalam standard ini diguna pakai untuk kedua-dua hutan asli dan ladang hutan kecuali dinyatakan secara khusus dalam Kriteria atau Petunjuk atau Verifier, dan mesti dipatuhi sepanjang aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di dalam Unit Pengurusan Hutan (FMU) sama ada oleh pemilik, pengurus, kontraktor, pengendali atau pekerja-pekerja yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti pengurusan FMU. Sehingga kini tujuh (7) FMU iaitu negeri Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, Terengganu dan Kedah telah menerima Sijil Pengurusan Hutan di bawah standard MC&I SFM yang melibatkan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) seluas 4.054 juta ha. Dokumen standard MC&I SFM adalah seperti di Lampiran 1.

MC&I

Dokumen Kriteria dan Petunjuk Malaysia untuk Pengurusan Hutan Mampan

 

 

 Sijil Pengurusan Hutan MC&I (Hutan Asli)

MC&I

 

Hubungi Kami

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia
Jalan Sultan Salahuddin,
50660 Kuala Lumpur
No. Tel: 603-26164488
No. Faks: 603-26925657
Emel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Statistik Pelawat

Hari Ini 3574

Semalam 8264

Minggu Ini 11838

Bulan Ini 181365

Keseluruhan 7702291