soalan lazim| hubungi kami2| aduan2| petalaman3

Kempen Penanaman 26 Juta Pokok 2010-2014
Laporan Disediakan Oleh
Bahagian Ladang Hutan Dan Perlindungan Hutan,
Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia

PENGENALAN

Kempen Menanam 26 Juta Pokok dengan tema "Hijaukan Bumi: Satu Warga satu Pokok" melibatkan penanaman sejumlah 26 juta pokok iaitu bersamaan dengan 26 juta penduduk Malaysia telah dilancarkan secara serentak pada 22 April 2010 bersempena dengan Sambutan Hari Bumi Sedunia. Kempen ini telah dicetuskan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Tujuan kempen ini dilaksanakan ialah bagi memupuk semangat cintakan kehijauan pokok-pokok yang berperanan penting dalam memberikan keselesaan dan kesejahteraan kehidupan seharian kepada masyarakat serta meningkatkan kesedaran dan penghargaan kepada alam sekitar. Majlis perasmian kempen ini telah diadakan seiring dengan Sambutan Tahun Biodiversiti Antarabangsa 2010 dan telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Douglas Uggah Embas, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Malaysia bertempat di Presint 5, Putrajaya dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Perbandanan Putrajaya. Kempen Menanam 26 Juta Pokok ini adalah selaras dengan komitmen Malaysia dalam Persidangan Kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Mengenai Perubahan Iklim (COP 15) di Copenhagen pada bulan Disember 2009 untuk mengurangkan intensiti pembebasan karbon dioksida berdasarkan KDNK sehingga 40% menjelang tahun 2020 berbanding pada tahun 2005.

Program ini melibatkan penglibatan dari jabatan dan agensi kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), syarikat swasta, institusi pengajian tinggi dan masyarakat tempatan di seluruh negara. Aktiviti tanaman pokok melibatkan semua pihak di dalam pelbagai tempat seperti hutan darat, hutan paya gambut, hutan bakau, kawasan bandar, persekitaran sekolah, lebuh raya dan lain-lain kawasan yang sesuai. Kawasan hutan darat terosot dan kawasan hutan paya gambut telah ditanam dengan spesies pokok tempatan seperti Kapur (Dryobalanops aromatica), Meranti melantai (Shorea macroptera), Sepetir licin (Sindora coriacea), Damar minyak (Agathis borneensis), Kelat Jambu laut (Syzygium grande), Meranti tembaga (Shorea leprosula) dan Merawan siput jantan (Hopea odorata) melalui tanaman mengaya oleh jabatan-jabatan perhutanan negeri. Di samping itu, tanaman pokok bakau dan lain-lain spesies ditanam di pesisiran pantai untuk mewujudkan zon penampan. Melalui kempen ini, sasaran kawasan seluas lebih kurang 38,470 hektar kawasan hutan yang meliputi kawasan terosot, kawasan pesisiran pantai negara dan kawasan telah dibalak akan dapat ditanam menjelang 2014 dengan keupayaan menyerap karbon dioksida sejumlah 200,000 tan setahun. STATUS KEMPEN PENANAMAN 26 JUTA POKOK

Sejak kempen ini dilaksanakan dari April 2010 hingga Disember 2012, Jabatan Perhutanan semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama lain-lain agensi serta pertubuhan masyarakat tempatan telah berjaya menanam sebanyak 15,367,971 pokok di kawasan seluas 14,991.24 hektar bagi seluruh Semenanjung Malaysia. Berikut adalah pecahan jumlah tanaman dan keluasan mengikut tahun:

Tahun Jumlah Pokok
Jumlah keseluruhan 15,367,971 pokok (14,991.24 hektar)
2010 5,755,209 pokok (3,157.40 hektar)
2011 4,708,482 pokok (6,143.31 hektar)
2012 4,904,280 pokok (5,690.53 hektar)

Contact Us

Forestry Department of Peninsular Malaysia Headquarters,
Jalan Sultan Salahuddin,
50660 Kuala Lumpur
Phone. No: 603-26164488
Fax: 603-26925657
E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Visitor Counter

Today 215

Yesterday 958

Week 3723

Month 24997

All 836119

Polls

Your opinion about the new Web site JPSM

Very Good - 43.5%
Good - 43.5%

Total votes: 23
The voting for this poll has ended on: September 17, 2017