Pokok yang terletak lebih
kurang 200 meter dari sempadan Taman Negara dan 390 meter dari paras laut di kawasan
Kompartmen 5 hutan ini, telah menerima pengiktirafan The Malaysia Book of
Records sebagai pokok terbesar di Semenanjung Malaysia dan
didokumenkan dalam keluaran edisi ketiga pada tahun
2001.
Pokok cengal kedua
terbesar pula terletak dalam kompartmen 4, Hutan Simpan Pasir Raja
dan dianggarkan ketinggian 45 meter dengan ukuran lilitan 10.75
meter.
Cengal atau nama
saintifiknya 'Neobalanocarpus-heimii' adalah kayu keras popular di
negara ini. Kawasan taburan semula jadi terhad di Semenanjung
Malaysia, Thailand iaitu Selatan Pattani dan di Indonesia.
Pokok cengal dikenali
sebagai cengai di Perak, manakala di Selangor, Negeri Sembilan dan
Pahang Barat dikenali sebagai penak. Thailand pula mempunyai
pelbagai nama iaitu thakian-cha, takhian-chantamaeo dan chi-ngamat.
Di Malaysia, pokok cengal tumbuh di
kawasan hutan tanah pamah yang mempunyai ketinggian kurang dari
1,000 meter terutama di kawasan yang mempunyai saliran air yang
baik.
Kebiasaannya pokok cengal hidup dengan
baik di kawasan yang menerima hujan lebih dari 2,000 milimeter
setahun dan tiada musim kemarau yang panjang.
Pokok cengal menghasilkan kayu terbaik dan
mencapai harga tertinggi di pasaran jika dibandingkan dengan jenis
kayu lain dan tergolong dalam keluarga 'Dipterocarpacease' iaitu
sejenis pokok menghasilkan buah yang mempunyai sepasang sayap
serta mengeluarkan resin atau damar.
Kayu cengal adalah kayu keras yang tahan
lama dan mempunyai ketumpatan antara 915 hingga 980 kilogram per
meter padu yang kebiasaannya digunakan dalam kerja pembinaan berat
terutama pembinaan bot, selain dijadikan tiang, serta jambatan
tanpa perlu diawet kerana ia tahan dari serangan anai-anai.
Ketahanan kayu itu disebabkan terdapat
sejenis bahan awet semula jadi yang melindungi kayu teras.
Kayu gubal, teras serta kulit pokok cengal mempunyai sejenis damar
yang dikenali sebagai damar penak dan boleh digunakan dalam
pembuatan barnis.
Sumber dari Utusan Malaysia, 9 Mei, 2001,
8 Jun, 2004 dan 12 Jun, 2004.