soalan lazim2| hubungi kami2| aduan2| petalaman3

Bil Nama Tempatan Nama Saintifik Famili
1 Sembong Blumea balsamifera Acanthaceae
2 Bertam Sulur Corymborkis veratrifolia (Reinw.) Blume Orchidaceae
3 Bunga Raya Putih Hibiscus rosa-sinensis L Malvaceae
4 Kacip Fatimah Labisia pumila Benth Myrsinaceae
5 Keremak Eclipta alba hassk. Compositae
6 Jerangau Acorus calamus L. Araceae
7 Kapas Hantu Abroma augusta Linn. Sterculiaceae
8 Akar Saga Abrus precatorius Leguminosae
9 Hempedu Bumi Andrographis paniculata Acanthaceae
10 Lidah Buaya Aloe vera (L.) Burm.f Liliaceane
11 Kayu Manis Cinnamomum verum Lauraceae
12 Kunyit Curcuma domestica Loir. Zingiberaceae
13 Lengkuas Alphinia galanga (L.) Willd. Zingiberaceae
14 Pegaga Centella asiatica (L.) Urban Umbelliferae
15 Serai Cymbopogon citratus (DC.) Stapf. Graminae
16 Serai Wangi Cymbopogon nardus (L.) rendle. Graminae
17 Tutup Bumi Elephantopus scaber L. Compositae
18 Ekor Kucing Acalypha hispida Euphorbiaceae
19 Kucing Galak Acalypha indica Euphorbiaceae
20 Cekur Kaempferia galanga Linn. Zingiberaceae
21 Kenanga Cananga odorata (Lam.) Hook. F. & Thoms Annonaceae
22 Kaduk Piper sarmentosum Roxb. Piperaceae
23 Senduduk Melastoma malabathricum L. Melastomatacea

Hubungi Kami

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia
Jalan Sultan Salahuddin,
50660 Kuala Lumpur
No. Tel: 603-26164488
No. Faks: 603-26925657
Emel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Statistik Pelawat

Hari Ini 5547

Semalam 8264

Minggu Ini 13811

Bulan Ini 183338

Keseluruhan 7704264

Sembong Nama Scientifik : Blumea Balsamifera
Nama biasa : Sembong, Capa, Telinga kerbau
Nama tempatan : Sembong
Famili : Acanthaceae

Pendahuluan:

Salah satu pokok herba yang diluluskan di Jabatan Kesihatan Negara Filipina. Berbau kapur barus. Akar pokok ini diambil sebelum berbunga, katanya selepas berbunga rasanya tawar. Pokok Sambong digunakan sebagai salah satu rawatan herba untuk rawatan selesema dan diuretik. Di Negara Filipina, pokok ini dikenali sebagai sambong. Pokok ini juga digunakan di NegaraThai dan ubat-ubatan rakyat Cina.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Merupakan tumbuhan kecil yang boleh membesar sehingga 4 m tinggi. Tumbuhan ini mempunyai bau kapur barus yang sangat kuat di sekitarnya. Mempuyai kulit berwarna coklat kelabu, manakala kayunya lembut dan berwarna putih. Mempunyai ukuran diameter di antara 2-8 cm. Daun berbentuk ringkas dan berselang. Pangkal daun runcing. Tepi daunnya bergerigi. Bahagian bawah daunnya berbulu manakala bahagian atas daun agak kesat.

Tabiat Tumbuhan:

Spesies ini ditemui dalam zon-zon tropika dan Subtropika di Asia, terutama di Benua Kecil India dan Asia Tenggara. Spesies ini biasanya didapati tumbuh di kawasan terbuka dan juga terdapat di padang rumput.

Bahagian Yang Digunakan:

Daun, akar dan bunga

Amalan Tradisi Perawatan:

Orang Melayu mengamalkan penggunaan ubat ini untuk membuat badan panas dan berpeluh. Di Kelantan digunakan untuk melancarkan haid. Direbus dengan daun senduduk dan kulit manggis untuk melembutkan kaki. Debu daun kering disembur masuk ke dalam hidung kuda untuk ubati selsema. (Ridley-Journal. Straights Med.Asocc. 5. 1897 page126). Di Sarawak digunakan sebagai ubat selepas bersalin dan juga sebagai salah satu ramuan untuk disapu ke dahi dan perut. Di Indoensia air rebusannya digunakan untuk ubati sakit taun, darah beku dan ubat bengkak. Manakala daunnya dibuat teh untuk mengubati batuk dan sakit tekak.

Bertam Sulur Nama Scientifik : Corymborkis veratrifolia (Reinw.) Blume
Nama biasa : White Cinnamon Orchid
Nama tempatan : Bertam sulur
Famili : Orchidaceae

Pendahuluan:

Sejenis orkid yang mempunyai nilai perubatan yang kurang dikenali. Namun begitu masyarakat melayu menggunakannya sebagai rawatan untuk melancarkan perjalanan darah dalam badan.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Sejenis herba terestrial (tumbuhan yang tumbuh di atas tanah) yang tumbuh secara berumpun. Bunganya berwarna putih dan boleh bertahan hanya beberapa hari sahaja. Dipercayai didebungakan oleh rama-rama. Mempunyai batang yang tumbuh secara menegak. Helaian daun berukuran kira-kira 22-27 x 4.5-10 cm dan panjang tangkai daunnya kira-kira 0.5 cm . Mempunyai urat daun utama yang selari kira-kira 7-9 urat. Permukaan bawah daun berbulu agak jarang dan nampak seperti berkarat. Ukuran bunga kira-kira 5-10 cm panjang dan boleh mencapai sehingga 60 kuntum bunga. Ukuran sepal adalah lebih kurang 20-30 x 2-3 mm. Manakala ukuran kelopak bunganya adalah lebihkurang 25-30 x 3-4 mm.

Tabiat Tumbuhan:

Boleh didapati di kawasan hutan pamah hingga ke kawasan berketinggian sehingga 300m apl. Ia tumbuh di kawasan tanah yang berporos (serapan air yang bagus) dan pada kelembapan tanah yang tinggi.

Bahagian Yang Digunakan:

Daun

Amalan Tradisi Perawatan:

Daun segar yang dikunyah boleh menyebabkan muntah untuk mengubati demam di kalangan kanak-kanak dan cirit-birit.

Bunga Raya Putih Nama Scientifik : Hibiscus rosa-sinensis L
Nama biasa : Chinese hibiscus
Nama tempatan : Bunga raya putih
Famili : Malvaceae

Pendahuluan:

Bunga raya berasal dari Negeri China dan Kepulauan Pasifik. Bunga raya merupakan bunga kebangsaan kita. Selain daripada keindahan semulajadinya, ia juga mempunyai sifat-sifat perawatan yang sangat penting. Ia telah digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional Cina dan India di mana semua bahagian tumbuhan yang dianggap berguna dalam perawatan pelbagai jenis penyakit.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Bunga Raya merupakan sejenis pokok renek berkayu dan mempunyai kulit kayu berwarna kelabu cerah. Daunnya berbentuk daun ringkas, berwarna hijau muda, berbentuk "ovate" dan tepi daun bergerigi pada separuh daun menghala bahagian atas. Bunganya agak menonjol, bilangannya sekuntum yang terletak di hujung tangkai yang panjang.

Tabiat Tumbuhan:

Bunga raya merupakan tumbuhan yang ditanam dan kebanyakkannya di halaman rumah dan juga dijadikan sebagai tanaman lanskap.

Bahagian Yang Digunakan:

Daun, akar dan bunga

Amalan Tradisi Perawatan:

Daun dan tunas bunga muda secara tradisinya digunakan sebagai alat tuam untuk merawat bisul dan bengkak. Bunga raya merah dicampur dengan biji betik digunakan untuk mengawal haid dan juga digunakan untuk pengguguran. Di Malaysia, air rebusan akar digunakan untuk merawat demam dan penyakit kelamin. Manakala bunganya digunakan untuk rawatan penyakit bronkitis dan kadang-kadang digunakan sebagai bahan pewarna makanan. Rebusan akarnya juga digunakan untuk rawatan batuk, demam, sakit mata dan penyakit kelamin. Kulit kayu dari pokok bunga raya dari varieti bunga putih digunakan untuk merawat komplikasi kelahiran bayi. Daun dan bunga digunakan untuk merawat penyakit kulit dan untuk melegakan demam. Manakala rendaman daun atau tuaman daun digunakan untuk merawat sakit kepala dan bisul. Akar juga digunakan untuk merawat karbunkel (Jangkitan pada kulit dan tisu subkutaneus oleh Satyphyllocossus aureus yang akan menyebabkan radang ulser,bisul atau tumor).

KacipFatimah Nama Scientifik : Labisia pumila Benth
Nama biasa : Selusuh Fatimah
Nama tempatan : Kacip Fatimah Kacip Siti Fatimah
Famili : Myrsinaceae

Pendahuluan:

Kacip fatimah merupakan salah satu bahan paling popular dan mujarab yang digunakan dalam penyediaan herba tradisional atau 'jamu' untuk penjagaan tubuh selepas bersalin. .Kacip Fatimah secara tradisinya digunakan untuk mengekalkan sistem peranakan wanita yang sihat serta untuk membantu mengetatkan bahagian peranakan dan juga untuk meningkatkan fungsi seksual. Kacip Fatimah kaya dengan "phytoestrogen" dan "isoflavones" yang mana bahan tersebut boleh melegakan gejala menopaus. Di Malaysia, Kacip fatimah juga dikenali sebagai "Selusuh Fatimah" (secara literal ialah sebagai ubat bersalin Fatimah) dan "Kacip Fatimah" (gunting sirih Fatimah). Akar Kacip fatimah juga didapati mengandungi "benzoquinone" dan "resorcinol".

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Kacip fatimah merupakan sejenis herba renek dengan rizomnya menjalar. Daunnya yang keluar sedikit lurus dan berwarna hijau tua , manakala di tempat teduh tepi daunnya berwarna hijau muda. Tangkai daun agak pendek dan berbentuk sedikit leper. Batangnya tumbuh tegak, berwarna perang dan mempunyai bekas daun (parut) yang nampak dengan jelas. Parut tersebut mampu mengeluarkan akar dan akar boleh kelihatan menonjol keluar dari parut lama.

Tabiat Tumbuhan:

Sejenis tumbuhan yang hidup subur di tempat teduh. Pancaran cahaya matahari di kawasan terbuka atau separa teduh boleh mendatangkan bahaya semasa penubuhan dan pertumbuhannya. Ia adalah sejenis herba yang agak lambat membesar. Pada kebiasannya, ia boleh dibiakkan secara biji benih di tapak semaian di bawah kelembapan yang tinggi dan mempunyai teduh.

Bahagian Yang Digunakan:

Keseluruhan pokok

Amalan Tradisi Perawatan:

Bahan tampalan yang disediakan dengan mencampur daun Kacip fatimah dan minyak kelapa disapukan pada perut bayi untuk melegakan sakit perut. Kacip Fatimah juga telah digunakan secara tradisi oleh kebanyakkan wanita Melayu semasa melahirkan anak dan ia boleh membantu memudahkan proses kelahiran dan juga dijadikan sebagai ubat selepas bersalin. Ia juga membantu saluran kelahiran, dan mampu memulih semula kekuatan tubuh, mengawal kitaran haid dan mengelakkan sakit serta mengurangkan gejala menopaus. Secara tradisinya , tumbuhan ini direbus dan perahan air diambil sebagai minuman. Kegunaan tradisi lainnya adalah untuk merawat disentri, penyakit sendi dan gonnorhoea. Tumbuhan ini juga boleh membantu menegangkan otot abdomen. Kajian saintifik mendapati bahawa ciri-ciri perubatan dan aktiviti biologinya adalah disebabkan oleh kehadiran "phyto estrogen" (estrogen tumbuhan) secara semula jadi dalam tumbuhan ini.

Keremak Nama Scientifik : Eclipta alba hassk
Nama biasa : False daisy
Nama tempatan : Keremak
Famili : Compositae

Pendahuluan:

Keremak biasanya dimakan mentah sebagai salad atau 'ulam'. Menurut sistem perubatan Ayurveda, tumbuhan ini mempunyai banyak ciri-ciri perubatannya yang 'tersembunyi' dan amat mujarab dalam membantu kesihatan jantung dan sistem peredaran darah. Ia juga merupakan herba penting yang digunakan untuk menyuburkan buah pinggang dan hati.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Keremak merupakan sejenis herba menjalar dan bercabang yang boleh tumbuh dengan ketinggian kira-kira 15-20 cm. Daunnya ringkas, hijau, glabrus dan susunan daun dalam pasangan yang bertentangan. Daun bujur berbentuk pisau pembedah dan bergerigi cetek yang berwarna kemerahan. Mempunyai bunga yang terletak pada bahagian atas dan panjangnya kira-kira 6-8 mm

Tabiat Tumbuhan:

Keremak boleh dilihat tumbuh liar di kawasan tanah lembap, di samping kawasan tepi sungai, sawah padi , di kawasan ladang-ladang tebu dan di tepi-tepi jalan.

Bahagian Yang Digunakan:

Daun , keseluruhan pokok

Amalan Tradisi Perawatan:

Tumbuhan ini digunakan untuk merawat hepatitis, demam kuning, artritis, penyakit kulit dan merangsang pertumbuhan rambut. Di Malaysia, air rebusan akar digunakan terus atau dicampur dengan biji jintan putih dan sering diminum oleh wanita Melayu selepas bersalin. Ia juga digunakan sebagai tonik rambut, boleh menyebabkan muntah, obat pencuci perut, rawatan sembelit dan gastrik. Daun yang ditumbuk biasanya digunakan untuk merawat penyakit kulit, kusta dan untut. Daun yang direbus dan disapu pada gusi untuk mengurangkan sakit gigi.

jerangau Nama Scientifik : Acorus calamus L.
Nama biasa : Sweet flag, Calamus root
Nama tempatan : Jerangau
Famili : Araceae

Pendahuluan:

Jerangau mempunyai sejarah yang sangat panjang mengenai penggunaan ubat-ubatan dan ianya digunakan dengan meluas dalam perubatan herba modern sebagai perangsang aromatik dan tonik ringan. Ia telah digunakan di Asia sekurang-kurangnya 2 abad yang lalu oleh orang-orang Cina dan India. Di Malaysia, ia ditanam di kawasan belakang rumah terutama orang Melayu dan India, di mana biasanya digunakan pada bahagian luaran sebagai bahan tuam atau losyen.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Akar jerangau adalah herba saka yang boleh membesar dengan mencapai ketinggian sehingga 1.0 m. Ia mempunyai daun seperti rumput , panjang, tirus, menjulur naik dari rizom. Daun bersusun secara teratur, ringkas, glabrus, keseluruhan daun berwarna hijau dengan daun berbentuk bilah memanjang. Urat daun selari dan membentuk sisipan. Daun beraroma. Rizom berbau sangat wangi yang mengandungi minyak beraroma. Keratan rizomnya berwarna putih dan sangat berserabut.

Tabiat Tumbuhan:

Tumbuhan ini boleh didapati di kawasan-kawasan berair seperti sungai dan terdapat juga di sekeliling kolam dan tasik.

Bahagian Yang Digunakan:

Rizom

Amalan Tradisi Perawatan:

Jerangau dilaporkan telah digunakan sebagai anti-bakteria, antiseptik, antikonvulsi (anti-kejang), dan boleh menyebabkan muntah . Rizom digunakan sebagai ubat untuk angin, kembung perut, pencernaan yg terganggu dan demam yang tidak berpanjangan, reumatis, penyakit saraf, gangguan usus, cirit-birit di kalangan kanak-kanak, jangkitan pada bronkial dan penyakit asma. Jerangau digunakan untuk penyediaan kordial minuman keras, bahan aroma , perisa bir dan membuat minyak wangi.

kapashantu Nama Scientifik : Abroma augusta Linn.
Nama biasa : Devill's cotton
Nama tempatan : Kapas Hantu
Famili : Sterculiaceae

Pendahuluan:

Kapas hantu merupakan sejenis tumbuhan malar hijau. Ia berasal dari Asia hingga ke Australia. Pokok ini banyak terdapat di beberapa tempat di India. Ia boleh didapati di Pakistan dan juga beberapa Negara di Asia.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Tumbuhan ini boleh mencapai ketinggian sehingga 2.5m dan kurang merebak. Lebar daunnya boleh mencapai 20cm dan mempunyai 3-5 cuping dengan bentuk daun palmat serta mempunyai urat daun yang jelas. Daun dan batangnya mempunyai bulu yang pendek dan keras yang menyebabkan kurang selesa apabila terpegang. Bahagian kulitnya mempunyai gentian seperti gentian jut. Bunganya bersaiz lebih kurang 5 cm diameter dan kelopak bunganya berbentuk lanseolat serta mempunyai 5 kelopak bunga dan berwarna ungu hingga merah kehitaman. Kelopak bunganya berlekuk dan memanjang di bahagian bawah dan berbentuk seperti sudu yang besar. Biji benihnya banyak dan musim berbunga biasanya dalam bulan Julai hingga Ogos setiap tahun.

Tabiat Tumbuhan:

Merupakan sejenis tumbuhan separuh berkayu dan mempunyai bulu yang kasar dan tidak selesa apabila terpegang. Boleh didapati di kawasan belukar dan boleh dijumpai di kebanyakkan kawasan di Semenanjung Malaysia.

Bahagian Yang Digunakan:

Akar dan daun

Amalan Tradisi Perawatan:

Dalam perawatan Ayurveda, jus daun segar adalah digunakan untuk rawatan penyakit perempuan seperti penyakit di bahagian saluran kencing dan haid. Ia boleh memperbetulkan pusingan haid serta digunakan sebagai tonik untuk perawatan bahagian kencing. Manakala bahagian akar yang segar dan kering digunakan untuk merawat sesak nafas dan juga merawat neuralgia (sakit saraf terutama di bahagian kepala dan muka), merawat kencing yang tidak lawas, bronkitis (bengkak pada tiub udara di bahagian kerongkong). Bahagian daun digunakan bagi perawatan kencing manis, reumatik dan sinus. Di Bali, Indonesia bahagian akarnya digunakan sebagai rawatan kudis buta dengan menampal bahagian tersebut dengan akar yang dilumatkan.

Akar Saga Nama Scientifik : Abrus precatorius
Nama biasa : Rosary Pea, Jequerity, Crab's Eye, Precatory Bean, Gunja,Ratti
Nama tempatan : Akar saga
Famili : Leguminosae

Pendahuluan:

Merupakan tumbuhan yang boleh tumbuh dengan agak lama dan kebiasaannya melilit pada pokok serta tergolong dalam tumbuhan renek. Tumbuhan dari keluarga kekacang, susunan daunnya secara berpelepah dan mempunyai hujung anak daun. Ia juga dikenali sebagai Gunja dalam bahasa sanskrit atau dalam lain-lain bahasa India. Dikenali sebagai Ratti dalam bahasa Hindi. Tumbuhan ini mudah dikenali disebabkan oleh rupa bentuk bijinya dan biasanya digunakan sebagai manik. Bijinya sangat beracun disebabkan oleh kehadiran "abrin". Tumbuhan ini banyak ditemui di Indonesia dan mudah tersebar khususnya di kawasan yang terdapat pokok ini dan kadang-kadang dianggap sebagai rumpai . Kulit bijinya berpintal apabila terbuka dan bijinya terdedah. Bijinya agak leper dan pendek berukuran 1.5 - 2.0 cm panjang dan mempunyai warna yang menarik.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Merupakan pepanjat berkayu dengan bentuk dahan yang nipis. Bunganya berbentuk seperti kacang pea, warna putih hingga kemerahan dan bersaiz kecil.

Tabiat Tumbuhan:

Merupakan tumbuhan memanjat dan boleh hidup dalam tempoh yang lama.

Bahagian Yang Digunakan:

Biji , daun dan akar

Amalan Tradisi Perawatan:

Bijinya yang diproses digunakan dalam rawatan aprodisiak, anti kuman, diuretik, ubat kahak, pencuci perut, penyejuk badan dan berkeupayaan untuk menenangkan fikiran. Bahagian akar digunakan untuk merawat gonorea (penyakit kelamin), penyakit kuning. Minyak ekstrak dari biji benih digunakan dalam rawatan rambut. Bijinya juga digunakan untuk mencegah kahamilan, rawatan kencing manis dan radang buah pinggang yang kronik (neftiris) .

 

hempedubumi Nama Scientifik : Andrographis paniculata
Nama biasa : Raja Pahit
Nama tempatan : Hempedu Bumi
Famili : Acanthaceae

Pendahuluan:

Herba ini merupakan sejenis tumbuhan yang mempunyai jangkahayat yang pendek iaitu lebih kurang satu tahun. Ia berasal dari Asia Tenggara, China dan India. Disebabkan oleh keupayaan pembiakan yang tinggi ia dikatakan sebagai tumbuhan musuh di beberapa tempat. Tumbuhan ini digunakan sejak berabad yang lalu sebagai perawatan khususnya di China, India dan Jawa. Walau bagaimanapun sejak akhir-akhir ini tumbuhan ini mempunyai keupayaan sebagai tumbuhan herba dan telah memasuki pasaran farmasi. Kini tumbuhan ini menjadi herba perawatan yang boleh mengubati sakit-sakit yang ringan dan telahpun terbukti ke atas banyak gejala penyakit yang berkaitan dengan masalah kesan daripada antibodi yang telah dikeluarkan untuk melawan bahan yang sedia ada dalam badan (autoimmune)

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Merupakan sejenis tumbuhan yang tumbuh tegak dengan jangka hayat yang pendek iaitu lebih kurang satu tahun dan boleh mencapai ketinggian sehingga 60-70 cm. Mempunyai batang yang berbentuk segi empat dan mempunyai dahan yang yang banyak. Daunnya berwarna hijau, susunan daun ringkas, licin. Susunan daunnya adalah secara 'decussate' iaitu daun yang berpasangan secara bertentangan.

Tabiat Tumbuhan:

Hempedu bumi umumnya dijumpai secara liar di kawasan tanah terbuka dan kawasan yang ditumbuhi rumput. Di Malaysia hempedu bumi biasanya ditanam di kawasan belakang rumah atau di dalam pasu untuk tujuan herba perubatan. Tumbuhan ini merupakan tumbuhan yang lasak dan boleh hidup dengan baik dalam berbagai jenis tanah.

Bahagian Yang Digunakan:

Daun dan keseluruhan bahagian pokok.

Amalan Tradisi Perawatan:

Tumbuhan ini merupakan tumbuhan yang boleh memberikan analgesik iaitu dapat mengurangkan rasa kesakitan, boleh dijadikan sebagai julap (ubat pencuci perut), ubat pengeluar kahak, penghadaman dan juga digunakan sebagai rawatan penyakit kencing manis, demam, jangkitan cacing, bronkitis yang kronik ( bengkak pada tiub udara di kerongkong), kusta,senak atau kembung perut, sakit perut, disentri (cirit birit) dan penyakit kulit (terbakar, luka dan ulser). Tumbuhan ini juga boleh merawat gigitan ular dan juga kitaran haid yang tidak teratur.

 

 

aloevera Nama Scientifik : Aloe vera (L.) Burm.f
Nama biasa : Aloe vera
Nama tempatan : Lidah Buaya
Famili : Liliaceane

Pendahuluan:

Disebabkan oleh kandungan penyembuhan yang terdapat dalam tumbuhan ini, Aloe vera juga dikenali sebagai 'bunga teratai padang pasir', 'tumbuhan yang sentiasa hidup', 'tumbuhan rawatan awal' dan juga dikenali sebagai 'tumbuhan ajaib'. Tumbuahn ini juga salah satu tumbuhan yang utama dalam sejarah penggunaan dadah kasar atau dadah mentah dan masih digunakan secara meluas dalam ubatan modern masa kini.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Aloe vera adalah merupakan tumbuhan yang mempunyai banyak kandungan air dan juga tumbuhan yang boleh hidup lama dan boleh mencapai ketinggian sehingga 45-50 cm . Daunnya berwarna hijau muda dengan susunan roset dan berisi pejal . Daunnya berbentuk lansolat, glabrus dan mempunyai tepi daun yang berduri, pangkal daunnya bersusun dalam bentuk sarung dengan tepi daunnya berduri. Urat daun tidak kelihatan dan daunnya berbentuk memanjang dan berfungsi sebagai batang. Tangkai bunganya boleh mencapai ketinggian sehingga 1 m panjang dengan penghujung tangkainya membentuk bunga yang berwarna merah kekuningan secara berjambak.

Tabiat Tumbuhan:

Tumbuhan ini berasal dari Tropika Afrika dan kawasan Mediteranean di mana ia dijumpai tumbuh secara liar di kawasan yang kering, mempunyai banyak cahaya dan di kawasan berpasir. di Malaysia, tumbuhan ini biasanya ditanam di kawasan halaman rumah.

Bahagian Yang Digunakan:

Daun

Amalan Tradisi Perawatan:

Aloe vera digunakan secara tradisi dalam perawatan penyakit sembelit, endema, ekszema, pertusis, terkena bahan panas/ api, kesakitan atau kepedihan, kebengkakan, luka, dyspepsia (ketidakhadaman makanan), batuk, asma, penyakit saraf, leukemia (sejenis penyakit yang disebabkan oleh berlebihnya sel putih dalam darah), kanser paru-paru, buasir dan sakit perut. Ianya juga digunakan sebagai antibiotik, antiseptik (bahan pembasmi kuman), ejen katartis (melegakan emosi) dan purgatif (ubat pencuci perut yang kuat).

 

 

 

kayumanis Nama Scientifik : Cinnamomum verum
Nama biasa : Ceylon cinnamon
Nama tempatan : Kayu Manis
Famili : Lauraceae

Pendahuluan:

Kayu manis berasal dari Sri Lanka. Ia merupakan rempah ratus yang tertua dan terdapat di dalam Kitab Bible.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Pokok ini boleh membesar dan mencapai ketinggian sehingga 6 m dan kadang-kadang boleh mencapai ketinggian sehingga 12 m. Batangnya tegap dengan ukuran diameter antara 30-60 cm. Pokok yang matang mempunyai kulit yang tebal berwarna coklat kelabu. Pokok ini mempunyai dahan yang rendah dan banyak. Hujung daunnya tirus dengan bahagian pangkalnya adalah bulat dan kadang-kadang sedikit tirus.

Tabiat Tumbuhan:

Pokok ini biasanya ditanam di Malaysia. Pokok ini boleh dijumpai ditanam secara separuh liar di Sri Lanka di kawasan tanah pamah rendah yang lembab sehingga ketinggian 2,000 kaki. Kayu manis boleh dibiakkan secara bii benih atau keratan.

Bahagian Yang Digunakan:

Kulit dan daun

Amalan Tradisi Perawatan:

Tumbuhan ini mempunyai bahan antifungal dan antibakteria. Minyak dari tumbuhan ini mudah meruap dan ianya digunakan untuk mengawal jangkitan kuman dan mengawal tekanan darah rendah manakala bahagian kulitnya digunakan untuk rawatan dispepsia (ketidakhadaman makanan), kembung perut, disentri (cirit birit), bronkitis (bengkak pada tiub udara di kerongkong) dan gangren (pereputan tisu) pada paru-paru. Kulit pokok yang diketuk dan dimasak boleh digunakan pada bahagian luar badan dengan cara menuam bagi rawatan bisul yang bernanah. Minyaknya juga adalah mujarab untuk merawat penyakit reumatik yang teruk dan kronik. Kayu manis juga boleh merawat kekejangan urat perut , sakit gigi dan hilang daya gerak pada bahagian lidah serta boleh digunakan untuk rawatan kanser. Di China , kulit pokok dan ranting yang dikeringkan boleh dijadikan rawatan bagi merawat kanser, tekanan darah tinggi dan masalah sakit perut dengan mencampurkan dengan bahan ubatan lain.

 

 

 

kunyit Nama Scientifik : Curcuma domestica Loir.
Nama biasa : Tumeric
Nama tempatan : Kunyit
Famili : Zingiberaceae

Pendahuluan:

'Tumeric' merupakan sejenis tumbuhan yang dijadikan bahan rempah yang memberikan warna kuning cerah khususnya masakan kari bagi orang Melayu dan India. 'Tumeric' juga digunakan sebagai bahan pewarna dan juga sebagai ubatan dan perasa sejak 600 SM. Maklumat tersebut telahpun dicatatkan dalam sejarah herba Assyria sekitar 2500 tahun yang lalu. Tumbuhan ini dianggapkan sebagai salah satu herba yang sangat bernilai kepada manusia. Dalam sejarah perubatan rakyat India, 'tumeric' dianggapkan sebagai bahan antibiotik semulajadi yang terbaik sementara pada masa yang sama ia juga digunakan untuk memudahkan proses penghadaman dan memperbaiki perjalanan usus. Tumbuhan ini berasal dari Asia Tenggara dan masa kini tumbuhan ini menjadi tanaman perdagangan di China, India, Indochina dan Indonesia.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

'Tumeric' merupakan sejenis herba yang mempunyai jangkahayat yang panjang dan boleh tumbuh sehingga mencapai 1m tinggi. Daunnya berjambak dengan susunan daun secara alternat, berwarna hijau muda. Daunnya licin, lanseolat dengan tepi daun yang licin. Rizomnya beraroma berwarna keperangan dan warna kekuningan di bahagian isi dalam. Pelepahnya berbentuk eliptik, lembut dan berwarna keputihan serta tumbuh secara tegak dan melengkung ke bawah.

Tabiat Tumbuhan:

Di Malaysia, kunyit biasanya ditanam di belakang rumah. Kunyit membiak secara aseksual iaitu melalui keratan rizom. Kunyit boleh hidup dengan subur di kawasan yang mempunyai sedikit teduhan dan tumbuh dengan subur di kawasan terbuka dan mendapat cahaya matahari yang banyak.

Bahagian Yang Digunakan:

Rizom

Amalan Tradisi Perawatan:

Tumbuhan ini digunakan untuk rawatan antiradang, antimalaria, pencegahan bakteria, pencegahan kulat, merangsang tubuh dan juga untuk rawatan terseliuh, cacing pita, kudis buta, 'neuralgia' (sakit saraf terutamanya di bahagian muka dan kepala) serta sakit sendi (reumatik). Ia juga digunakan untuk mencegah serangga. Kunyit kering biasanya digunakan sebagai perasa makanan dan untuk menyediakan bahan pewarna kuning. Di Malaysia, kunyit digunakan sebagai kosmetik semasa upacara tradisi. Ia juga sebagai bahan utama dalam masakan terutamanya masakan kari. Kunyit yang disediakan bersama dengan minyak digunakan untuk menghaluskan kulit yang kasar dan sekiranya dicampurkan dengan air perahan limau digunakan untuk rawatan bengkak dan terseliuh serta luka. Air rebusan kunyit digunakan untuk menyejukkan mata. Kunyit yang dipanaskan bersama dengan susu dan gula boleh merawat kesejukan badan. Manakala kunyit yang dicampur dengan minyak bijan dan madu dijadikan sebagai tonik. Rizom kunyit yang dilumatkan dan dijadikan sebagai demahan boleh merawat dan mempercepatkan perjalanan air susu dada wanita.

 

 

 

lengkuas Nama Scientifik : Alphinia galanga (L.) Willd.
Nama biasa : Lengkuas besar
Nama tempatan : Lengkuas
Famili : Zingiberaceae

Pendahuluan:

Tanaman ini ditanam secara meluas di kawasan Asia tropika. Tumbuhan ini juga digunakan sebagai rempah atau perasa serta juga sebagai ubat tradisi. Kepentingan perubatan tumbuhan ini telahpun dicacatkan dan didokumentasi di India sejak 600 SM. Justeru itu ramai yang mempercayai bahawa lengkuas berasal di India. Selain daripada itu, tumbuhan ini juga digunakan dalam perubatan Ayurvedik sedangkan di Malaysia digunakan sebagai ubatan sejak berabad yang lalu. Rizom lengkuas juga merupakan bahan minyak yang utama iaitu sineol.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Lengkuas merupakan sejenis tumbuhan perennial iaitu jangkahayat yang panjang, tumbuh secara menegak dan boleh mencapai ketinggian sehingga 2-3 m. Daunnya ringkas, licin dan berwarna hijau. Daunnya berbentuk memanjang dan runcing di hujung daun. Manakala tepi daunnya adalah rata. Rizomnya tumbuh secara menjalar, tebal , beraroma dan tegap.

Tabiat Tumbuhan:

Tumbuhan ini boleh ditanam dengan senang dan boleh tumbuh dengan menanam keratan rizomnya.

Bahagian Yang Digunakan:

Rizom

Amalan Tradisi Perawatan:

Rizom lengkuas digunakan untuk meransang aktiviti pencernaan dalam perut (stomachic). Balutan rizomnya yang ketuk dapat digunakan untuk merawat reumatik, demam, lemah tenaga batin, bronkitis (bengkak pada tiub udara di kerongkong), dyspepsia (ketidakhadaman makanan) dan diabetes (kencing manis). Jus daripada rizomnya yang dicampurkan dengan air kencing manusia dapat mengurangkan bisa gigitan ular tedung. Rizom lengkuas yang diketuk dan dicampur dengan sedikit bawang putih dan cuka dapat digunakan sebagai rawatan herpes (penyakit yang disebabkan oleh sejenis virus).

 

 

 

pegaga Nama Scientifik : Centella asiatica (L.) Urban.
Nama biasa : Asiatic Pennywort, Gotu Kola
Nama tempatan : Pegaga
Famili : Umbelliferae

Pendahuluan:

Tumbuhan ini telahpun diketahui kegunaannya sejak dahulu kala lagi terutama dalam perawatan Ayurvedik di India serta rawatan bagi masyarakat Cina dan Madagaskar. Tumbuhan ini disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai salah satu tumbuhan yang sangat penting untuk dipelihara dan ditanam. Di Malaysia walaupun ia digunakan sebagai herba penyembuh tetapi ia lebih popular dijadikan sebagai ulam makanan berbanding dengan herba ubatan.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Pegaga merupakan tumbuhan bersaiz kecil, jangkahayat yang pendek serta menjalar. Mempunyai tangkai daun yang panjang, berwarna hijau. Bentuk daunnya bulat dan licin serta berbentuk palmat. Terdapat 3 subspesies pegaga pada masa kini iaitu Pegaga salad, Pegaga kerinting dan Pegaga biasa atau Pegaga ubi. Pegaga yang mempunyai banyak kelebihan adalah Pegaga ubi.

Tabiat Tumbuhan:

Pegaga tumbuh secara liar di dalam semua keadaan tanah. Sebahagiannya memerlukan sedikit teduhan dan ada juga spesies yang memerlukan cahaya sepenuhnya. Setengah pegaga boleh tumbuh dalam keadaan tanah yang agak keras seperti atas batu. Dalam keadaan liar, ia boleh dijumpai di kawasan yang lembab seperti di sekeliling kolam, di sepanjang tasik, kolam dan juga boleh didapati di kawasan sawah padi.

Bahagian Yang Digunakan:

Keseluruhan pokok, Bahagian atas tanah, Akar

Amalan Tradisi Perawatan:

Pegaga telah digunakan untuk rawatan bronkitis (bengkak pada tiub udara di kerongkong), asma, rembesan gastric, disentri (cirit birit), masalah buah pinggang dan dropsi (penyakit disebabkan oleh pengumpulan air dalam badan). Herba ini mempunyai kesan yang cepat untuk menurunkan tekanan darah dan juga dijadikan sebagai ubat penawar awet muda . Di Malaysia pegaga dijadikan sebagai ulam makanan di kalangan masyarakat Melayu dan dijadikan sebagai air minuman penyejuk badan bagi masayarakat Cina serta dijadikan sebagai tonik di kalangan masyarakat India. Masyarakat Melayu menggunakan air rebusan daun pegaga untuk tujuan rawatan kusta dan reumatik (sakit sendi). Daun pegaga yang dipanas sehingga garing atau jus daun pegaga yang dicampurkan dengan makanan digunakan untuk mengurangkan cirit birit kanak-kanak. Setengah-setengah orang menggunakan daun pegaga sebagai bahan demah atau tuam untuk merawat sakit akibat luka atau daun pegaga yang dilumatkan dan ditampal pada badan untuk rawatan demam. Jus daripada akar pegaga yang diminum dapat mencuci ulser. Setengah-setengah orang mempercayai bahawa daun pegaga adalah baik bagi ibu selepas mengandungi bagi tujuan awet muda.

 

 

pegaga Nama Scientifik : Cymbopogon citratus (DC.) Stapf.
Nama biasa : Lemongrass
Nama tempatan : Serai makan
Famili : Graminae

Pendahuluan:

Serai makan tergolong ke dalam rumput di kawasan tropika yang berbau dan ia hampir sama dengan serai wangi di Cina. Dikatakan bahawa pokok serai makan berasal dari India yang ditanam bagi tujuan penghasilan minyak sejak tahun 1888. Bau minyak serai makan seakan-akan bau limau atau sitrus yang digunakan sebagai bahan pewangi dalam pembuatan sabun, bahan pencuci dan bahan-bahan penghasilan lain. Serai makan merupakan pembekal utama bahan 'citral' yang digunakan sebagai bahan mentah dalam penghasilan pewangi, gula-gula dan minuman.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Serai makan merupakan sejenis rumput yang mempunyai jangkahayat yang panjang dan mengeluarkan bau. Tumbuh dengan rapat dan daunnya keluar dari rizom. Serai makan boleh tumbuh mencapai sehingga 1 m tinggi. Daunnya berbentuk sesil iaitu tidak mempunyai tangkai daun, ringkas, berwarna hijau, lurus, bersusun secara teratur dan daunnya boleh mencapai ukuran 40cm x 1cm. Daunnya licin, urat daun selari, tirus di bahagian hujung dan pangkal daun. Daunnya berpelepah, memanjang dan berfungsi sebagai batang. Pokok serai makan juga mengeluar bunga pada peringkat matang. Rizomnya kuat dan tegap, menjalar, tahan lasak dan berwarna kuning keputihan apabila dipotong.

Tabiat Tumbuhan:

Serai tumbuh secara liar di kebanyakkan negara di Asia, Amerika dan Afrika. Di Malaysia, serai makan biasanya ditanam di kawasan belakang rumah. Serai makan merupakan pokok yang tahan lasak dan boleh hidup dengan subur dalam pelbagai jenis tanah. Walau bagaimanapun sekiranya ditanam bagi tujuan penghasilan minyak, kawasan yang paling sesuai ialah di kawasan yang bersaliran baik dan subur.

Bahagian Yang Digunakan:

Daun, Batang, Akar

Amalan Tradisi Perawatan:

Minyak pokok serai makan adalah herba yang bernilai tinggi untuk rawatan senak perut, perut memulas, gastrik dan muntah. Ia bertindak sebagai minyak angin untuk rawatan sakit sendi yang kronik, terseliuh dan rawatan sakit-sakit yang ringan. Di Malaysia, serai makan digunakan untuk merawat diuretik iaitu melaawas kencing, tonik dan meransang pengeluaran peluh, merawat buah pinggang dengan meminum air serai makan sebagai tea. Batangnya digunakan untuk menghasilkan bau wangi kepada makanan. Tampalan daunnya yang dilumatkan boleh menghilang sakit gigi dan sakit sendi (reumatik). Ekstrak serai makan boleh menghalau nyamok. Air rebusan daun dan akar serai makan boleh mencuci buah pinggang dan sakit perut. Manakala ekstrak akarnya digunakan sebagai pewangi shampoo dan minyak wangi.

 

 

 

pegaga Nama Scientifik : Cymbopogon nardus (L.) rendle.
Nama biasa : Citronella
Nama tempatan : Serai wangi
Famili : Graminae

Pendahuluan:

Serai wangi merupakan sejenis rumput yang berbau wangi dan mempunyai persamaan dengan serai makan. Serai wangi lebih kuat bau berbanding dengan serai makan.Serai wangi digunakan pada bahagian luar tubuh manakala serai makan boleh dimakan. Minyak yang dihasilkan dari serai wangi digunakan untuk membuat losyen (ubat disapu pada kulit), sabun dan juga untuk menghalau nyamok. Dikatakan bahawa serai wangi berasal dari India dan Sri Lanka dan baru diperkenalkan ke Malaysia.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Serai wangi tergolong dalam keluarga rumput yang berbau dan jangkahayatnya adalah panjang. Ia boleh tumbuh sehingga 1m hingga 1.5m. Daunnya berbentuk sesil iaitu tidak mempunyai tangkai daun, ringkas, hijau, lurus dan berlapis dan purata saiznya ialah 60cm x 2.5cm. Daunnya licin, urat daun selari dengan bahagian pangkal dan hujung daunnya tirus. Selaput daunnya adalah lurus dan bertindak sebagai batang. Rizomnya tegak dan kuat, menjalar, tahan lasak dan berwarna kekuningan apabila dipotong.

Tabiat Tumbuhan:

Serai wangi hidup secara liar di kebanyakkan negara seperti di Asia, Amerika dan Afrika. Di Malaysia kebiasaannya ditanam di bahagian belakang rumah. Serai wangi merupakan sejenis tumbuhan yang lasak dan boleh menyesuai dalam pelbagai jenis tanah dan iklim. Namun demikian ia tumbuh dengan baik pada keadaan tanah yang bersaliran baik dan subur. Serai wangi tidak boleh hidup dalam keadaan tanah yang mempunyai air bertakung dan di bawah teduhan. Ia boleh hidup dengan subur di kawasan lapang dan mempunyai cahaya yang cukup.

Bahagian Yang Digunakan:

Daun

Amalan Tradisi Perawatan:

Minyak yang dihasilkan dari serai wangi digunakan untuk merawat "rubefacient" iaitu warna merah di bahagian kulit luar muka, Akarnya digunakan untuk merawat diuretik (kerap berlaku kencing) dan sudorifik atau diaporetik (berperanan sebagai dadah untuk merangsang pengeluaran peluh). Serai wangi juga digunakan untuk bertindak menghalau nyamuk dan juga digunakan untuk membuat minyak wangi dan pembuatan sabun. Di Malaysia, minyak ekstraknya yang cepat meruap dan menggunakan sedikit dos boleh merawat sakit perut dan penghadaman. Air rebusan daun serai wangi yang dipanas bersama dengan daun gendarusa dicampur dengan lada hitam digunakan untuk memandikan kanak-kanak selepas bersalin.

 

 

 

tutupbumi Nama Scientifik : Elephantopus scaber L.
Nama biasa : Elephant's foot/Solomon's seal
Nama tempatan : Tutup bumi / Tapak Sulaiman
Famili : Compositae

Pendahuluan:

Disebabkan oleh daunnya yang terhampar dan menutupi ruang atas lapisan tanah, orang Melayu mempercayai bahawa tumbuhan ini merupakan bekas tapak Sulaiman yang berperanan mengurung Jin yang terdapat di dalam tanah. Di sebabkan namanya sebagai tapak Sulaiman, secara tradisinya tumbuhan ini sangat mujarab untuk merawat semua penyakit. Buat masa ini, tumbuhan ini tidak ditanam di Malaysia tetapi dikutip secara liar oleh dukun bagi kegunaan rawatan mereka.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Tumbuhan ini tumbuh melata dan jangkahayat yang panjang dan boleh tumbuh sehingga 50cm. Daunnya tumbuh dengan padat pada bahagian bawah batang dan susunan daunnya secara berjambak. Tepi daunnya bergerigi, dipenuhi dengan rerambut berwarna keputihan, bentuk daun pelbagai bentuk, bujur atau bulat di bahagian hujung daun dan mengecil pada bahagian pangkal daun. Tangkai daun pendek dan berbulu.

Tabiat Tumbuhan:

Tumbuhan ini boleh dijumpai secara liar di tepi jalan raya, padang yang berumput dan di pinggir hutan. Tumbuhan ini boleh dibiak melalui biji benih. Biji benih boleh dikutip dengan cara menutup bunganya menggunakan sehelai kertas. Biji benihnya sangat kecil dan ringan . Oleh itu semasa menyemai biji benihnya perlu digaul bersama dengan tanah dan ditabur ke atas batas semaian. Peratus percambahan adalah lebih kurang 70-80%.

Bahagian Yang Digunakan:

Keseluruhan pokok, akar

Amalan Tradisi Perawatan:

Tumbuhan ini digunakan sebagai diuretik iaitu mengurangkan demam dan mengurangkan kencing tak lawas (anuria) dan mengurangkan pengeluaran mukusa (blennorrhagia). Lain -lain penggunaan adalah sebagai bahan antibiotik, mengurangkan bengkak, anti radang dan untuk melicinkan kulit. Dipercayai sesuai untuk merawat leucorrhea ( rembesan mukusa yang tidak normal keluar dari vagina), anaemia (tidak cukup darah disebabkan oleh kepucatan) dan digunakan semasa bersalin. Di Malaysia, herba tutup bumi digunakan untuk melawas kencing, mengurangkan rasa sakit dan digunakan di bahagian luar dengan membalut pada tempat sakit. Air rebusan akar atau daun yang diminum boleh dijadikan tonik untuk menghapus cacing dalam badan, merawat batuk dan penyakit kelamin. Air rebusan akar yang masih segar dicampur dengan sirih digunakan untuk menghalang muntah sementara daunnya digunakan untuk merawat penyakit yang disebabkan oleh pengumpulan air dalam badan (dipanggil busung oleh masyarakat melayu).

 

 

 

tutupbumi Nama Scientifik : Acalypha hispida
Nama biasa : Red hot cat's tail
Nama tempatan : Ekor Kucing
Famili : Euphorbiaceae

Pendahuluan:

Tumbuhan ini berasal dari Oceania dan kemudiannya merebak sehingga ke Amerika Utara termasuk Amerika Syarikat, Mexico dan Belize.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Tumbuhan ini boleh tumbuh sehingga mencapai ketinggian 1.8m - 3.7m tinggi. Merupakan tumbuhan 'dioecious' di mana tumbuhan jantan dan betina boleh dibezakan dengan mudah. Pokok betina mempunyai 'pistillate' (bahagian bunga yang mempunyai ovari bunga). Bunganya mempunyai warna yang pelbagai iaitu dari warna ungu ke warna merah cerah dan bunganya tumbuh berjuntai.

Tabiat Tumbuhan:

Tumbuhan ini hidup melata dan mudah dijumpai. Ditanam menggunakan biji benih serta boleh ditanam menggunakan keratan dahan.

Bahagian Yang Digunakan:

Akar, Bunga dan Daun

Amalan Tradisi Perawatan:

Daunnya boleh digunakan secara demahan atau menuam bagi mengubati penyakit kusta. Air rebusan daun dan bunganya digunakan untuk merawat luka dan ulser dan juga sebagai pencuci perut serta merawat penyakit kelamin. Minuman bahagian kulit batangnya yang direbus boleh merawat kahak serta mengurangkan serangan asma. Daun rasanya agak kelat dan bahagian bunganya digunakan bagi merawat cirit birit.

 
Kucing Galak Nama Scientifik : Acalypha indica
Nama biasa : Indian copperleaf, India acalypha
Nama tempatan : Kucing Galak, Cika Mas
Famili : Euphorbiaceae

Pendahuluan:

Tumbuhan ini boleh didapati di kawasan negara Afrika yang beriklim tropika dan juga boleh ditemui di Afrika Selatan. Manakala di sebelah Afrika Timur dan Barat, tumbuhan ini digunakan sebagai herba ubatan. Di bahagian Afrika Barat, daun tumbuhan ini dimasak dan daunnya dijadikan sebagai ulaman. Daunnya juga merupakan makanan kegemaran lembu di Afrika. Tumbuhan ini juga disanjung tinggi sebagai herba ubatan tradisi masyarakat Tamil Siddha dan dipercayai boleh merawat awet muda.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Tumbuhan ini tidak kekal lama, tumbuh secara menegak dan boleh mencapai ketinggian sehingga 1 m tinggi. Panjang daun adalah antara 2.5cm - 7.5cm berbentuk 'ovate' dan 'rhomboid-ovate'. Bunganya banyak dan lembut, tumbuh secara menegak dan memanjang. Bunga jantan bersaiz kecil, berkelompak di bahagian tangkai manakala bunga betina tumbuh secara bertabur.

Tabiat Tumbuhan:

Pokok ini tumbuh meliar di kawasan terbuka khususnya di kawasan yang agak kering. Di Semenanjung Malaysia, tumbuhan ini boleh didapati di kawasan penempatan perumahan.

Bahagian Yang Digunakan:

Akar dan Daun

Amalan Tradisi Perawatan:

Air rebusan keseluruhan pokok digunakan sebagai ubat pencuci perut. Ia juga amat berkesan untuk merawat buasir. Akarnya digunakan untuk membuang cacing dalam perut kanak-kanak dengan meminum di waktu pagi semasa perut masih kosong. Daunnya yang dilumatkan dengan kunyit digunakan untuk merawat jerawat di muka.

 

 

 

 

cekur Nama Scientifik : Kaempferia galanga Linn
Nama biasa : Maraba,Finger root, Chinese ginger
Nama tempatan : Cekur
Famili : Zingiberaceae

Pendahuluan:

Pokok Cekur dikatakan berasal dari China dan India. Kini ditanam agak meluas di Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain. Rhizomnya beraroma dan adalah penting di Malaysia sebagai rempah untuk perisa nasi dan juga dalam bidang perubatan oleh masyarakat dahulu. Cekur agak popular di Thailand di mana ia kerap digunakan sebagai rempah perisa dalam masakan kari dan sup.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Ia merupakan sejenis herba yang sangat kecil dan mempunyai daun yang berkembang secara mendatar di bahagian atas permukaan tanah. Daunnya tersusun rapi dan padat. Mempunyai daun ringkas, berwarna hijau dan berbentuk eliptik. Daunnya berbau sedikit aroma .Bunganya tumbuh secara berasingan. Tidak mempunyai batang dan mempunyai saiz rizom yang kecil dan berbau sedikit aroma. Akarnya bergentian dan berisi. Bunga berwarna putih dan bersaiz antara 6-12 cm. Tumbuh dari bahagian tengah daun.

Tabiat Tumbuhan:

Pokok cekur boleh ditemui tumbuh liar di taman-taman lama. Ia juga biasanya ditanam di kampung-kampung. Cekur boleh dibiak melalui bahagian rizom atau memotong dari bahagian pokok ibu yang sudah matang.

Bahagian Yang Digunakan:

Keseluruhan Pokok

Amalan Tradisi Perawatan:

Rizom pokok cekur yang dicampur dengan minyak digunakan secara luaran untuk menyembuh luka dan disapu pada bahagian yang mengalami keradangan reumatik.Rizomnya yang dihiris dan diikat sebagai tuam dapat mempercepatkan bisul mengeluarkan nanah. Rizom yang dijadikan losyen digunakan untuk menghapuskan kelemumur dari kepala. Rizom yang dijadikan sebagai tepung dicampur dengan madu lebah digunakan untuk rawatan batuk dan sakit dada.

 
kenanga Nama Scientifik : Cananga odorata (Lam.) Hook. F. & Thoms
Nama biasa : Ylang ylang, perfume tree, cananga, cadmia
Nama tempatan : Kenanga
Famili : Annonaceae

Pendahuluan:

Pokok Kenanga berasal dari Indo-Malaysia dan diperkenalkan secara meluas oleh orang-orang dari Polynesia, Micronesia dan orang-orang Eropah yang sejak awal datang ke Kepulauan Pasifik. Di sesetengah tempat ia telah tumbuh secara semulajadi contohnya di Samoa.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Kenanga adalah sejenis pokok malar hijau yang cepat membesar dan boleh mencapai ketinggian sehingga 2-5 m setahun ketika pokok berusia muda. Purata ketinggian pokok kenanga adalah lebihkurang 12 m dan boleh mencapai ketinggian maksimum sehingga 25-30 m. Dalam pendekatan senitaman, ia boleh dipangkas pada ketinggian 2-3 m. Pokok kenanga mempunyai batang yang sedikit melengkung. Kulinya licin dan dan berwarna kelabu keputihan. Daunnya berwarna hijau gelap, dengan 20 cm panjang, susunan daun berselang , ringkas, berbentuk bujur dan sedikit berbulu serta mempunyai tulang daun yang jelas manakala hujung daun menjulur ke bawah. Bunga tergantung dari dahan yang memanjang dan mempunyai enam kelopak bunga berwarna kuning kehijauan. Bunganya boleh dijadikan minyak pati yang sangat harum. Musim berbunga berlaku sepanjang tahun tetapi berbunga dengan lebat pada musim panas dan lembab.

Tabiat Tumbuhan:

Pokok kenanga boleh tumbuh dalam pelbagai jenis tanah iaitu dari tanah berpasir dan tanah liat. Ia hidup subur di kawasan tanah gunung berapi atau tanah berpasir yang subur dan boleh hidup dalam kawasan air yang bertakung untuk tempoh yang singkat. Pokok kenanga hidup subur di kawasan tanah pamah lembap tropika, walaupun ia boleh ditanam di kawasan tanah tinggi berhampiran garisan khatulistiwa.

Bahagian Yang Digunakan:

Kulit dan daun

Amalan Tradisi Perawatan:

Kulit kayu digunakan oleh masyarakat Tonga dan Samoa untuk merawat penyakit perut dan kadang-kadang dijadikan sebagai ubat julap. Manakala di Jawa, bunga yang kering digunakan untuk menahan penyakit malaria dan bunga yang segar, ditumbuk dan digunakan secara menampal bagi merawat asma. Saringan bunganya dikatakan mempunyai nilai perubatan oleh pakar herba dan aromaterapis. Aromaterapis mendakwa bahawa minyaknya berguna untuk merawat kemurungan, masalah pernafasan, tekanan darah tinggi, kebimbangan dan juga digunakan sebagai aprodisiak, dll.

 

jerangau Nama Scientifik : Piper sarmentosum Roxb.
Nama biasa : -
Nama tempatan : Kaduk
Famili : Piperaceae

Pendahuluan:

Piper sarmentosum merupakan sejenis tumbuhan dalam famili Piperaceae yang digunakan dalam pelbagai masakan di Asia Tenggara. Daunnya agak sama dan sedikit keliru berbanding dengan daun sirih, tetapi tidak mempunyai rasa daun sirih dan umumnya bersaiz lebih kecil.

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Sejenis herba yang menjalar dan boleh mencapai sehingga 10 m panjang. Tumbuhan ini mempunyai rasa yang kurang pedas. Daunnya ringkas, berselang dan berbentuk seperti hati (7-14 cm 6-13 cm). Permukaan daun muda seperti berlilin. Bunganya kecil dan berwarna putih. Buahnya kecil , hitam , kering, dan bahagian hujungnya agak bulat.

Tabiat Tumbuhan:

Pokok ini berasal dari kawasan Asia Tenggara , Timur Laut India , Selatan China , Kepulauan Andaman. India , Laos , Kemboja, Vietnam, Malaysia , Filipina dan Indonesia.

Bahagian Yang Digunakan:

Daun

Amalan Tradisi Perawatan:

Daun kaduk digunakan dalam ubat-ubatan tradisional di Asia . Analisis kimia menunjukkan bahawa daunnya mengandungi naringenin antioksidan. Amides dari buahnya telah terbukti mempunyai anti- batuk kering dan aktiviti anti- plasmodial . Tumbuhan ini juga berfungsi untuk membantu penghadaman dan merawat demam . Ia juga berfungsi sebagai pembuang kahak (ekspektoran) , buahnya membantu membantu dalam menghalang lendir dan bahan lain dalam saluran pernafasan. Akarnya mempunyai pelbagai kegunaan iaitu untuk rawatan sakit gigi, batuk, asma dan radang selaput dada serta dermatitis kulat pada kaki.

 

jerangau Nama Scientifik : Melastoma malabathricum L
Nama biasa : Singapore rhododendron
Nama tempatan : Senduduk
Famili : Melastomatacea

Pendahuluan:

Pokok daripada famili melastomataceae yang berasal dari kawasan khatulistiwa dan kawasan-kawasan subtropik di mana mengandungi lebih dari 4,000 spesies di dunia. Di Asia Tenggara sahaja, genus Melastoma mengandungi 22 spesies manakala di Malaysia mengandungi sekurang-kurangnya 12 spesies, yang kebanyakkannya digunakan oleh kaum orang asli sebagai perubatan tradisional.Senduduk merupakan pokok belukar kecil lazimnya didapati di kawasan tanah lapang, kawasan terbiar dan juga di tepi jalan .

Ciri - Ciri Tumbuhan:

Pokok Senduduk merupakan tumbuhan renek kecil dan bercabang . Boleh tumbuh sehingga 3m tinggi. Daunnya berbentuk ringkas, lanseolat dan panjangnya boleh mencapai sehingga 7 cm. Daunnya hijau, tekstur kasar, ditutupi dengan bulu-bulu halus. Bunganya besar dan boleh mencapai 5-7 cm lebar.

Tabiat Tumbuhan:

Tumbuhan ini boleh dibiak dengan mudah melalui biji benih. Selepas 2 minggu , biji benih di tapak semaian akan cambah. Pokok ini boleh dipindahkan ke lapangan selepas 6 minggu. Pokok ini dapat menyesuaikan dalam semua keadaan tanah dan memerlukan cahaya matahari. Jarak tanaman yang sesuai ialah 2mx2m selain. Penuaian dapat dilakukan dalam tempoh 6 bulan selepas tanaman.

Bahagian Yang Digunakan:

Daun, pucuk dan akar

Amalan Tradisi Perawatan:

Daun dan pucuk secara tradisinya dimakan untuk memulihkan cirit-birit. Di Malaysia, daun senduduk yang dibuat ubat pupuk digunakan untuk mencegah parut-parut luka kesan daripada kelemumur atau cacar. Air rebusan akarnya digunakan untuk melegakan sakit gigi, melembutkan kaki dan mengurangkan kembung perut. Manakala air rebusan daun dan akar diminum untuk rawatan selepas bersalin. Air rebusan campuran daun-daun senduduk, cuka, halia bara (Zingiber officinale) dan bonglai (Zingiber cassumnar)digunakan untuk rawatan leucorrhea. Air rebusan campuran daun dan pucuk senduduk serta dicampur dengan kulit manggis atau kulit buah manggis yang dibakar menjadi arang digunakan untuk merawat cirit-birit. Serbuk daun senduduk juga digunakan untuk merawat disenteri, luka-luka dan juga digunakan sebagai tonik.