Perlaksanaan Dasar
Ketua Pengarah Perhutanan adalah bertanggungjawab kepada Kerajaan Persekutuan
atas pengurusan Hutan Simpanan Kekal Negara yang cekap dan teratur yang
disempurnakan dengan cara memberi nasihat dan bantuan teknikal serta kemudahan
latihan kepada Kerajaan Negeri melalui Pengarah Perhutanan Negeri masing-masing.
Demi masyarakat dan negara, Kerajaan Negeri bolehlah menerima nasihat profesionl
dan teknikal yang dikemukakan oleh Ketua Pengarah Perhutanan untuk pelaksanaan
Dasar Perhutanan Negara.
Pengisytiharan Hutan Simpan Kekal
Hutan Simpanan Kekal yang mencukupi perlu ditentukan dan hakmiliknya
terjamin. Kawasan yang dikenalpasti tersebut mestilah diwartakan sebagai
Hutan Simpanan Kekal dan tidak boleh dikeluarkan kecuali di dalam sesuatu
keadaan yang tersangat istimewa. Semua kawasan yang telah dikeluarkan hendaklah
digantikan sepertimana yang tercatat dalam Akta Perhutanan Negara, 1984.
Bilamana boleh, langkah-langkah perlu diambil untuk menambah kawasan
Hutan Simpanan Kekal dengan mengambilkira kawasan lain seperti tanah terbiar,
tanah kerajaan, tanah bercerun dan tanah-tanah lain yang tidak subur.
Perundangan Hutan
Akta Perhutanan Negara, 1984 hendaklah dilaksanakan dengan cekap dan
bijaksana untuk memastikan pemeliharaan dan pengurusan sumber-sumber hutan
secara berkekalan.
Pengurusan Hutan Secara Berkekalan
Hutan Simpanan Kekal akan diurus berdasarkan kepada prinsip pengurusan
hasil secara berkekalan untuk memaksimumkan faedah sosial, ekonomi dan
alam sekitar. Pengawasan yang rapi terhadap kawasan hutan haruslah dijalankan
secara sistematik dan berterusan.
Hutan Simpanan Kekal hendaklah diusahasil berdasarkan kepada keupayaan
semulajadi hutan, penggunaannya yang optimum dan penggunaan tanah hutan
yang komprehensif.
Bagi tujuan pengusahasilan sumber-sumber hutan secara berkekalan, pengeluaran
kayu balak akan dikawal berdasarkan kepada keseimbangan antara permintaan
dengan pengeluaran serta penggunaan maksimum. Regim pengurusan hutan yang
terbaik akan diamalkan ke atas Hutan Berhasil yang dugubal berdasarkan
maklumat yang diperolehi melalui pengurusan hutan dan kajian operasi yang
bersepadu dan sistematik.
Untuk memastikan amalan pengurusan secara berkekalan, Hutan Berhasil
akan diusahasil secara komprehensif melalui tebangan memilih dan meninggalkan
stok dirian yang mencukupi untuk pusingan tebangan seterusnya. Semua rancangan
pengurusan hutan bagi hutan darat dan hutan paya laut hendaklah sentiasa
diselia dan dikemaskinikan bersesuaian dengan prinsip pengurusan secara
berkekalan. Pada masa yang sama, rancangan pemeliharaan dan pemuliharaan
ke atas hutan yang telah diusahasil hendaklah dilaksanakan dan diselia.
Pemeliharaan dan Pemuliharaan Hutan
Satu program pembangunan hutan secara teratur melalui operasi pemeliharaan
dan pemuliharaan hutan berasaskan amalan silvikultur yang sesuai hendaklah
dijalankan bagi mencapai produktiviti yang maksimum daripada Hutan Simpanan
Kekal.
Pelaburan dalam program pembangunan hutan hendaklah dipertimbangkan
selaras dengan kemajuan pembangunan hutan
Hutan yang telah dipulih tidak boleh diusahasilkan sebelum ianya mencapai peringkat kematangan.
Pengusahasilan Hutan
Pengusahasilan hutan dan pembangunan infrastruktur yang berkaitan di
dalam Hutan Simpanan Kekal dan lain-lain kawasan hutan akan diselaras dan
dikawal berasaskan kepada rancangan pengurusan hutan dan/atau rancangan
pengusahasilan hutan yang telah ditentukan bagi mengekalkan paras pengeluaran
kayu balak yang berpatutan, mengurangkan kerosakan terhadap dirian tinggal,
anak benih serta mengawal kualiti alam sekitar dan keseimbangan ekologi.
Pengusahasilan hutan yang cekap adalah digalakkan untuk semua jenis
keluaran bagi faedah pembangunan negara.
Operasi pengusahasilan akan ditingkatkan untuk memperolehi keberkesanan
kos, meningkatkan ciri-ciri keselamatan dan mengurangkan kerosakan kepada
alam sekitar.
Keluaran dan Industri Hutan
Penubuhan industri pemprosesan hutan hendaklah berdasarkan kepada keadaan
bekalan bahan mentah daripada Hutan Simpanan Kekal dan sumber-sumber lain.
Menggalakkan peningkatan kecekapan pemprosesan keluaran hutan melalui
permodenan dan bersepadu untuk memaksimumkan penggunaan sumber.
Menggalakkan penggunaan yang sepenuhnya untuk kayu-kayu jenis kurang
terkemuka, balak bermutu rendah, dan semua bentuk sisa dari hutan dan kilang
secara lebih meluas untuk keluaran yang bernilai tambah.
Menggalakkan pemprosesan hiliran melalui penubuhan kompleks pemprosesan
bersepadu untuk mengambil peluang daripada kemudahan asas, perpindahan
teknologi, hubungan antara industri bagi pengwujudan asas pengeluaran bersepadu
untuk tujuan perkembangan dan pengeksportan.
Memastikan bekalan mentah yang mencukupi dan terjamin untuk industri
berasaskan kayu-kayan tempatan serta kemajuan industri ini berterusan.
Perkhidmatan pengembangan industri hutan akan ditingkatkan untuk membantu
pengusaha mencapai kecekapan dan produktiviti yang lebih tinggi, mengurangkan
pencemaran alam sekitar dan meninggikan taraf keselamatan dalam industri
pemprosesan sumber hutan.
Penyertaan Bumiputra
Penyertaan bumiputra dalam lapangan perusahaan berasaskan kayu hendaklah
diberi keutamaan sejajar dengan Dasar Pembangunan Nasional kerajaan khususnya
mengenai penempatan semula masyarakat. Untuk mencapai dasar tersebut, usaha
memberi bantuan seperti kemudahan nasihat, kewangan dan bantuan teknik
serta latihan kakitangan di semua peringkat perusahaan hendaklah ditawar
dan dilaksanakan sepenuhnya.
Ladang Hutan
Ladang hutan yang mencukupi akan ditubuhkan di seluruh negara untuk
menampung bekalan kayu.
Ladang hutan dari spesis-spesis cepat tumbesaran dan ladang hutan dari
spesis-spesis bermutu tinggi akan digalakkan ditubuh di tapak-tapak yang
sesuai.
Pihak swasta akan digalak untuk melabur di dalam penubuhan dan pembangunan
ladang hutan.
Hutan Tani
Menggalakkan penglibatan masyarakat yang tinggal di pinggiran hutan
dalam penanaman pokok buah-buahan hutan untuk pemeliharaan dan pengekalan
sumber hutan.
Untuk mengekalkan penglibatan mereka dalam program hutan tani dan memberi
keutamaan dalam mengutip hasil di musim buah kepada mereka.
Keluaran Hutan Bukan Kayu
Tanaman rotan akan digalakkan di samping menguruskan sumber rotan yang
sedia ada secara saintifik dan berkekalan.
Tanaman buluh akan digalakkan di samping menguruskan sumber buluh yang
sedia ada secara saintifik dan berkekalan.
Penyelidikan Perhutanan
Sektor awam dan swasta adalah digalakkan untuk meningkatkan penyelidikan
perhutanan bagi mencapai kestabilan alam sekitar, pengurusan sumber hutan
secara berkekalan dan hasil yang maksimum.
Pembangunan Tenaga Manusia dan
Latihan
Tenaga manusia yang mahir dan mencukupi perlu dibekalkan untuk melaksanakan
semua aktiviti perhutanan.
Usaha perlu diambil untuk mengadakan kemudahan latihan yang lebih lengkap
bagi meningkatkan kemahiran tenaga manusia di semua peringkat operasi perhutanan
dan industri hutan.
Satu program latihan yang komprehensif dalam pelbagai bidang perhutanan
dan industri hutan akan terus dilaksanakan untuk menampung keperluan sektor
awam dan swasta.
Pendidikan dan Pengembangan Perhutanan
Meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai perhutanan melalui:
-
pelbagai program media massa;
-
mendidik masyarakat untuk menghayati fungsi-fungsi hutan; dan
-
memperkenalkan sains perhutanan di dalam kurikulum sekolah.
Pemeliharaan Kepelbagaian Hayat
Pengurusan hutan negara hendaklah mengambilkira keperluan pemeliharaan
flora dan fauna.
Perhutanan Masyarakat, Rekreasi dan Pelancongan.
Mempertingkatkan program perhutanan masyarakat untuk
memenuhi keperluan awam dalam rekreasi dan pelancongan.
Mempergiatkan aktiviti penanaman pokok buah-buahan dan lain-lain spesis
di tepi Hutan Simpanan Kekal. Sementara itu, aktiviti penanaman pokok di
kawasan bandar digalakkan untuk penghijauan, teduhan, membekalkan udara
bersih dan nilai estetik.
Nilai Khusus Saintifik
Mewujudkan kawasan hutan yang khusus bagi tujuan pendidikan, perlindungan
dan kajian-kajian saintifik.
Kerjasama Antarabangsa
Menjalin hubungan antarabangsa yang lebih erat untuk meningkatkan persefahaman
dalam pengurusan dan pembangunan hutan.
|