Kenyataan Dasar

Objektif

  • Untuk memelihara dan mengurus hutan negara berdasarkan prinsip-prinsip pengurusan secara berkekalan.
  • Untuk melindungi alam sekitar dan memelihara kepelbagaian hayat, sumber-sumber genetik dan meningkatkan penyelidikan dan pendidikan.

Kenyataan-kenyataan

  • Mengisytiharkan sebagai Hutan Simpanan Kekal kawasan-kawasan yang mencukupi dan strategik di seluruh negara, berasaskan kepada konsep penggunaan tanah yang rasional. Hutan Simpanan Kekal akan diurus dan diklasifikasikan di bawah empat fungsi-fungsi utama:
    • HUTAN PERLINDUNGAN untuk memastikan kesesuaian iklim dan keadaan fizikal negara, mengawal sunber air, kesuburan tanah, kualiti alam sekitar, pemeliharaan kepelbagaian hayat dan mengurangkan kerosakan oleh banjir dan hakisan kepada sungai dan tanah pertanian.
    • HUTAN BERHASIL untuk bekalan yang berterusan, pengeluaran semua hasil hutan pada kadar yang munasabah secara ekonomik di dalam negara dan yang diperlukan untuk pertanian, penggunaan tempatan, perindustrian dan eksport.
    • HUTAN LIPUR untuk mengekalkan sejumlah kawasan yang mencukupi sebagai tempat rekreasi, eco-tourism dan untuk kesedaran masyarakat mengenai perhutanan.
    • HUTAN PENYELIDIKAN DAN PENDIDIKAN untuk menjalankan penyelidikan, pendidikan dan pemeliharaan kepelbagaian hayat.
  • Untuk menguruskan Hutan Simpan Kekal supaya memaksimumkan faedah-faedah sosial, ekonomi dan alam sekitar bagi kepentingan rakyat dan negara sejajar dengan prinsip-prinsip pengurusan secara berkekalan.
  • Untuk melaksanakan program pembangunan hutan yang terancang melalui operasi pemeliharaan dan pemuliharaan hutan berasaskan amalan-amalan silvikultur yang sesuai.
  • Untuk menggalakkan pengusahasilan serta penggunaan yang cekap dari hiutan berhasil bagi faedah ekonomi yang maksimum dari semua jenis keluaran hutan serta meransang pembangunan perindustrian hutan sesuai dengan aliran sumber dan membuka peluang-peluang pekerjaan.
  • Untuk menggalakkan pembangunan perindustrian hutan yang terancang ke arah penghasilan barangan bernilai tambahan dan separa bernilai tambahan bagi kegunaan tempatan dan eksport.
  • Untuk menggalakkan penyertaan Bumiputra yang agresif dalam lapangan industri berasaskan kayu sejajar dengan dasar kerajaan.
  • Untuk menubuhkan ladang-ladang hutan dari spesis-spesis tempatan dan luar negeri bagi menampung bekalan kayu dari hutan asli.
  • Untuk menggalakkan penglibatan aktif masyarakat tempatan dalam pelbagai kontrak projek-projek pembangunan perhutanan dan mengekalkan penglibatan mereka dalam program-program hutan tani.
  • Untuk meningkatkan keluaran hutan bukan kayu melalui amalan-amalan pengurusan secara saintifik dan berkekalan bagi menampung permintaan tempatan serta keperluan industri-industri berkaitan.
  • Untuk melaksanakan program latihan perhutanan yang komprehensif di semua peringkat sektor awam dan swasta bagi memastikan bilangan tenaga manusia terlatih yang mencukupi untuk memenuhi keperluan bidang perhutanan dan industri berasaskan kayu.
  • Untuk menggalakkan pelaburan swasta dalam pembangunan hutan melalui penubuhan ladang hutan atas kawasan persendirian.
  • Untuk mengendali dan menyokong program-program penyelidikan yang intensif dalam bidang perhutanan dan keluaran hutan yang bertujuan untuk meningkatkan faedah-faedah hutan secara maksimum.
  • Untuk menggalakkan pendidikan dalam perhutanan dan mengendalikan perkhidmatan-perkhidmatan publisiti dan pengembangan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap pelbagai faedah hutan.
  • Untuk memberi perlindungan kepada kepelbagaian hayat dan pengekalan kawasan yang mempunyai spesis flora dan fauna yang unik.
  • Untuk membentuk satu program perhutanan masyarakat bagi menampung kehendak masyarakat di dalam dan di luar bandar.
  • Untuk mengkhaskan kawasan yang khusus bagi pendidikan perhutanan dan kajian saintifik yang lain.
  • Untuk menjalin kerjasama antarabangsa yang lebih erat dalam bidang perhutanan bagi mendapat faedah melalui pemindahan teknologi dan pertukaran maklumat saintifik.